Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri
Adapun si syaitan itu mungkin tidak pernah memandu kereta, mahupun lulus ujian mengambil lesen memandu. Namun, itu tidak memberi jaminan bahawa umat manusia sejagat terpelihara dari gejala pemanduan persis iblis?
 |
| Kalau syaitan guna kereta? |
Gejala pemanduan iblis kini makin menjadi-jadi di bulan Ramadhan. Kita boleh lihat menjelang petang, jalan raya mula sesak dengan jutaan kenderaan dua, tiga, empat mahupun sepuluh roda. Di saat ini jugalah semangat ke-syaitan-an yang membuak-buak dapat kita hayati dengan lebih jelas.
Pada awalnya, aku berniat untuk menulis tentang pemanduan yang tidak Islamik. Tetapi aku sudah boleh jangkakan bahawa ketua-ketua syaitan telahpun mengarahkan para bala tenteranya menghasut umat manusia (muslim khususnya) untuk tidak mengambil peduli asas tatacara keberadaban Islami ini.
Gejala pemanduan tidak Islamik ini dapat dibezakan dengan konsep pemanduan disaat kecemasan. Contohnya ketika darurat, peperangan, bini nak bersalin, kematian & jihad Islam mungkin?
Pemanduan tidak Islamik dapat dikaitkan dengan ciri-ciri berikut:
1. Menyusahkan/menzalimi hak pengguna jalanraya yang lain.
2. Mengancam nyawa dan kesejahteraan pengguna lain.
3. Pemanduan yang melalaikan tanggungjawab Islam.
4. Pemanduan sambil beromen/berkhalwat.
5. Pemanduan yang bertujuan jahat/membawa kemudharatan.
6. Pemanduan yang memutasikan kesejahteraan keluarga.
Termasuk juga pelbagai lagi unsur-unsur yang tidak Islamik yang menyelit masuk dalam pemanduan kita.
Penyalahgunaan ini tidak tertakluk hanya kepada pengguna kereta sahaja. Ia juga meliputi pengguna motorsikal, SUV, MPV, lori, van, trailer panjang, dan basikal?
Contoh situasi pemanduan yang menghangatkan hati:
Seorang Tok Guru agama dengan serban putih di kepala memandu dengan kelajuan yang amat lembap dan berada di sebelah kanan jalan tanpa sebab-sebab munasabah yang boleh melunturkan iman dan taqwa beliau. Tindakan ini mengundang kepada ganguan dan kejahanaman hak pengguna jalanraya yang lain. Mungkin beliau sedang khusyuk bertasbih bertahmid memuji keindahan alam sambil disahut carutan caci maki saudara se-muslimnya yang mengekor di belakang.
Seorang suami mithali memandu Myvi SE persis Bumble Bee (Chevy Camaro Transformers) dengan kelajuan yang menggegarkan otak anak-anaknya yang berada di tempat duduk belakang. Tahap kelajuan ini juga boleh membuatkan bini beliau yg berada disebelah, tidak henti-henti mencarut kepadanya pada kadar 256 patah perkataan seminit. Selain itu kelajuan tinggi ini juga berpontensi tinggi untuk memecahkan kepala dan memburaikan isi perut mereka anak beranak sekiranya berlaku impact head-on collision (seperti yang selalu didoakan oleh pengguna jalanraya yang lain ketika melihat kepelisetan pacuan Myvi SE ini)
Seorang pemuda di bawah pengaruh Need For Speed: Satanic Revenge sedang memacu Honda Civic pekak beliau dengan penuh keterampilan. Pemanduan beliau yang semestinya melebihi 180km/h dan ditambah dengan skill membelok & menyelit yang amat merbahaya ini akan mengundang kecelakaan bukan hanya pada beliau, bahkan kepada pengguna jalanraya yang lain.
Contoh lain berupa penginkaran peraturan jalanraya juga boleh diklasifikan sebulu dengan kes ini. Ia termasuklah kebutaan mengharungi lampu isyarat merah, kebebalan memotong dilorong kecemasan, kepondanan dalam memotong barisan, kedunguan meletak parkir dan lain-lain yang sewaktu dengannya.
Sejujurnya, terdapat banyak lagi contoh pemanduan di bawah pengaruh iblis ini. Tidak dinafikan kita sendiri juga telah beberapa kali terjebak dek kenipisan iman yang tak dapat diwarisi ini. Kesalahan yang kadang kala diperlakukan pada kadar yang tidak sengaja ini dapat diusulkan pengampunan.
Aku sendiri mengaku penah terjebak dalam gejala ini dan sesekali juga mendoakan kecelakaan syaitan jalanan ini memperlihatkan kesyahduan perilaku mereka di pentas jalanraya.
Sempena bulan Ramadhan yang mulia, marilah kita bersama-sama berjihad menentang kerakusan nafsu yang disalurkan kepada kuasa tujahan kenderaan masing-masing. Marilah kita hindari gejala kesyaitanan yang makin berleluasa ini.
Ramai yang berdoa ketika memulakan perjalanan, tapi berapa ramai yang menghayati dan mengamalkan intipati doa itu?
“Kalau yang accident mati tu orang lain tak apa,
Tapi kalau yang mati tu ibu, ayah, isteri, laki, anak sendiri baru hang berakai”