Showing posts with label Api-Api. Show all posts
Showing posts with label Api-Api. Show all posts

HARAM Jatuhkan Kerajaan UMNO dan BN yang Islamik?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri Berapi-api

Baru-baru ini ramai yang bertempiaran terguling-guling keesakkan oleh kerana statement seorang Ahli Majlis Fatwa terulung dari tanah Arab.


Aku amat menyokong kata-kata beliau. Statement ini adalah amat universal dan boleh diterima pakai oleh sekalian umat Islam.

Tetapi, jangan kamu melenting kerana prosa di atas di sahut-sahut gemalai oleh ahli UMNO. Kerana UMNO dan BN itu bukanlah satu kerajaan.

UMNO dan BN itu tiada bezanya dengan PR dan PAS, PKR mahupun DAP. Mereka hanyalah PARTI. Kerajaan yang diiktiraf adalah Kerajaan Negara Malaysia dan bukanlah Kerajaan UMNO mahupun BN.

Oleh itu tidak menjadi isu untuk menentang/menjatuhkan UMNO, mahupun PAS (!??). Kerana mereka bukanlah kerajaan yang sah lagi diiktiraf. Bagi kes UMNO dan BN, mereka hanyalah parti dominan yang memerintah Malaysia. Dominan kerana nisbah keputusan PRU menyebelahi mereka.

Pembawaan politik Malaysia masakini menjurus kepada penukaran parti pemerintah yang dominan menguasai Kerajaan Negara Malaysia. Bukan menjatuhkan kerajaan, tetapi TUKAR parti pemerintah.

Akhir kata, UMNO dan BN bukanlah kerajaan. Begitu juga PR dan PAS (!!?). Hanya Kerajaan Negara Malaysia sahaja yang diiktiraf.

tags: umno bn pas pkr dap mic mca majlis fatwa utusan kerajaan putrajaya rosmah mansor nik aziz kelantan hadi awang azizan razak pknk fgvh parlimen adun negeri kuala lumpur PRU election SPR pilihanraya media cybertrooper parti
Read more

Tahukah anda? 30 kelebihan amalan mencela, memaki hamun dan mencerca

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri Berapi-api

Sedar tak sedar, bulan Ramadhan dah kian hampir tiba. Terasa macam baru semalam sambut hari raya. Mana taknya, setiap hari sibuk ke hulu ke hilir jadi tukang kompang isu negara, bangsa dan agama.


Siapa sangka amalan mengeji, mencerca, menghina, memaki dan menghamun ini juga mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu, aku amat berbesar hati untuk berkongsikan informasi yang masih panas berapi-api ini. Jangan lupa sebarkan ya.

30 kelebihan amalan mencela, memaki hamun dan mencerca:

1. Memberikan ketenangan hati

2. Menonjolkan akhlak yang suci

3. Menguatkan jalinan silaturrahim

4. Menghindari hasutan syaitan

5. Membuatkan musuh agama,bangsa dan negara berasa takut dan gerun.

6. Membentuk peribadi muslim sejati

7. Meningkatkan kadar celik al-Quran di kalangan masyarakat

8. Mendekatkan diri kepada Allah

9. Membantu mendapatkan kemanisan iman

10. Membantu perjuangan memerangi musuh Islam

11. Membantu menegakkan hukum Hudud

12. Membantu mengingati mati

13. Menambah khusyuk dalam solat

14. Membantu menyebarkan ajaran Islam

15. Menambah keberkatan rezeki

16. Membuka pintu rezeki

17. Membantu membebaskan diri dari riba

18. Menghindari bala Allah

19. Menggalakkan pemakaian pakaian yang menutup aurat

20. Membantu menyembuhkan sihir dan santau

21. Mengurangkan kes rogol, sumbang mahram dan sumbang songsang

22. Mengurangkan kes buang bayi dan anak luar nikah

23. Meningkatkan kadar celik Agama

24. Mengenang jasa ibu dan bapa

25. Mengharumkan nama keluarga

26. Membantutkan rancangan Yahudi menindas umat Islam

27. Menyukarkan agen yahudi menyusup masuk ke negara

28. Memberikan contoh terbaik kepada anak-anak

29. Membantu mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah

30. Menyembuhkan penyakit darah tinggi dan yg sewaktu dengannya


Tak sungguh, tak kata
Kalau terasa, jangan simpankan saja, tolong like ya!


Read more

Kisah Rakyat, Pemimpin, Iblis dan Babi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Kami perlukan pertolongan!


Tahukah kamu bahawa pemimpin politik Malaysia masakini telah dirasuk iblis?

Sejujurnya, mereka ini bukanlah penipu, tetapi merekalah pembunuh jati diri kami. Apa yang berlaku? Nah lihat sahaja hamburan kata caci maki, tunding jari, adu domba berhamun cerca sana sini yang amat merugikan ini.

Kenapa merugikan? Dengan seraya kami menjawab, Apa yang untungnya? Itu bukan jawapan. Jika kamu tidak dapat fikirkan apakah untungnya berpolitik beralaskan nada sumbang yang hanya melempar api-api ke arah hati lawanmu, tiada perlunya kami bersusah payah menjawab.

Ahli politik kini sibuk berantakan gelora publisiti hanya untuk menguja-uja hati si penyokong dengan bahan bakar untuk benci-membenci. Masuk keluar dewan bukan mencari solusi, tapi sibuk menghentam sana sini. Tangkas mereka mengelar-ngelar hati sesama sendiri, sehingga terlupa nasib jutaan pasang mata yang perlukan bantuan, pembelaan, keadilan di tanah air sendiri.

Kamu zalim, rakyat seluruh negara tercungap-cungap keletihan dipalung kiri kanan atas bawah hanya untuk diperdengarkan oleh cerita hantu merapu. Tiap langkah mereka hunuskan untuk keluar mengundi untuk kamu, penuh bersendikan dengan jerih perih. Tetapi kini kamu tampil menganjing isu demi menghambat musuh dengan berpaksikan keji mengeji.

Kami lihat kamu tak ubah bagai Iblis mengulit api. Bercogan kata menabur janji seraya tiba PRU, hanya sekadar mengiyakan undi kami. Kami tak pinta politik kebencian ini. Kami tak pinta amalan keji mengeji ini. Kami tak pinta disuap ruji hari ke hari informasi berahi tinja babi ini.

Habis. Kami dibiarkan terkulai-kulai menelaah siang malam, terkelupur di tengah jalan yang bersimpang siur dengan prosa hamun yang mengajar anak-anak kami mencarut siang, malam dan pagi tanpa henti-henti.

Mana tidaknya, lihat jua siaraya talian internet yang berbaur rekahan nanah membusuk dengan nista bermuka-muka serta uraian bakteria hasad dengki ini. Mana mungkin kami dapat lupa sumbangan kamu menyental-nyental norma murni kemajmukan kami dengan tusukan berduri yang disahut-sahut paparan cetak, radio dan tv haiwan peliharaan kamu itu.

Kami diperlaku bagai hamba abdi, bergelandang ke sana ke mari. Kami dibiarkan terbuai ke penjuru-penjuru tajam mencarik isi perut kami. Kami disorong diseret diterajang dihumban oleh agen perajurit kamu yang persis ifrit.

Sudah sampai di sini sayang. Tidak perlu lanjutkan berperi-peri. Bukan hajat untuk turut sama menyemai caci maki.

Kami sudah lemas bermandikan darah saudara kami sendiri. Darah dari hati yang dicemari oleh kebobrokan insan yang kami terpaksa mengaku sebagai pemimpin sendiri. Darah yang dikelar dari urat nadi jiwa-jiwa yang lunyai dihentak dirodong oleh keserakahan nafsu api-api. Darah ini, darah kami.

Tidak ingin kami robek jantung kamu buat sajian dendam kami. Tidak langsung kami mahu siat-siat kulit gebu kamu buat hamparan permaidani kami. Tiada kami berhasrat mahu memburaikan limpa hati kamu untuk dijadikan batu jembala kami. Apatah lagi untuk menghiasi rumah kami dengan tengkorak hitam kamu.

Kami hanya mahukan perubahan.

Jangan kamu berani tunding jari tanpa solusi, jangan kamu berani bermaki-maki di depan naskhah bacaan anak-anak kami. Jangan kamu berani menanam periuk api di hati kami dengan janji nista abadi, jangan sekali-kali kamu cuba berzanji laungan maksiat kepada generasi ini.Jangan kamu lupa tanpa kami siapalah kamu sekarang ini.

Jangan sekali-kali cuba membina jambatan untuk membawa kamu ke neraka bersama-sama kami.

Andai terpalit pada yang baik pekerti, anggap sahaja itu dosa kami. Sanggup kami terhisab di sana nanti. Hanya demi menenggakkan hak kemaslahatan rakyat yang dizalimi.

Sekian sahaja tulisan api-api. Salam perubahan kami hulurkan, berjanjilah untuk sama-sama berjabat dengan tangan ini.


Read more

Soal Jawab - Cabaran untuk penyokong PAS

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Seperti yang aku jangkakan, beberapa hari lalu, salah satu daripada penulisan api-api aku telah mendapat sambutan dingin segelintir penyokong PAS. Malahan ada yang memalingkan tujahan padu bernada kecaman kepada aku. Hairan? Mungkin mengelupur pedas ulu hati mereka itu. Maaf ya jika terasa.


Namun aku langsung tidak goyah, apatah lagi berundur langkah. Teringin sekali hati ini melabel mereka sebagai HATERS, namun terpaksa aku abaikan suara Syaitan yang cuba menyusun jarum merasuk hati aku itu barangkali.

Di sini aku sertakan satu Q & A ringkas untuk menerangkan secara santai teori yang aku utarakan. Garapan Q & A ini aku dapatkan dari ilham pertanyaan rakan-rakan dari sebuah forum terkemuka Malaysia. Sepertimana tajuk yang agak panas, aku mencabar dengan serendah-rendah cabaran, mampukah anda baca dan fahamkan Q & A ini.

Aku yakin, setiap mata yang membaca barisan kata aku ini pasti akan terkesan. Moga kamu-kamu di luar sana menggunakan bekalan motivasi ini untuk turut sama merubah atmosfera politik tanah air kita ini. Aku percaya, aku tak keseorangan.


Sesi Q & A untuk artikel Politik Kebencian Merugikan PAS:
_________________________________________________________________

Q: Ceramah Umi Hafilda sangat tidak beretika dan tidak beradap semasa berdepan Nurul Izzah

A: Ceramah Umi ini merugikan UMNO.
Sebabnya Umi memburuk-burukkan dan mencaci maki pemimpin pembangkang dengan bahasa yang tak sopan.
Ceramah ini hanyalah untuk sedapkan hati sesama penyokong UMNO.
Pengyokong PAS bukan makin suka kepada UMNO, tetapi mereka makin benci.
Jadi tiada harapan utk orang PAS yang waras untuk join UMNO hanya bersebabkan ceramah ini.
So kesimpulan ceramah ini, PAS 1 UMNO 0.
_________________________________________________________________

Q: Pas penuh dengan caci maki?

A: PAS tak penuh dengan caci maki, masih banyak ruang tarbiah dan dakwah. Saya pasti kamu boleh buktikan.

_________________________________________________________________

Q: Adakah PAS gunakan saluran dakwah untuk caci maki?

A: Sama ada pempimpin atasan/bawah atau penyokong PAS sendiri yang teremosi ketika berdepan askar UMNO.

Mereka tak gunakan sesi berdepan dengan askar UMNO ini untuk berdakwah
Sebaliknya, sahut menyahut caci maki askar UMNO

Dari sudut PAS, PAS akan rugi kerana apabila askar umno dimaki diherdik, mereka akan segera jauhkan diri dari penyokong PAS serta perjuangannya. Begitulah juga sebaliknya.
Jika PAS menunaikan tanggungjawab mendidik & mendakwah, possibility untuk penyokong UMNO insaf lebih tinggi?
Dakwah bukan hanya dengan mulut, dengan akhlak, perilaku sopan, berlembut hati dan lain-lain lagi.
Bukankah ada Nik Aziz cernakan di dalam ceramah?
_________________________________________________________________

Q: Aku ni tak penah maki orang, kenapa pulak disabitkan aku sekali?

A: Alhadulillah, aku berbangga ada saudara macam kamu. Teruskan berdakwah kepada rakan yang lain.

_________________________________________________________________

Q: Ceramah PAS tak ada/tak banyak maki, kenapa tuduh kami banyak maki? UMNO lagi banyak maki

A: UMNO di ambang kegagalan. Kenapa perlu PAS ikut rentak UMNO?

Apa beznya jika UMNO PAS caci maki dua kali lima?
PAS nak ikut sama UMNO gagal? Apakah nanti dah gagal baru mahukan perubahan?
Memang seronok bermaki-makian ini, sebab Iblis berikan gula-gula.
Kerana itulah terasa ringan mulut untuk bercaci maki.
_________________________________________________________________

Q: PAS buat apapun semua serba tak kena. Ada saja yang akan dikritik.

A: Nak tunggu gagal baru nak kritik?

Perlukah tunggu penyakit UMNO berjangkit baru nak bertempiaran mencegah?
Tak semua kritikan diberi disebabkan kesalahan, tapi untuk improve kepada sesuatu yang lebih baik.
Supaya Islam itu dapat ditegakkan. Supaya generasi masa depan tak menjadikan caci maki makan ruji mereka. Supaya generasi esok lebih matang mengharungi syurga neraka dunia.
_________________________________________________________________

Q: Kamu ini mesti penyokong tegar UMNO.

A: Sekiranya aku adalah penyokong UMNO, maknanya aku sedang membunuh parti sendiri.

Kenapa aku bersusah-payah mengajak kamu agar lebih beradap & hentikan caci cerca?
Supaya kita dapat sama-sama berdakwah & mendidik saudara mara kita walau apapun parti mereka.
Supaya depa kembali ke pangkal jalan, insaf dan berjihad ke jalan Allah.
UMNO itu mungkin sedang gagal tapi bukan penyokongnya. Ikhwan muslimin tingkatkan jati diri muslim, adab, akhlaq, iman taqwa utk apa?
Tiada lain selain untuk sama-sama mendidik orang lain ke jalan Allah.
_________________________________________________________________

Q: Aku sangat benci kepada UMNO, Aku takkan biarkan UMNO memerinta negara ini.

A: Stop bercaci maki. Pamerkan perilaku kamu yang terbaik kepada mereka.

Didik mereka dengan akhlak, dengan keprihatinan, dengan tasbih zikir, serta doa.
Berdakwahlah dengan hikmah bukan nafsu.
Kalau kamu bercaci maki maka kamu rugi, mereka akan perangi kamu, mereka akan benci kamu dan mereka akan jauhi kamu.
Mereka tu saudara se-Islam kamu. Ikhwan kamu. Mahukah kamu biarkan mereka terus terumbang ambing oleh ombak serakah dunia?
_________________________________________________________________

Q: Tapi ramai lagi orang lain sedang bercaci maki, tidak sopan, tidak beradap. Namun juga orang menyertai PAS?

A: Kalau kamu hentikan caci maki, aku berani jamin lebih ramai akan masuk PAS.

Adalah lebih penting untuk mereka insaf & kembali ke jalan Allah.
Tengoklah disebalik caci kamu, berapa ribu orang dah masuk PAS.
Kalau kamu stop caci maki ini? Berapa puluh juta jiwa pula yang akan masuk PAS?
_________________________________________________________________

Q: Aku tak tahan, dah terbiasa bercaci maki. Kalau Tak maki UMNO satu hari tak sah.

A: Berehat sebentar dari medan perang untuk tingkatkan amal kamu.

Tingkat iman dan taqwa kamu. Tuntutlah ilmu dari guru-guru kamu, contohi adab mereka, belajar mengenali diri kamu.
Apabila kamu sudah bersedia dengan ilmu, adab, taqwa kamu boleh teruskan perjuangan dakwah dengan gagah sekali.
_________________________________________________________________

Q: Aku ni penyokong biasa saja. Mana mampu aku untuk berdakwah bagai?

A: Itulah gunanya pemimpin kamu.

Mereka inilah yang akan bentuk kamu mengikut acuan Islam.
Mereka ini akan lengkapkan kamu dengan akhlak untuk kamu contohi dari mereka.
Kamu akan beroleh ilmu mereka untuk meneruskan perjuangan Islam ini.
Jika masih tak mampu dakwah, jangan sekali-kali kamu caci lawan kamu.
Jangan merugikan perjuangan rakan-rakan sehaluan kamu yang lain.
Mereka bersusah payah berdakwah dengan hikmah tapi kamu khianati mereka.
Banyakkan berdoa untuk saudara-saudara kamu dan bantulah perjuangan Islam sedaya upaya.
_________________________________________________________________

A: Aku dah lama berdakwah berkali-kali tapi masih belum mampu merubah mereka ini.

Q: Bersabarlah, Allah sentiasa bersama kamu.

Jangalah kamu berputus asa. Berdoa pada Allah agar dipermudahkan urusan.
Berdoa juga kepada saudara mara kamu yang tidak sehaluan moga mereka kembali ke pangkal jalan.
Kamu diberi akal, gunakan dengan hikmah, bukan dengan nafsu serakah
Malaysia masih belum darurat, dakwah kamu lebih berkesan dari berperang
_________________________________________________________________

Aku akui Q & A tidaklah lengkap lagi sempurna, tapi bagaimana dengan anda? Saya percaya anda tiada masalah untuk sahut cabaran ini. Mulakan dengan menyebarkannya!



Read more

Neutral view, Najib vs Anwar




Sejurus selepas aku membaca post yang ditulis oleh seorang rakan bernama Prince of Noob yang bertajuk "Sila pilih antara Najib atau Anwar", otak aku mula mundar mandir memikirkan jawapannya.

Lama kelamaan aku merasakan sesaraf warna biru mula dimamah-mamah oleh sel-sel darah hijau yang makin hari makin ganas perilakunya. Oleh itu aku tekad untuk menulis satu jurus khas untuk membentangkan jawapan tersebut.

Persoalannya berbunyi begini:

Jika anda percaya semua skandal Najib dan juga salahlaku Anwar, siapakah yang anda pilih untuk menjadi pemimpin?

Jawapan api-api aku:

Sebenarnya, jika aku ingin melampiaskan segala keserakahan kedua-dua pemimpin ini, baik dari chinadoll, Saiful Bukhari, Altantuya, Scorpene sehinggakan kepada Rosmah Mansor sendiri, ia tidak akan cukup untuk dibahaskan yang mana lebih unggul untuk menerajui negara ini.

Oleh kerana faktor negativiti yang dimomokkan ini, saling tikam menikam satu sama lain, maka haruslah aku untuk mengecualikan kesemuanya sekali untuk berlaku adil kepada mereka. Orang puteh kata write-off.

Ini bukan bermakna aku tidak percaya semua kes salahlaku Najib dan Anwar. Aku cuma menolak kedua-duanya dan mengambil sikap berkecuali.

Ok. Dengan ini bahawasanya aku memilih Anwar Ibrahim lebih sesuai dijadikan pemimpin berbanding Najib Razak

Kerana aku strongly believe Malaysia ini perlukan PERUBAHAN. Ya Najib juga membawa beberapa perubahan. Namun bagi aku, ia tidak memadai untuk memenuhi nafsu rakyat Malaysia yang mahukan pemerintahan yang fresh.

That's it. Kita mahukan sesuatu yang baru. Sudah 50 tahun kerajaan parti pemerintah mentadbir negara. Kenapa perlu takutkan perubahan untuk hanya untuk 4-5 tahun akan datang? Jika kerajaan pimpinan Anwar tidak mampu merubah negara, kita semua masih ada tangan dan jari jemari untuk mengundi di PRU seterusnya.

Jika kita mampu gulingkan BN yang telah 50 tahun memerintah, mengapa kita tak mampu untuk gulingkan kembali PR yang hanya memerintah baru beberapa tahun.

Sekian Terima Kasih kerena sudi mem-baca coretan fiction ini.
Read more

Syarat Minima Sebelum Anda Boleh Mengkritik PAS

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Layakkah anda kritik PAS?



Kebanyakkan pengkritik tegar PAS masakini, berdiri segak dengan memakai tanda nama "Pencacai UMNO" dari kaca mata seorang fanatik. Hal ini disebabkan kebanyakkan pengikut PAS menganggap parti mereka ini adalah sempurna dan tiada timbang taranya.

Berikut adalah syarat kelayakan minima untuk menjadi pengkritik PAS yang ulung:
1. Mendapat tauliah sebagai Ahli UMNO Sepanjang Zaman
2. Graduan kelas pertama Ijazah Politik Putar-belit Guna-gunaan UiTM
3. Memiliki sijil rasmi "Sijil Penghargaan Pengkhianat PAS"
4. Mempunyai cop pengesahan "DARAH BIRU" di Mykad
5. Mendapat suntikan pelalian vaksin PBP (Pancaran Bulan Purnama) di hospital kerajaan
6. Mempunyai keahlian tetap Kelab Senaman Punggung

Mengapa perlu wujudnya persepsi begini? Mengapa perlu menjadi penyokong UMNO baru boleh mendapat kebenaran mengkritik PAS? Belumpun habis cerita dibaca, sudah ditampal lekat sticker label "Pencacai UMNO" di dahi mereka.

Aku pasti, tiada pemimpin atasan PAS akan membaca tulisan api-api ini. Kerana jika benar mereka membaca, pasti saat ini mereka sedang bertungkus lumus berusaha memperbetulkan haluan serong "jentera dakwahnya".

Seandainya kerugian PAS ini dapat diukur dengan wang ringgit, aku menjangkakan unjuran kerugian kasar PAS untuk dekad ini melebihi RM 100 bilion. Jumlah kerugian tinggi yang ditanggung oleh parti ini mungkin disebabkan teguran dan kritikan yang sengaja dibutakan oleh sebahagian besar pemimpin dan pengikutnya. Wallahualam, hanya Allah jua yang tahu nilainya yang sebenar.

Situasi berbeza pasti akan berlaku sekiranya mereka tidak bermuka-muka dengan simpulan isi kritikan ini. PAS akan menjadi lebih dominan andainya mereka dapat menggarap buah fikiran para pengkritik. Parti ini akan bingkas mencapai tahap kepesatan yang tinggi dengan bantuan audit (kritikan) luaran. Tanpa perlu bersusah payah menjual nama, perjuangan mereka akan mendapat sanjungan rakyat di serata negeri.

Namun aku tidak salahkan pemimpin mereka yang seringkali khusyuk bertasbih, bertahmid serta berzikir di pentas-pentas ceramah mingguan mereka. Begitu juga dengan pengikutnya yang mungkin terlalu sibuk berdakwah ke jalan Allah.

Barangkali mereka tidak mempunyai kesenggangan masa untuk meneliti bait-bait kritikan yang dilontarkan kepada mereka. Mungkin juga dalam diam, mereka telahpun mengembleng satu pasukan khas untuk menjalankan tugas ini. (jika ada, aku sedia berikan kerjasama) Maka dengan itu tahniah aku ucapkan!



Read more

Mari Kritik PAS, The Series

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Dengan rasa rendah diri, aku ingin merasmikan satu siri penulisan khas yang ber-tajuk:


Siri ini akan mengumpulkan semua penulisan api-api yang yang bertujuan untuk bertegur sapa dengan keegoan segelintir fanatik di persada politik Malaysia.

Dalam post ini juga aku akan cuba sedaya upaya untuk update setiap urat nadi kritikan yang tajam berjarum ke atas penyokong PAS, hatta dari dalam ataupun luar blog ini.

Usah risau jika anda merasakan hati anda bagai dihujani gigitan serangga api-api. Hal ini kerana, aku juga akan cuba cadangkan manisan remedi sebagai solusi permasalahan anda serta pergerakkan penyokong parti anda.

Aku agak yakin dan pasti, media peroksi PAS belum cukup jantan serta bermuka-muka dengan penerbitan penulisan api-api ini*. Namun, aku merasakan wakil media peroksi UMNO akan lebih berminat untuk menyiram ron97 ke atas api penulisan aku dengan jayanya**.

Justeru, tanpa mengira di mana pun pihak anda, aku pajakkan jutaan terima kasih sebagai pendahuluan untuk anda semua.

Oleh itu, berjanjilah untuk teruskan membaca dan selamat meneroka!

Senarai Penulisan Api-Api:

1. 5 Sebab PAS akan GAGAL!
2. Politik Kebencian Merugikan PAS 
3. Mengapa Kritik PAS?
4. Syarat Minima Sebelum Anda Boleh Mengkritik PAS
5. Soal Jawab - Cabaran untuk Penyokong PAS
6. Kalau Syaitan sokong PAS


Read more

Politik Kebencian merugikan PAS dan Islam secara keseluruhannya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Sekali lagi, sebelum saya mula merungkai kata dengan lebih jauh, inginku mohon sejuta kemaafan andai penulisan ini bakal mengusik hati meresak jiwa kalian semua. Sila teruskan pembacaan ini di atas risiko anda sendiri.
Sejujurnya, tajuk sedemikian rupa adalah hasil cerna jari-jemari nakalku untuk menarik minat pembaca, baik dari golongan PAS mahupun UMNO (bukan mencari hits, tetapi ingin mendidik). Pada pengakhiran tajuk itu saya sertakan tanda soal, sebagai penafian simbolik penambah rencah rasa ingin tahu anda semua.

Saya pasti, para ustaz dan ustazah sekalian akan bertempiaran kehairanan mengapa ditonjolkan PAS sebagai teraju utama. Pembawaan watak PAS ini sebenarnya mewakili mana-mana parti politik tempatan yang memperjuangkan dan melaksanakan tuntutan Islam yang agung. Sekiranya saudara sekalian memerlukan penerangan khusus penonjolan PAS di sini, dengan rendah diri saya mempersilakan membaca penulisan sebelumnya.

Definisi politik kebencian secara umum pada hematku adalah berupa politik yang disirami oleh jalinan permusuhan, dendam kesumat, keji-mengeji, hina-menghina, ketidakmatangan, kebudak-budakkan, hasad dengki dan sebagaimana yang sewaktu dengannya.

Lebih menakutkan, situasi ini dilihat sebagai suatu yang normal dan menjadi rutin di hati kebanyakkan penggiat dunia politik tanah air. Saya melihat simptom ini dengan penuh gelisah, kerana diri ini merasakan betapa ruginya Islam itu sendiri, apabila landasan dakwah ini dicemari kotoran yang kian menebal.

Politik dan dakwah? Di mana celahnya? Sebenarnya politik itu sendiri merangkumi pelbagai jurusan kehidupan. Semestinya sebagai muslim, politik anda perlulah bertunas dari Islam yang syumul. Politik melibatkan pelbagai acara jalinan sosial serta perhubungan dua hala antara pelbagai pihak.

Jalinan inilah yang sepatutnya digunakan muslimin dan muslimat sekalian untuk mendidik dan berdakwah sesama mereka. Bayangkan betapa perkasanya Islam masakini sekiranya seluruh saluran dakwah ini dapat digembleng untuk memasyhurkan keagungan Islam justeru ia dapat berkembang pesat serta harum mewangi di setiap hasta bumi ini.

Malangnya, apa yang terjadi hari ini adalah sebaliknya. Medium saluran politik bertatahkan dakwah ini dicemari oleh ketidakmatangan hamburan kata. Caci cerca menjadi makanan ruji sebahagian besar penggiat tegar politik tanah air.

Dalam situasi inilah saya melihat PAS agak terkebelakang sebagai sebuah parti yang ingin menegakkan Islam. Perjuangan mereka pada pandagan saya tiada celanya, tetapi respons mereka terhadap pergeseran ideologi pengikut parti lain yang menjadi masalah.

Lentingan penyokong PAS sering disulami caci cerca yang mengguris jiwa. Saya tidak salahkan guru mereka yang ajarkan. Malahan, mungkin tiada salahnya mereka mengherdik saudara mereka yang diseberang parti sana. Tetapi amat rugi mereka tidak mempergunakan saluran ini untuk berdakwah.


Penyokong PAS tidak mengambil kira potensi pengundi parti lawan dan pengundi atas pagar. Mereka lebih selesa menyedapkan hati dengan melontar bara api ke dalam hati saudara mereka. Mereka rela mencemarkan warkah perjuangan Islam yang didukung parti dengan mempersembahkan diri mereka dengan nada yang keji lagi jijik.

Tiada langsung segan silu adat Melayu, mereka melabel saudara mereka sendiri dengan samaran yang jelik. Media berita mereka turut sama berganding bahu mengusung bau hancing ini ke merata ceruk paparan cetak mahupun elektronik.

Api hati mereka disemarakkan bahan bakar tajaan iblis untuk mereka terus menerus berbalah. Dari mulut itu jugalah dia berzikir, bertasbih dan dari situlah juga meletusnya puaka kata kepada saudara se-Islam mereka sebagai habuan penyedap emosi luka.

Pernahkah mereka terfikir apa perasaan saudara mereka yang dicela itu? Apa rasanya menelan kejian yang bertali arus ini? Saya pasti, mereka tahu, kerana mereka sendiri pernah disumpah seranah sedemikian rupa oleh penyokong parti lawan yang lain. Menjadi lumrah manusia untuk mempertahankan pegangan, walaupun bukan dengan fakta, cerca pun tidak mengapa.

Nanti dahulu, betulkah ini PAS yang saya maksudkan? Atau ini lawannya? Jika begini timbang taranya penyokong PAS dan lawannya, amat kesal saya katakan, tiada bezanya. Saling tidak tumpah persamaan perilaku tidak matang ini sama-sama merugikan parti, atau secara keseluruhannya Islam itu sendiri.

Asbab celaan ini memulas-mulas urat nadi pemilik telinga panas yang dicaci. Setiap bait bernanah ini menjauhkan lagi mereka daripada perjuangan Islam yang disanjung PAS sendiri. Jauh di dasar kalbunya, berakar tunjang dengan dendam dan kesumat. Kenapa perlu mereka mendekati kamu?

Perlukah saudara-saudara kamu ini bingkas bangun dan mengundi untuk PAS setelah dihamburkan caci maki kepadanya? Berapa ramai di antara mereka telahpun berpaling dari parti sana untuk menyertai PAS? Kamu mengatakan mereka tidak matang, namun kamu sendiri bertindak kebudak-budakkan.

Menjengah dari satu penjuru, golongan bukan Islam terkebil-kebil melihat telahan muslim yang bersaudara ini. Ada di antara mereka yang telah diberi suntikan doktrin persaudaraan sesama Islam. Namun, dengan mata kepala mereka sendiri, melihat muslim saling bercakaran. Inikah agama agung kamu? Inikah cara dakwahmu?

Golongan yang berpotensi untuk mendekati Islam akan mula dipatuk soalan sangsi. Di mana letakkannya kiasan murni agama yang dimomokkan kepada mereka dahulu? Apa yang terjadi dengan gema santun Melayu kamu?

Apakah berbaloi sekalian muslimin dan muslimat ini bertelagah? Berapa tinggikah maruah yang kamu semua beroleh dari mengherdik saudara kamu sendiri ini? Sejauh manakah kesinambungan syariat Allah dapat kamu tegakkan? Dapatkah kamu memberi jaminan bahawa Islam akan kembali menguasai dunia dengan perilaku sebegini rupa?

Namun begitu, di sebalik kelemahan rantaian etika golongan ekstrimis ini, saya yakin dan percaya mereka tetap inginkan Islam itu ditegakkan. Mereka tetap mahu sama-sama berjihad ke jalan Allah. Saya pasti, jauh di sudut hati mereka, membuak-buak keinginan untuk satu solusi mutlak bagi menangani krisis kendiri ini.

Tahukah anda apakah kesan politik sebegini rupa pada institusi Islam seluruh dunia? Mengapa berlakunya perang saudara, penghapusan etnik, rampasan kuasa dan pemberontakkan, tidak ketinggalan perbalahan turun temurun Syiah dan Sunni. Bagaimana saluran dakwah ini dapat mempengaruhi semua ini? Mungkinkah Ikhwan Muslimin menggemakan saluran dakwah ini sehinggakan mereka beroleh kemenangan?



Sesungguhnya, tinta ini tidak akan berhenti menulis, cuma mungkin akan ditangguhkan kerana dihambat komitmen dunia bagi membolehkan kudrat ini terus lantang bercerita, dengan izinNya. Akan saya terjemahkan solusi krisis ini di pertemuan kita yang seterusnya, InsyaAllah.

Sengaja saya benihkan pelbagai pertanyaan di dalam penulisan ini, dengan harapan dapat mencambahkan kejatian minda muslim kudus. Semoga ianya membuahkan hamparan idea untuk sama-sama kita manfaatkan bagi meredah rasukan dunia. Wallahualam.

Jazakallah.

Read more

Mengapa kritik PAS?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Sebelum aku meneruskan penulisan ke tahap yang lebih mendalam, suka aku perjelaskan kenapa aku kelihatan menghambat bara api, mengkritik lantang terhadap penyokong PAS.

Antara sebab paling utama adalah, aku merasakan kelompok penyokong PAS ini masih tinggi nisbah tahap kewarasannya. Golongan professional dan berpendidikan tinggi ramai melibatkan diri dengan PAS. Namun, bukanlah aku menidakkan kewarasan penyokong parti lain.

Situasi ini membolehkan tiap kata yang aku unjurkan dapat dicerna sebaik-baiknya oleh mereka ini. Golongan tersebut pada harapan aku, berpaksikan Islam dan mereka mahukan Islam itu ditegakkan. Oleh itu kewarasan mereka dapat menyumbang kepada penerimaan kritikan yang membina.

Mereka ini mempunyai kemampuan bertolenrasi dengan emosi sendiri. Dengan mempersempadankan ketidakmatangan dalam berbicara lantas mereka menyerap ekstrak kata yang tersirat disebalik juntaian aksara.

Mungkin aku tergambar sebagai talibarut UMNO oleh segelintir golongan fanatik, namun itulah harga yang perlu aku bayar demi untuk memperkasakan perjuangan Islam yang memberi inspirasi kepada perjuangan PAS masakini.



Tujuan lain penulisan aku adalah untuk menyedarkan akan perkembangan PAS yang sudah mula menginjak ke arah penyakit UMNO. Atau dengan kata lain yang lebih ringkas, untuk memastikan PAS tidak gagal seperti UMNO sekarang ini. PAS lebih berbaloi untuk dikritik berbanding parti pemerintah yang telah lama dikritik pembangkang namun kurang responsnya.

Hal ini kerana aku berpegang pada premis mencegah lebih baik dari mengubati. Aku memberikan senarai simptom-simptom yang berkaitan dengan UMNO dan diselitkan dengan amalan pencegahan yang sewajarnya.

IsyaAllah, di masa hadapan aku tekankan "dakwah respons" sebagai antara cabang utama untuk menambahbaik gerakkan perjuangan Islam di Malaysia dan seluruh dunia. Terma "dakwah respons" itu sendiri masih belum matang dan ianya hanya simpulan ringkas yang dapat aku bina untuk melambangkan simbolik gerak kerja dakwah itu.

Di kesempatan ini aku ingin memohon maaf andai pembaca merasakan terentak hati tergusar jiwa oleh penulisan aku yang runcing. Begitu juga sekiranya secara tidak sengaja terbitnya cerca maki kepada aku, telahpun aku maafkan kalian semua.

Saya amat hormati pendirian anda sebagaimana anda menghormati pendirian saya.

Jazakallah.



Read more

Ulasan respons/penerimaan "5 sebab PAS akan Gagal"

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Tergerak hatiku ingin memberi sedikit ulasan tentang penerimaan/respons artikel "5 sebab PAS akan Gagal" oleh kerana ianya sedikit tervariasi dari apa yang aku jangkakan.

PAS dan UMNO makin sama?

Usul utama artikel itu ditulis adalah untuk meng-highlight ruang-ruang ketersamaan PAS dan UMNO yang akan menjurus kepada kegagalan. Umum mengetahui status UMNO yang dalam keadaan bahaya. Keadaan bahaya ini jugalah sebenarnya berakar daripada 5 asbab yang telah aku bincangkan.

Umpanku tepat mengena apabila laman yang berperoksikan UMNO menyiarkan dan menyebarkan isu yang aku lampirkan di dalam artikel itu. Harapan halusku adalah untuk melihat dan mengukur sejauh mana mereka mengiyakan asbab-asbab kegagalan PAS yang 5 ini. Kerana ianya adalah seamless dengan asbab kegagalan yang sedang dihadapi oleh parti yang mereka sokong ini.

Di sebalik beberapa komen ignorant yang diperlihat di laman fanpage dan blog peroksi UMNO, aku percaya terdapat juga warga UMNO yang dapat menilai dengan sewaras-warasnya. Harapan aku kepada mereka ini tak pernah musnah. Kerana mereka ini juga saudara aku, saudara se-Islamku. Atas rasional itulah aku cuba cungkil dasar hati mereka untuk menimbang tara asbab kegagalan sesebuah parti dari satu perspektif alternatif.

Alternatif ini membawa maksud, selain dari amalan ruji penyokong politik Malaysia ini; caci cerca makian, kita tampilkan kelainan persembahan isu dan fakta. Dengan harapan umpan-umpan ini tepat mengenai sagi-sagi hati mereka yang paling dalam.

Namun bukanlah niat aku untuk "kalih" mereka overnight kepada PAS, tetapi untuk meningkatkan kematangan berpolitik sesama kita. Jangan sesekali tersilap, bukanlah aku ingin label mereka ini tidak matang dan aku lebih matang, tetapi aku ingin berkongsi perspektif yang berbeza dari yang sediakala.

Penafsiran istilah matang itu sendiri bersimpul-simpul dengan makna yang amat subjektif untuk dikaitkan dengan situasi politik Malaysia. Premis kematangan yang cuba aku persembahkan adalah "dakwah dalam respons". Satu pendekatan yang amat berbeza yang telah dihadapkan selama ini iaitu dengan memenangi hati musuh daripada hati sendiri. Penafsiran "dakwah dalam respons" ini akan disempurnakan dalam satu penulisan khas di lain hari.



Adapun terdapat jua lentingan respons daripada penyokong Pan-Malaysian Islamic Party itu sendiri. Timbul satu golongan tipikal yang terus menerus mencerca, menafi, menyerang kembali dan bertali arus membuktikan PAS lebih baik dari UMNO. Tidak kurang juga segelintir yang mendakwa penulis sebagai talibarut UMNO, justeru mengiyakan asbab kegagalan yang aku kupas di dalam artikel tersebut. Namun aku tidak salahkan mereka menzahirkan respons mereka sebegini rupa, kerana aku sendiri menggunakan tajuk yang agak offensive pada hemat mereka.

Maaf aku pohon kerana terpaksa menggunakan tajuk yang agak misleading untuk menarik hati membara untuk membaca. Golongan tipikal ini merasakan mereka terancam dengan tujahan kata aku yang agak sinis. Dan sesetengah mereka merasakan mereka perlu pertahankan parti PAS mereka ini dengan menyerang kembali. Serangan itu samada dalam bentuk paluan soalan PAS vs UMNO, menunding jari kepada UMNO, mendakwa Anwar Ibrahim sebagai agen parasit, serta menyerang peribadi penulis/penyebar artikel. Ataupun inikah sebabnya artikel ini sukar tersebar dalam media alternatif PAS? Ataupun penyokong PAS sendiri hanya sekadar membaca tajuk dan bukan isinya?

Syahadan aku menarik nafas lega, kerana di dalam rimbunan golongan tipikal itu timbul juga susuk gagah hati pembaca yang mengerti sedalam-dalamnya sarkasm yang aku cuba sampaikan. Walaupun mereka tidak mengiyakannya secara keseluruhan, tergambar jelas kesedaran mereka akan ketersamaan yang makin rapat antara PAS dan UMNO. Lantas golongan kedua ini mula menongkah kata bertanyakan solusinya. Bagaimana mahu selamatkan PAS? Lebih baik mencegah dari mengubatinya?

Alhamdulillah, walaupun bilangan mereka amat minoriti, aku amat berbesar hati mempunyai saudara seperti mereka. Ini kerana mereka berjaya bertolenrasi dengan emosi. Mereka pendamkan hati panas mereka untuk mencari solusi akan parti perjuangan Islam ini. Mereka menggunakan akal sebaiknya dan tidak melemparkan kata cerca pada yang bertegur sapa. Mereka jugalah yang akan bersama merentangi aruhan politik sempit yang amat tinggi jumlah tompok-tompoknya di Malaysia.


Akhir kata, selamat maju jaya rakan dakwahku, semoga beroleh keberkatan dan dipermudahkan urusan kamu berdakwah kepada saudara kita yang lain. Diri ini insan biasa, bukan bermakna maksum 100% dari terbitan kata cerca yang sengaja mahupun tidak sengaja. Namun ini bukanlah budaya kita bercaci maki sesama saudara, hatta ini bukanlah ajaran Allah dan Rasulnya. Islam itu syumul, jangan jumudkannya ia dengan tingkah laku kita sebagai penganutnya. Wallahualam.

Jazakallah.
Read more

5 sebab PAS akan GAGAL!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Silang sungging nan di hati aku merungkai kata buat sekalian rakan taulanku, saudara se-Islamku, sahabat majmukku, mahupun juraian jiran jahilliahku.

Tinta bernama sipolan durja,
Naik bersendi rasuk buaya,
Tiada pahit namanya gula,
Telanlah ia berlapang dada.

 
Hemat nusa aku secara sukarela ingin mencucuh-cucuh pilinan Syaitan yang sedang bertari riang bergema di hati kamu, namun bukan sekali-kali di atas paksi dendam ataupun benci. Tapi untuk kita sama-sama berganjak matang dalam siasah alami ini.

Akan aku pasung 5 mantera ini atas ubun sebuah parti! PAS namanya bukan diberi, tapi dipersetujui. Bukan nama Islam yang ingin aku bawa bertinju, bukan tamsil murni Seri Paduka Baginda yang ingin aku palu, tetapi hanya aruhan parti itu yang inginku dengungi.

1. Parasit
Umum mengetahui, tiada jaminan vaksinasi jangkitan parasit dalam pelayaran politik PAS di Malaysia. Parasit-parasit ini mungkin sahaja meresap masuk dari corongan luar, mungkin juga ia ranum diternak tungging oleh suapan bergantangan dusta?

Parasit ini amat sukar dikesan bahkan tidak terkilas langsung kelibatnya di sebalik rantaian zikir dan tasbih. Santapan harian mereka adalah halwa kebendaan wang ringgit. Setiap genggam dicerna bakal terlurut secuit buat mereka.

Menongkah realiti, terimalah kenyataan bahawa mustahil untuk sama sekali membasmi 100% parasit ini. Namun sekiranya tiada kawalan populasi, layaran PAS bakal berjalur dicarik isu ketidak-keruan mereka yang disenggama parti lawan. Lambat laun karam jua bahtera ini dek lompang-lompang detusan musuh.

2. Kebebasan bersuara
Zaman terkedepan bakal menyaksikan toleransi utuh dalam saluran komunikasi bebas dunia, membolehkan kiasan salah laku parti mahupun perihal jahannam sipolan akan menderu-deru beraja di rasuk kiri dan kanan media keesokkan harinya.

Namun hari ini, sudah dapat dilihat tersulamnya jarum-jarum bermata kail dalam lipatan akhbar mahupun helaian blog alternatif yang berbaur kekangan nada. Andai terpetah tulisan kamu mengkritik, menujah tara mahupun tersauk talang, lantas terutus baiah bertatahkan ugutan menunding kamu ke arah parti lawan.

Pantang terselak paras buku lali, terlucut habis persaudaraan, terumbang-ambing perjuangan. Di mana letaknya kematangan berpolitik? Lantaran tiada beza dengan resam Utusan/Metro/Berita Harian?

3. Gila Pangkat
Rencam politik masakini seringkali berjuntai tali dengan simbahan aliran wang tunai. Kolerasi pangkat dan kewangan saling tidak tumpah dalam mana-mana peradaban. Maka tidak hairanlah organisasi berproksikan PAS seringkali terbedil oleh gugusan insan yang serong mata hatinya.

Berkejaran takhta jawatan menzahirkan ketamakan dan ketidak-syukuran sipolan. Ruas runcing ini kerapkali gah menakkul arus lantang menderapkan jajahan pengaruh bisikan hasutan bagi menghambat barisan yang menghalang laluannya. Contoh jelas tidak bernama dapat dilihat jelas di dada-dada akhbar arus perdana serta alternatif, di mana berciciran perjuangan bersumbing dengan tautan kejora pangkat dan darjat.

4. Kolektif Hanya Pada Nama
Nyaring kompang berpalu, bernyanyi-nyanyi seruan kolektif. Tersenggang malam bermesyuarat membuahkan nama keputusan bersama. Namun, pabila wartawan menala rekorder pembuka bicara, lain pula petah terbitannya. Tersedak seketika baiah manzil, terkupas bawang mangalir air mata, tidak tertarik balik untaian kata.

Siapa yang akan yang menelan air liur kalau bukan penyokong? Riuh sekampung baiah kolektif 3 purnama, tidak semena-mena terkalih sembap semuanya. Mahu diturut geli, mahu dibangkang salah. Mahu dipendam tak sudah?

Tadbir urus lidah mematuk wartawan perlu dikawal selia, rancang dengan waras sebelum terpalit rekahan kolektif. Bukankah sia-sia namanya?

5. Politik Kebencian
Jangankan PAS sahaja, tiada bezanya dengan rumpun lain jua. Mana-mana ruas politik sering dihantui politik kebencian. Mana mungkin boleh kamu persia-siakan potensi undi "lalang" politik dan penyokong lawan dengan bertali arus menghamburkan nada celaka pada mereka?

Apakah itu cara dakwahnya? Apa bezanya mereka dengan anta? Mulut-mulut longkang ini tidak dapat tidak dari menjadi beban perjuangan sebenar mana-mana parti yang disertai. Umpama menjerut leher sendiri. Mari kita kira berapa ramai yang mahu mengundi untuk kamu andai peti suara itu tidak pernah berima kata selain dari cacian? Mungkin tiada dosanya kamu mengherdik sipolan itu, tetapi etika kematangan kamu tetap bertenun tali dengan lenggok bahasa yang dizikirkan.

Politik kebencian ini tidak hanya canggung melintangi aspirasi nada suara, terdapat juga medium lain digunapakai untuk meransang duri-duri jajaran sarang iblis ini. Nescaya setiap siulan cerca menusuk kalbunya telinga panas itu akan serta merta menjauhkan lagi dirinya dengan perjuangan PAS.

Adakah rantaian situasi ini amat menguntungkan PAS dan perjuangannya? Tidak sama sekali, gagal yang menanti.


(Update 25 June) Sila teruskan membaca ulasan penerimaan artikel ini untuk mendapat gambaran yang lebih jelas.
Terima kasih kepada semua pihak
Ulasan respons/penerimaan "5 sebab akan Gagal"



Read more

Comments