Fenomena Ustaz/Ustazah Google



“Kenapa perlu aku berguru dengan alim ulama kalau ada Pakcik Google di sisi?”

Suatu masa dulu, mempelajari ilmu agama hampir dianggap sebagai satu “struggle”. Ianya menuntut perjuangan dan pengorbanan seseorang itu untuk mencari guru dan berusaha mempelajari ilmu darinya. Tapi kini tidak lagi dengan adanya Pakcik Google di sisi.

Adakah salah menjadi seorang Ustaz/Ustazah Google?

Apakah itu Ustaz/Ustazah Google? Ustaz = Professor. Tapi secara lokal, Malaysia khususnya, Ustaz merujuk kepada “seorang yang ahli dalam bidang agama”. Google pula sejenis search engine yang digunakan oleh jiwa-jiwa manusia untuk mencari sesuatu perkara di internet.

Segelintir dari kita kini tidak lagi meraikan pandangan ulama dengan cara merujuk kepada mereka secara bersua muka. Lebih mudah mereka cari hukumnya di Google tanpa mereka perlu tahu sebab dan musababnya. Lebih mudah dan lebih cepat, tanpa pedulikan kesahihannya.

Implikasi dan Kesan

Aku kadang loya dengan kesekian kali terbitan hukum sana sini yang diadu domba sesetengah golongan. Mari kita bincang implikasi. Implikasi di sebalik fenomena Ustaz/Ustazah Google, atau orang arab panggil Sheikh Googla.

Wujudnya penyebaran pelbagai macam cerita dan hukum, Dari tok guru masjid hinggakan ke Syeikh Nuruddin. Dari tok mudim kampung hinggakan Ustaz Haron Din, selamba sahaja nama-nama alim ulama ini dipetik habuan penyedap cerita.

Golongan ini sering membawa arus kecelaruan terhadap minda-minda yang kurang tegukkan ilmu agamanya. Kerana mereka mengambil jalan mudah untuk bersandar kepada usaha orang lain untuk mencari hukum tanpa mereka berusaha sendiri mencarinya.

Fenomena ini sekiranya ianya dapat diperhalusi oleh golongan Bukan Islam, maka akan tumbuh dalam hati mereka mengatakan bahawa betapa jahilnya umat Islam ini, sesama sendiri keliru tentang agama sendiri.

Implikasi terburuk fenomena ini adalah jika berlakunya keterpesongan aqidah. Di mana sebaran-sebaran cerita palsu dan hukum hakam yang tahyul di ambil bulat-bulat tanpa merujuk kepada mana-mana ulama. Dan lebih teruk lagi apabila wujudnya aktiviti mentakfir (mengkafirkan) orang lain.

Lidah, adalah antara organ paling bahaya. Amat mudah untuk terperosok ke dalam neraka jika kita tidak berhati-hati menggunakannya.

Sebagaimana mudahnya lidah dihinggapi penyakit caci maki, mengejek, mengumpat, memfitnah, sumpah palsu, dusta, pecah rahsia/amanah dan sebagainya.Begitu jugalah peranannya keyboard komputer dan telefon bimbit mengadun resipi untuk ke neraka.

Lidah, pena dan jari yang tidak beradab akan cenderung membuahkan kebencian bila berlaku perselisihan pendapat. Kerana mungkin mereka tak praktikkan keberadaban seseorang ilmuan. Hasilnya wujudlah komuniti Muslim yang bertaring, fanatik dan rigid.

Sila klik untuk paparan lebih jelas


Apa yang Pakcik Google cicirkan?

Selain ilmu yang diajar, pergaulan dengan orang berilmu menambah berkat dengan ilmu yang ingin dipelajari. Pelajar boleh mengamati akhlak dan adap guru untuk dijadikan teladan dan mungkin sempadan.

Lihat bagaimana guru itu perjelaskan sesuatu permasalahan, bagaimana dia melayan karenah anak didiknya, bagaimana dia bergaul dengan masyarakat, bagaimana dia berdakwah dan berhikmah kepada yang bukan muslim, bagaimana dia disanjungi dan dimuliakan oleh pelajar dan guru agama yang lain.

Pakcik Google juga tak dapat menyemai nilai keakraban sesama guru dan murid serta kemurnian yang terbit dari celahan senyuman guru menegur pelajarnya. Bukan sahaja dari segi keilmuan, bahkan dari segi sikap dan akhlak anak muridnya sesama mereka dan sebagai seorang muslim secara keseluruhannya.

Namun begitu, masih ramai anak murid ulama yang hanya mampu mewarisi ilmu yang dipelajari namun tidak mampu mewarisi akhlak dan adap guru mereka. Kalau belajar dengan guru pun tak mampu nak beradap, apatah lagi kalau belajar dengan Pakcik Google.

Jelas sekali ini bukanlah salah Pakcik Google. Beliau bukanlah seekor kambing hitam untuk menerajang tingkah laku si penyubur benci ahli agama kita sering lihat memporak-perandakan perbincangan agama di dada-dada Chrome, Mozilla, Opera dan yang sewaktu dengannya.

Maaf cakap, golongan inilah yang kelihatan lebih suka menabur hukum tanpa memikirkan implikasi dan hikmah disebalik apa yang berlaku. Mereka lebih selesa mencari salah dari membantu memberi jawapan dan mencadangkan solusi.


Adakah ini rupanya Ustaz Google?



Tangani masalah ini

Think Twice. Mohon diamalkan amalan “berfikir dua kali” sebelum sebarkan apa-apa jenis sebaran. Peransang utama untuk berfikir kali kedua adalah dengan melalukan penyelidikan dan pengesahan terlebih dahulu sebelum anda meneruskan langkah menyebarkan dakyah/dakwah tersebut.

Sekiranya anda punyai rakan kawan dari kalangan agamawan, ustaz dan orang lama, mohon utamakan persoalan-persoalan yang bersangkut paut dengan bahan sebaran untuk dapatkan pendapat merkea. Gunalah apa cara jua sekalipun menggunakan facebook dan email.

Andai kata segenap pelusuk dunia online dan offline anda tidak mampu memberikan kesahihan yang konkrit. Maka ambillah wudhu dan tunaikanlah solat Istikharah jika anda merasakan ke-tidak-sebaran anda itu membawa mudharat kepada seluruh umat Islam di dunia.

Orang yang tak tahu, berhak bertanya. Yang tahu, bertanggungjawab untuk berikan jawapan. Tapi yang tak tahu, mohon jangan berhujah, kerana kalau dia berhujah risau ramai akan terpalit kesesatan.

Akhirkata, sama ada Pakcik Google, Mak Ndak Twitter mahupun Tok Batin Facebook, siapalah jua namanya, mereka ini terhasil daripada jaringan internet.

Internet umpama pisau, pisau yang berbilang gunanya, kalau bernasib baik dapat makan daging rusa, tapi silap hari bulan terburai perut sendiri pula. Bergantung kepada kita yang baik yang mana buruknya.

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Dua tiga hukum diberi,
Mana nak sama si Ustaz Google-ku seorang.
Read more

Jangan malu Meng-GAZA-kan diri (Galeri Gambar)

Satu lagi event kelolaan anak muda tempatan untuk menzahirkan penentangan terhadap kekejaman Zionis bertempat di Tasik Darul Aman Jitra.

Acara ini berkolaborasi dengan Buku Jalanan Jitra dan PuisiSatuPetang untuk mengadakan kutipan dana bantuan gaza, bacaan puisi, edaran risalah, lagu, syarahan dan acara klimaksnya adalah flashmob yang bertemakan kesedaran pergolakkan yang berlaku di bumi Palestin.

Kehadiran IR Haji Zamri Yusuf selaku bekas Senator dan wakil dari Aqsa Syarif Encik Abdul Wahab Yahya amat dihargai selain dari ucapan dan bantuan mereka memeriahkan aktiviti kemanusiaan ini.

Sepanjang berlansungnya aktiviti ini, dana sehampir RM800 berjaya dikumpulkan daripada tabung-tabung yang diedarkan, penjualan buku, penjualan mafla dan sebagainya telah diserahkan kepada Encik Abdul Wahab selaku wakil Aqsa Syarif untuk disumbangkan kepada rakyat Gaza.

“Berapa ramai lagi nyawa yang perlu direntap Zionis untuk menyedarkan kita dari mimpi halwa dunia? Jihad ini tidak akan sekali-kali terhenti sehingga sampai harinya Palestin merdeka dari kezaliman Zionis".

"Jangan malu untuk boikot dan zahirkan penentangan, tapi malulah kerana menjilat punggung Zionis” kata salah seorang wakil penganjur a.k.a aku sendiri.

Video flash mob masih dalam proses pembikinan.
Untuk maklumat lanjut dan hebahan event seterusnya, sila like FB fanpage Buku Jalanan Jitra dan PuisiSatuPetang.

Sila nikmati galeri gambar ini selagi mampu.













Read more

Himpunan Kebangkitan Rakyat = Himpunan Rosak Akhlak


Prologue

"Dengan rasa takjub dan bangga diri aku ingin menyeru, kepada segenap susuk dan se-angkasa jiwa penyokong-penyokong UMNO, baik yang tegar mahupun longgar, WAJIB-kan diri anda menghadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat yang amat keji ini.

Datanglah wahai pemuda pemudi, putera puteri, makcik pakcik yang mendokong Parti UMNO ini ke majlis yang bakal menghidangkan anda dengan keserakahan nafsu manusia yang bernanah hatinya.

Lihatlah, dengan mata kepala anda, kemaksiatan yang dilaungkan bahkan penzinaan nilai kemanusiaan yang bakal dilakukan oleh pencacai parti PAS, PKR dan DAP. Saksikanlah sendiri gadis-gadis seksi yang bakal menyerikan majlis berhawa syaitan ini.

Ketahuilah wahai jiwa-jiwa yang tenang, betapa bobroknya Pakatan Rakyat menternak haiwan yang kerjanya hanya menganjing-anjing isu, menggonggong cebisan-cebisan kepala lembu ke sana ke mari.

Lihatlah, bagaimana pemuda pemudi menyembah pemimpin-pemimpin dewata mereka yang berbinikan ratu cincin, handbag, rantai yang berjuta ringgit tanda harganya.

Saksikanlah, muslimah-muslimah yang berjoget kaget bertepuk tampar menghilai tawa di simpang dan kaki lima jalanan bersama yang bukan mahramnya."

Keterbukaan

Intro yang pedas lagi kejang sebagai pemula bicara. Terasa lama sudah aku tinggalkan penulisan politik.

Food for thought, berdosakah hadir ke ceramah dan aktiviti parti lawan?

Apa yang kita jangkakan dari layanan dan akhlak penyokong parti, jika mereka dapat tahu kita (dari parti lawan) datang ke majlis-majlis mereka?

Inilah yang cuba dianjurkan. Penyokong atau pemimpin UMNO hadir ke Himpunan Kebangkitan Rakyat tanpa sebarang anonymity (bukan sebagai anon) dan membawa imej/label UMNO.

Ketidakmampuan mana-mana penyokong/pemimpin menghadirkan diri ke majlis parti lawan akan menyumbang kepada ketidak-ketahuan yang mendalam terhadap parti ingin ditentang.

Macam mana nak lawan PAS? Kalau tak kenal PAS dari dalam? Tak kenal PAS/PKR/DAP dari dalam majlis mereka sendiri. Bagaimana akhlak mereka, akhlak pemimpin mereka, apa yang pemuda pemudi mereka mahukan, apa yang membuatkan majlis mereka "kerusi lagi ramai dari orang".

Membawa masuk label UMNO ke dalam ceramah/majlis PAS secara tidak langsung turut mengiklankan parti sendiri. Sebagai penyokong UMNO yang matang dan berkarisma, pasti ramai muslimah tudung labuh PAS akan terpikat oleh keterampilan anda.

Begitu juga PAS, ketawadhukan dan kesolehan yang dipancarkan oleh pemuda PAS secara tidak langsung mencairkan hati gadis-gadis puteri UMNO yang dilayan dengan penuh hemah dan kehormatan.

Kejadian ganas serangan semalam itu mohon jangan dijadikan teladan. Itu bukan salah UMNO gagal memberi makanan yang punyai vitamin otak kepada haiwan ternakan, tetapi salah penyokong pembangkang yang terlalu rendah diri dan bertoleransi hingga berlaku pertumpahan darah.

Ceramah Syaitan

Pemimpin politik sekarang amat rakus berbicara di pentas ceramah. Syaitan sana, syaitan sini, murtad sana murtad sini. Rakus kerana hadirin mereka sekadar satu warna sahaja.

Cuba bayangkan, barisan kerusi yang paling depan menghadap pentas ceramah PAS itu dihuni oleh majoriti penyokong UMNO. Takkan mungkin terkeluar syaitan sana sini itu.

Bahkan ayat berbunga, berbau teh herba diungkap menghujani kehormatan hadirin yang datang dari berlainan parti. Jaga hati, takkan nak tunjuk kelaku buruk depan mata mereka?

Barisan parti lawan ini sebagai duta. Mereka akan bawa balik segala macam rencah yang berlaku di majlis/aktiviti parti untuk dijadikan habuan putar belit media.

Jangan pandang UMNO sahaja, PAS pun serupa. Mudahnya berpolitik dengan akhlak. Bukan setakat politik, itu dakwah namanya. Serampang dua mata.

Memberi penerangan tentang perjuangan parti sambil menghormati/menghargai kehadiran penyokong parti lawan. Hati mana yang tak tertawan? Jiwa mana yang tak terasa?

Kalau mereka tak convert masuk PAS sekalipun, paling kurang mereka akan hormati dan hargai penghormatan yang diberi. Hormatilah orang lain jika mahukan diri sendiri dihormati.

Kontradiksi Politik

Berlawanan dengan teori tahyul politik Malaysia, seseorang penyokong/pemimpin parti akan mendapat dosa besar jika menghadirkan diri ke majlis parti lawan. Dosa yang tertulis di dalam buku log kepartian.

Ringkasnya mudah sahaja, hadirkanlah diri ke majlis dan aktiviti parti lawan. Bawa bersama brand dan label kepartian. Turut serta menjunjung adap dan ketertiban sebagai seorang penggiat politik yang matang. Tak akan rugi walau se-saat.

Tak kira siapa kamu, penyokong tegar, penyokong liplap, ketua cawangan, ketua bahagian, bendahari peringkat negeri, setiausaha kehormat, pengerusi atau apa sekalipun, berlumba-lumbalah hadirkan diri ke majlis dan keramaian parti lawan.

Tak akan sia-sia kehadiran-mu itu walaupun ianya menggenapkan jumlah kehadiran yang ke-sejuta orang. Lagi ramai lagi bagus. Lagi nampak betapa terbukanya parti itu.

Kepada tuan punya majlis, anggaplah kehadiran segerombolan mahupun sehelai jiwa dari parti lawan itu sebagai satu bonus. Bonus untuk mempamerkan keberadaban parti dan ketamadunan penyokong anda. Sekaligus meruntun jiwanya untuk cenderung ke parti anda.

Politik Malaysia perlukan perubahan, bukan sekadar perubahan kerajaan semata-mata. Sekian mohon mencadang.

Read more

Cara-cara Orang Cina nak masuk Islam (Part 1)

Gambar Hiasan
Prosedur untuk masuk Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 
Secara ringkas, berikut adalah prosedur mudah untuk memeluk Islam secara rasmi:

  • Hadir ke Masjid, Pejabat Agama atau mana-mana badan/organisasi punyai kapasiti untuk mendaftar Saudara baru.
  • Bawa bersama salinan Mykad dan gambar passport.
  • Penerimaan kad Akuan Masuk Islam
  • Sesetengah organisasi mungkin menggalakkan/menyediakan kursus bimbingan untuk Saudara Baru.
Ini adalah antara prosedur memeluk Islam secara rasmi. Sebenarnya untuk memeluk Islam, memadai dengan mengucap dua kalimah syahadah serta memahaminya. Dan diikuti dengan amalan sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada rukun Iman dan rukun Islam.

Kenapa Cina?

Sejak penulisan entry tentang Cina masuk melayu dulu, aku dapati banyak keyword yang menarik singgah masuk ke blog ini. Antaranya Cina masuk Islam, Cina pakai kain pelikat, Cina kahwin melayu dan yang paling sentap adalah keyword “Cara Cina Masuk Islam”.

Lebih kesal, apabila search keyword itu, tiada satu pun page yang dapat memberikan maklumat tepat seperti yang dihajati. Cuba bayangkan betapa sayunya hati seorang insan yang ingin mencari maklumat itu (mungkin dia dari kalangan Bangsa Cina).

Oleh itu aku mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu entry, yang aku harap akan mendapat hits di kalangan Bangsa Cina yang ingin mempelajari tentang Islam di Malaysia khususnya. Bukan hanya entry bahkan aku akan cuba hidupkan satu niche di internet tentang Islam dan Cina di Malaysia agar lebih banyak lagi dapat beroleh manfaat.

Mungkin ramai akan beranggapan sedikit rasist apabila mengketengahkan bangsa Cina di sini. Sebenarnya memang sengaja dihighlight bangsa Cina. Bukan bermakna ingin meng-anak-tiri-kan bangsa lain seperti India, Siam, Singh, Yahudi dan lain lain. Tetapi penulisan ini memang dikhaskan untuk bangsa Cina. Bangsa lain InsyaAllah akan menyusul di kemudian hari.

Jangan risau, Islam itu universal, cuma ingin dispesifikkan penerangan kepada Bangsa Cina yang merupakan bangsa kedua paling ramai di Malaysia.

Kenapa perlunya memeluk Islam secara Rasmi? 

Memeluk Islam secara rasmi memudahkan urusan yang berkaitan agama di masa hadapan. Contoh paling dekat adalah zakat kepada golongan yang baru memeluk Islam. Ini kerana institusi zakat memerlukan seseorang itu menyediakan dokumen perakuan Muslim untuk menerima zakat. 

Begitu juga dengan urusan nikah, cerai, rujuk, kematian, anak-anak dan lain-lain lagi. Sekiranya seseorang itu tidak dapat diperakukan sebagai Muslim secara rasmi, ini akan merumitkan urusan-urusan yang berkaitan.

Apa perlu masyarakat Cina buat sebelum masuk Islam?

Persediaan mental dan fizikal untuk komited terhadap agama Islam. Terdapat keperluan untuk memberitahu ahli keluarga terutamanya ibubapa tentang pengislaman. Seeloknya terangkan sebab musabab mengikut logik akal dan bukan berat sebelah pada Islam.

Ini kerana mereka (bukan Islam) mungkin masih terkeliru dengan agama ini. Andai kata pengislaman ini mendapat tentangan, diharap dapat bertenang dengan ahli keluarga. Buktikan bahawa tidak menjadi masalah untuk berkeluarga dengan mereka yang bukan Muslim.

Lama-kelamaan mereka akan menerimanya, InsyaAllah.

Khatan dan Saudara Baru

Ramai yang sedia maklum perkahwinan menjadi salah satu punca utama Bangsa Cina memeluk agama Islam di Malaysia. Berkhatan kedengaran seperti satu jenis phobia yang menghantui golongan yang berpotensi memeluk agama ini.

Namun hari ini ramai yang sudah mengetahui kelebihan berkhatan. Dan mereka mula melakukannya tanpa mengira bangsa dan agama. Kerana sudah timbul pendedahan dan pemahaman yang tepat tentang berkhatan.

Khatan sememangnya mustahil untuk dijadikan sebagai salah satu alasan. Ini kerana hukum khatan di dalam Islam, mengikut beberapa pandangan Ulama adalah tidak wajib, ianya sunnah yang amat digalakkan.

Maka tidak menjadi satu halangan bagi bangsa Cina untuk memeluk Islam. Mereka boleh berkhatan apabila mereka sudah sedia.

Apa yang ditakutkan masyarakat Cina

Jelas di sini ajaran Islam sebenarnya tidak menjadi halangan besar untuk bangsa Cina memeluk Islam. Yang menjadi halangan utama adalah “Kemelayuan”.

Masyarakat Cina amat menitik-beratkan kebudayaan dan adat mereka. Jelas sekali mereka terkeliru kerana bangsa Melayu telah menerapkan ke-Melayu-an mereka ke dalam agama. Sehinggakan masyarakat Cina merasakan ke-Cina-an mereka terancam.

Ada yang merasakan mereka akan dipulaukan sekiranya memeluk Islam kerana masih ramai sanak saudara dan rakan-rakan mereka terkeliru antara Islam dan Melayu.

Masyarakat Melayu secara separa sedar telah menimbulkan “the sense of belonging” terhadap Islam sebagai hak Melayu. Islam Melayu inilah yang menyukarkan penembusan potensi memeluk Islam kepada masyarakat Cina.

Tindakkan mereka mengadun budaya dan adat ke dalam ajaran Islam adalah tidak salah, bahkan Melayu itu sendiri banyak terpengaruh dengan masyarakat Arab, adakalanya terlebih-lebih dari Pak Arab sendiri!

Contoh yang sememangnya popular adalah baju melayu untuk ke masjid, ketupat dan rendang di hari raya dan lain lain lagi.

Post ini akan sentiasa diupdate dengan link-link siri penulisan Cara-cara Orang Cina nak masuk Islam di masa hadapan. Sememangnya memeluk Islam langkah awal untuk mencapai kesejahteraan hidup. InsyaAllah banyak lagi isu dan penerangan serta Q&A akan diterbitkan di masa akan datang.

Sebenarnya aku masih terkilan, kerana aku tak mampu menulis dalam bahasa yang memudahkan masyarakat Cina faham inti pati yang ingin aku jelaskan.

Sekiranya anda seorang yang berbangsa Cina dan ingin penerangan yang lebih mudah dan mesra tentang Islam, mungkin bersama seorang yang sama bangsa dengan anda, sila hubungi saya. Atau anda boleh berinteraksi dalam group facebook Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA).
Read more

Pemerkosaan terhadap sebuah McD (Galeri Gambar)


24 November. Hujan renyai mesra menanti segolongan Hamba Allah menapak ke muka-muka McD di tengah bandaraya.

Alhamdulillah, walaupun pada mulanya hanya sekerat dua. Tapi makin lama, makin terasa jumlah crowd makin menghangatkan suasana. Tersengih juga seorang dua.

Macam biasa, golongan ini kerjanya edar flyers dulu. Tarik lajak katanya, warm up sebelum klimaks acara. Ada juga bendera Israel diletakkan di kawasan pejalan kaki untuk memudahkan orang ramai memijaknya.

Crowd makin menggila, tambah sekali dengan organizer yang macam haram pun ada haha. Dalam riuh rendah itu, "di umpan" naik seorang muslimah, Gadis Pelangi katanya.

Dia mula mengulit kata ber-monodrama. Bergenang air mata Makcik Guard melihatnya. Seterusnya, seorang jejaka soldadu. Sama juga, entah siapa punya karya dia belasah sahaja. Turun dia, naik pula seorang lagi penyumbang kata. Dan seterusnya seorang lagi wakil kaum Adam bermain puisi teromba.

Sejurus selepas itu, diadakan satu short-play. Zionist vs Palestin. Rugi tak rekod video. Yang sempat hanya dua tiga keping gambar. Memang mendalam maksudnya, mereka beri hint bagaimana satu hari nanti Palestin akan bangkit.

Diikuti dengan sepatah kata dari Dr Hafidzi Mohd Noor (Aqsa Syarif) yang kebetulan sempat meluangkan sepetang bersama. Acara ini disimpulkan dengan menyerahkan wang yang dikumpulkan untuk Gaza kepada wakil Aqsa Syarif yang berjumlah RM XXX,XXX.XX tunai.

Moralnya di sini, usaha penentangan terhadap Zionis bukan hanya terpampang di dada flyers, di bendera Israel, di mafla Hamas, di tabung derma Gaza mahupun di sebalik senarai-pendek boikot Israel.

Usaha ini termasuk juga dalam menyedarkan masyarakat tentang kekejaman yang berlaku di sana. Begitu juga tentang betapa perlunya umat Islam bersatu padu dari segi mental, spiritual, fizikal dan ekonomi untuk mengalahkan Zionis.

Satu asbab penting kenapa Zionis sememangnya kuat. Kerana mereka bersatu padu fokus terhadap perjuangan. Mereka boleh, kenapa tidak kita?







Read more

Gencatan senjata, Zionis tak sebodoh itu

Apa maksud gencatan senjata? Gencatan senjata adalah sejenis perjanjian antara beberapa pihak untuk memberhentikan peperangan mereka buat sementara waktu atas sebab-sebab tertentu.

Di Gaza, gencatan senjata diadakan untuk mengadakan rundingan damai dan mengelakkan berlaku kemalangan jiwa di kalangan rakyat yang tak berdosa (collateral damage).

Adakah masyarakt dunia, Muslim khususnya menganggap bahawa gencatan senjata ini adalah satu penyelesaian? Menjadi satu persoalan yang unik bagaimana Zionis ini mampu menahan rasa rakus mereka untuk tidak merobek jasad Muslim di Gaza ketika ini.

Baru sebentar tadi aku dapat satu berita pelanggaran perjanjian gencatan senjata daripada Israel Defense Force (צְבָא הַהֲגָנָה לְיִשְׂרָאֵל) yang telah menyebabkan beberapa lagi rakyat awam syahid.

Penyokong Zionis yang bukan Yahudi

Sebenarnya Zionis masih lagi menang walaupun berlaku gencatan senjata. Kerana ramai lagi pengikutnya, yang telah beranggapan bahawa serangan sudah berakhir dan bolehlah mereka makan McD keesokan hari.

Ramai yang telah menarik nafas lega, sudah boleh menggunakan produk dan servis dari Zionis ini. Maka berlalu sudah zaman kegelapan mereka bersusah payah memboikot pelbagai jenama dan syarikat yang berkaitan dengan Israel.

Tak perlu lagi mereka menyamar di sebalik t-shirt SAVE GAZA dan edaran flyers Benjamin Netanyahu setiap hari. Ramai yang akan mula menukar kembali profile photo dan avatar kepada artis dan selebriti. Kebanjiran info dan isu Gaza di facebook dan twitter mula mendap dikaburi gelak tawa hiburan tajaan Zionis.

Tugas media mensensasikan isu

Isu Gaza ini tak akan tenggelam, cuma akan mengalami peralihan, diversion of issue. Contoh terdekat, Piala AFF akan mula menjajah trending twitter dan facebook yang juga merupakan medium utama gerak saraf isu Gaza.

Sepatutnya isu penindasan Muslim ini tidak bermusim/seasonal. Isu Rohingya, Abu Gharib, Damascus, Homs, Selatan Thai dan sebagainya. Tapi itulah masalahnya, kita hanya manusia yang terumbang ambing dengan ombak media.

Media memainkan peranan yang amat besar dalam menyedarkan Muslim tentang penindasan yang sedang berlaku disebalik cumbuan mesra drama-drama cinta tiga segi yang disiarkan setiap malam.

Katanya negara kita ini negara Islam, tapi media kita sendiri banyak mengampu Yahudi Zionis. Menaja maksiat dan fitnah, menganjur kebencian dan perbalahan politik.

Jajahan mental Zionis

Bukan sahaja penjajahan fizikal, turut serta penjajahan mental yang menjadi salah satu agenda utama mereka. Sedaya upaya mereka cuba menjauhkan Muslim dengan Islam, memagari Muslim dengan hiburan dan maksiat daripada mendekati agama.

Jajahan mental ini juga menyumbang kepada penindasan ekonomi Muslim. Mana taknya, tengok sahaja betapa berhantunya jenama-jenama produk dan servis dari Zionis yang tidak lekang walau seinci dengan hati Muslim. Justeru membuatkan produk Islamik sukar untuk menembusi kepulan syaitan yang menebal lagi menggoda.

Muslim terjerat dengan janji dunia

Sekarang sudah sampai satu tahap di mana Muslim kelu dan buntu. Nak boikot apa kejadahnya tak ada efek pun. Nak berjuang angkat senjata tak berduit pula, anak bini nak makan apa. Nak derma ke Gaza macam mana, zakat pun tak mampu bayar. Leher sendiri kena rantai dengan loan kereta, rumah dan sebagainya.

Kalau tak boikot nanti Zionis makin menggila. Niat nak boikot terbantut dengan segala ragam produk dan servis Muslim yang bagai melepas batuk di tangga. Kalau tak boikot, makin banyak dana akan disalurkan untuk penyembelihan Muslim di Gaza. Makin luas jajahan negara haram Israel memakan setiap kaki persegi tanah Palestin.

Segalanya memuncak hingga ke hari ini. Analogi ciptaan aku sendiri: “Sebelah tangan Muslim membantu saudaranya di Gaza, sebelah tangan lagi tidak jemu menyalurkan dana menyembelih mereka.”

Kenapa pilih boikot?

Mungkin pandangan aku ini jahil, tapi aku berpendapat boikot takkan mampu melumpuhkan Zionis. Tapi boikot adalah merupakan salah satu tanda protest kezaliman ini.

Boycott is not the only way. Bukan bermakna aku tak sokong boikot, bukan juga aku galakkan boikot.

Tapi sebenarnya terdapat perkara lain yang dapat memberi impak yang lebihdahsyat terhadap Zionis. Dan cara-cara itu sememangnya telah dianjurkan Nabi beratus tahun dahulu.



tags: zionis gaza hezbollah, PLO benjamin netanyahu west bank ceasefire gencatan sejata boikot secara buta anti-boikot semitic yahudi jewish palestine muslim islam tel aviv haifa new world order produk servis yahudi zionis melayu yahudi melayu zionis melayu tali barut yahudi zim ekonomi yahudi zionis kekayaan yahudi zionis melayu fanatik

Read more

Penyebaran Dakyah Yahudi Zionis di Utara Tanah Air

‎"Maaf makcik, saya bukan wakil Zionis"

Hari ini 19 November, McD mempelawa seluruh pelusuk rakyat Malaysia melampiaskan keserakahan amarah kekejaman Zionis kepada Egg McMuffin secara percuma.

Pada hari ini juga, bertempat di sebuah McD di utara tanah air, kami melakukan cubaan untuk meng-hijack (LOL) kemeriahan yang cuba ditonjolkan McD disebalik kepiluan rebahnya pejuang syahid di bumi Gaza.

Ritual ini bermula sekitar jam 10 pagi, kelihatan McD agak lengang mungkin kerana sudahpun kehabisan stok Egg McMuffin.

Kami mula menyebarkan dakyah halus ini dengan berbekalkan flyers yang masih panas yang disiapkan pagi itu juga.

*Salinan ini disahkan oleh Benjamin Netanyahu*

Flyers inilah yang akan terus digunakan sepanjang kempen memuja semangat anti-Zionis dan memupuk kesepakatan memboikot produk dan servis yang menjana kewangan mereka.

Pelbagai macam reaksi dapat kami saksikan sejurus selepas mengedarkan flyers ini. Ada yang senyum, angguk tanda faham dan bertepuk tampar berseloka mesra bersama kami

Ada pula yang berjalan tak sampai dua tiga langkah terus berpaling muka merah padam kepada kami. Macam nak marah, mungkin mereka ingat kami ini Yahudi agen Zionis!

Mungkin Makcik comel itu baca sekali sahaja. Tanpa mengulang terus melompat hatinya kepanasan macam kami menuduh dia yang menaja kekejaman di Palestin. Lepas slow talk, tersengih juga makcik tu akhirnya.

Codename: EMKIU
     

Ini bukan aku, tapi salah seorang dari "Agen Zionis" yang berkeliaran tadi. Ada yang bersungut kenapa ada link "taufiking.com" menyibuk di dada flyers? Mestilah kena ada, sebab aku yang design flyers kan.

Aktiviti ini bersurai sekitar tengahari setelah beberapa ratus ribu keping flyers (!!?) berjaya diedarkan untuk merobek otak-otak pengunjung. Allhamdulillah kami mendapat kerjasama yang amat nyaman daripada Makcik Guard yang sangat baik hati. Begitu juga tanpa sebarang gangguan makhluk halus dari penguatkuasa Majlis Bandaraya di sana.

Dengan izin tuhan, aktiviti ini akan diakan lagi dalam waktu terdekat, sekaligus untuk menumpang semangat membara rakyat Malaysia yang masih lagi berbekas-bekas dari kekejaman yahudi Zionis yang berlaku di Gaza.


Read more

Tolong Jangan Boikot Produk Yahudi Zionis


Misteri boikot

1. Tulisan kali ini tidak langsung berbaur hasutan sarkastik.

2. Sila betulkan niat sumbing anda terlebih dahulu sebelum nak caci maki aku.

3. Apa itu Boikot? "A boycott is an act of voluntarily abstaining from using, buying, or dealing with a person, organization, or country as an expression of protest, usually for political reasons. It can be a form of consumer activism."

4.Kenapa Boikot? Simple, sebab nak menyuarakan ke-tidak-puasan-hati.

5. Wajibkah Muslim itu memboikot? Pada pendapat aku tidak wajib.

Rokok dan Rakan-rakan

6. Aku dapat satu idea dapat ketika seorang rakan aku memedaskan mulut sendiri dengan menyuruh umat Islam berhenti merokok.

7. Kerana rokok adalah antara penyumbang terbesar jajahan ekonomi Zionis.

8. Sampaikan ada satu peribahasa tahyul mengatakan “satu batang rokok = satu butir peluru”.

9. Tahyul pada pendapat aku, rasanya harga peluru bukanlah semurah itu.

10. Maka dengan itu timbul alasan si perokok yang dirasuk IBLIS* mengatakan bahawa “Rokok Indonesia ada, buat apa susah-susah berhenti merokok?”.

11. Katanya hasil dari penjualan rokok-rokok indon ini digunakan bukan untuk Zionis. (macam lah depa tahu segala).

Idea merokok sambil menderma

12. Oleh itu, aku mencadangkan agar diwujudkan satu jenama rokok yang dikhaskan untuk para perokok tegar ini hisap sambil menderma kepada Gaza.

13. Jenama Rokok ini akan menderma 90% hasil keuntungan mereka untuk disalurkan bantuan kepada penduduk Gaza yang memerlukan.

14. Walaupun mulut berbau busuk sikit, tapi hati mereka tetap ada taman. Mereka tetap mahu menderma.

15. Jangan kita discriminate orang lain hanya sebab mereka merokok (aku tak merokok).
Bukan sahaja rokok, malahan kita boleh gantikan dengan MCD, Coke, FB, Google dan sebagainya.

Bukan setakat rokok

16. Satu rangkaian-emas (GOLD-CHAIN) yang menyeluruh meliputi segala macam kehendak rakus manusia (muslim khususnya) untuk menidakkan segala alasan mereka daripada menderma untuk jalan Allah.

17. Salah satu sebab utama usaha boikot Muslim dunia hari ini gagal adalah kerana tiada alternatif yang setanding dan setara.

18. Dengan cara ini, bukan sahaja kita dapat boikot, malahan dapat membantu menyalurkan dana yang secukupnya untuk Gaza dan mana-mana pelusuk dunia yang memerlukan.

19. Contoh paling senang kedai 1Malaysia. Sekarang isu Gaza berapi kembali, tukar kedai 1Malaysia tu jadi kedai 1Gaza.

20. Kedai makan 1Gaza, kedai runcit 1Gaza, nasi kandar 1Gaza dan bermacam jenis lagi kita boleh convertkan kepada modus operandi 1Gaza ni.

Usaha Global untuk membantu Gaza

21. Ini secara langsung menunjuk Muslim itu proaktif, tak tunggu alternatif turun dari langit baru nak berubah. Muslim itu sendiri kena wujudkan alternatif berupa “Kill two birds with one stone”.

22. Cuba bayang berapa billion aliran wang ringgit sehari dapat disalurkan untuk bantuan ke Gaza dengan cara ini.

23. Itu baru Malaysia, mana tahu kalau-kalau negara Pak Arab kaya sana nak buat macam ni juga.

24. Adakah boikot satu-satunya cara? Kini tidak lagi sehingga wujudnya alternatif ini.

25. Perlukah kita boikot jika masih ada lagi cara dan saluran yang lebih hebat impaknya?.

26. Moralnya di sini, manusia tak pernah letih memberi alasan, alasan untuk berbakti ke jalan Tuhan mereka.

27. Muslim sepatutnya telah mula berfikir di luar kotak sekurang-kurangnya 50 tahun dahulu supaya dapat mempercepatkan proses kebangkitan Islam.

28. Muslim juga tak boleh bersikap terlalu fanatik sampaikan kerjanya jadi pak turut.

29. Sekian, mohon mencadang. Sekiranya anda setuju sila sebarkan.

Senarai "refreshments":


  • Boikot bukan satu-satunya jalan menentang kezaliman Zionis
  • Faktor utama kegagalan boikot adalah kerana tiada alternatif
  • Muslim perlu lebih proaktif menyediakan alternatif
  • Rokok yang selama ini senjata Zionis boleh digunakan untuk menentang mereka kembali
  • Rokok hanya sebagai satu contoh mengekspoitasi nafsu jiwa yang tegar untuk kebaikkan sejagat
  • Ketiadaan alternatif menuntut Muslim menciptanya kerana peluang masih terbentang luas
  • Kedai penjemaan 1Malaysia boleh sahaja ditukarkan kepada 1Gaza, 90% collection dapat disalurkan untuk bantuan di Gaza



Read more

Hadith adalah kisah dongeng semata-mata?


Adapun satu golongan yang menolak hadith sebagai salah satu saluran rujukan sekelian Muslim, mereka ini merasakan bahawa perawi Hadith hanya mereka-reka kisah hadith tersebut untuk kepentingan sendiri.

Lebih menarik, mereka mengaitkan fahaman agama Zoroastrianism yang amat meluas di wilayah Parsi ini mempunyai pengaruhnya dalam ulama-ulama hadith.



Pengaruh Zoroastrianism dan Parsi


Zoroastrianism dan Islam sememangya mempunyai sedikit persamaan di antara dua. Zoroastrianism adalah satu agama filosofi yang dibawa oleh Zoroaster yang dikenali sebagai salah satu agama purba terbesar di dunia.

Agama yang berpusat di Iran ini dipercayai membawa unsur-unsur negatif yang diwarisi oleh ulama dari Parsi yang mempengaruhi penerbitan hadith yang dijadikan rujukan kita hari ini.


Mereka mendakwa, kebergantungan Muslim terhadap Hadith yang sudah melebihi Al Quran itu sendiri sedang membawa Islam kepada kehancuran. Mereka juga menuduh Ulama Hadith sebagai pensabotaj agama.

Kesan Penggunaan Hadith

Bagi mereka, Hadith adalah salah satu punca perpecahan yang berlaku dikalangan Muslim itu sendiri. Hadith telah dimanipulasi sehinggakan golongan Non-Muslim merasakan jelik dan bencikan Islam dan Muslim.

Golongan ini sering dilabel sebagai anti-Hadith. Mereka cenderung menggunakan dalil Quran yang menggambarkan kesempurnaan Kalam Allah ini tidak perlukan bahkan melarang bergantung kepada Hadith.

"...Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar..." (Al-Maidah:101)

"...Dia lah yang menurunkan kepadamu Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran..." (Ali-’Imran:7)

Ayat-ayat di atas menerangkan kenapa mereka rasakan betapa Muslim perlu menerima Quran sebagai rujukan tunggal ke-Islam-an mereka.

Dalil menolak Hadith

Mereka juga menyatakan bahawa tiada istilah "Hadith" di dalam Al Quran yang merujuk kepada kisah dan pengkisahan Nabi Muhammad SAW. Begitu juga dengan ketiadaan dalil Al Quran yang jelas mengatakan harus menggunakan Hadith sebagai rujukan.

Dakwa mereka, Ulama Hadith Parsi adalah tidak segan silu dengan kelucahan. Malah mereka mengketengahkan beberapa Hadith yang kelihatan menggambarkan sedikit kelucahan yang dikatakan bahawa direka cipta oleh Ulama Hadith itu sendiri.

Mereka juga mempertikaikan perawi Hadith seperti Al-Bukhari yang dikatakan bermasalah dan dipengaruhi kerajaan boneka Abasid yang bertali barut dengan kepercayaan Zoroastrianism di Parsi.

Turut dipersoalkan kewibawaan Al-Bukhari yang dikatakan meluangkan 16 tahun menjelajah mencari Hadith dan menghafal serta mengkaji semuanya yang hampir berjumlah 1 juta Hadith. Dikatakan kisah-kisah ini dipengaruhi syair-syair dongeng yang sememangnya terkenal di Parsi.

Sains sanad hadith turut menjadi pertikaian apabila penerbitan dan perakuan ketulenan hadith itu dibuat 250 tahun selepas kewafatan Rasulullah. Mereka beranggapan bahawa mustahil Ulama Hadith dapat mengesahkan ketulenan senarai sanad yang telah lama meninggal dunia.

Selangkah Ke Alam Misteri

Terdapat satu misteri yang aku lihat dari golongan ini. Mereka seperti menggunakan Al Quran itu sebagai kamus bahasa Arab harian mereka. Copy dan paste sana sini. Bila ditanya makna dijawab juga dengan copy paste.

Lebih hairan, mereka mempertikaikan penulisan hadith dan Ulama hadith serta mengatakan bahawa kandungan kisahnya telahpun dimanipulasi. Sebaliknya, boleh pula mereka berpegang teguh pada Ulama tafsir yang telah mereka copy paste tanpa apa-apa syak wasangka.

Tidak dapat dipastikan sama ada golongan ini menolak 100% hadith atau menerima sebahagian sahaja. Serta bagaimana golongan ini bersolat dan mengerjakan ibadat khusus lain yang dilakukan Nabi Muhammad tanpa merujuk kepada sunnah dan hadith. Menjadi tanda tanya bagaimana mereka memperhalusi hukum hakam dunia alaf 21 hari ini dengan tanpa merujuk sunnah dan hadith.

Antara dalil terkuat mereka adalah sebaris ayat dari Surah Luqman:

"..Dan ada di antara manusia orang yang mempergunakan HADIS (cerita dongeng) yang tidak masuk akal untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa sebarang pengetahuan dan menjadikannya agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; Merekalah orang-orang yang akan memperolehi azab yang menghinakan.." (Luqman:6)

Sememangnya mana-mana ayat Quran tidak dapat dipertikai oleh mana-mana Muslim sekalipun, kerena ianya adalah Kalam Allah.

Mereka juga menekankan rukun Iman (beriman dengan Al Quran) sebagai salah satu pegangan mutlak dan tidak harus di rentas walaupun oleh jutaan hadith. Justeru dikatakan merujuk kepada hadith adalah satu perbuatan yang syirik dan terpesong jauh dari agama.

Beriman kepada Rasulullah sama sekali tidak dapat dikaitkan dengan hadith kerana mereka sememangnya mempertikaikan kewibaan Ulama Hadith yang dikatakan mengadun kisah dongeng untuk kepentingan peribadi/kerajaan ketika itu.

Justeru, mereka merumuskan bahawa hadith adalah salah satu faktor utama perpecahan umat Islam serta penindasan yang sedang berlaku hari ini. Mereka juga mengatakan hadith ini melemahkan umat Islam itu daripada bangkit, ini berdasarkan pelbagai hujjah berkaitan Imam Mahdi yang dikatakan dongeng.

Antara hadith yang menjadi pertikaian hangat

Hubungan seks semasa haid
Riwayat oleh 'Abdur-Rahman bin Al-Aswad (pada pihak berkuasa bapanya) 'Aishah berkata: "Apabila Rasulullah saw mahu mengusap-ngusap sesiapa di antara kami semasa waktu (datang haid), beliau kebiasaannya memerintahkan dia memakai Izar dan mula bercumbuan." Saidatina Aisyah ra berkata, "Tiada seorang pun daripada kamu boleh menguasai keinginan seks sebagaimana yang Nabi mampu lakukan."; Sahih Bukhari Volume 001, Buku 006, No 299

Nabi Isa as akan kembali
Dan juga dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat (رَّفَعَهُ) Nabi Isa kepadaNya (disisiNya?); dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah an-Nisaa: 157-158)

Menggiliri 9 isteri satu malam
Telah menceritakan kepada kami Musaddad Telah menceritakan kepada kami Yazid bin Zurai' Telah menceritakan kepada kami Sa'id dari Qatadah dari Anas radliallahu 'anhu, bahwasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah menggilir para isterinya dalam satu malam, sementara saat itu beliau memiliki sembilan orang isteri. Khalifah berkata kepadaku; Telah menceritakan kepada kami Yazid bin Zurai' Telah menceritakan kepada kami Sa'id dari Qatadah bahwa Anas telah menceritakan kepada mereka, dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam; Sahih Bukhari: 4680.

Solat 5 waktu (Ayat Quran)
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu pada tiga masa; sebelum Salat Fajar, ketika kamu menanggalkan pakaian kamu di tengah hari, dan sesudah Salat Isha; itulah tiga masa bagi kamu. Tiada dosa bagimu dan tiada pula bagi mereka selain dari (tiga masa) itu; mereka keluar masuk melayani kamu, dan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (24.58)

Kesimpulan awal

Hari ini Muslim mengambil jalan mudah mengkafirkan golongan yang dikatakan anti-hadith ini. Secara jujur, aku sendiri tidak selesa dengan cara ini. Siapalah kita nak menghukum?

Maka menjadi tanggungjawab Muslim lain yang sihat mentalnya untuk menyedarkan dan mendakwah mereka ini kembali ke jalan yang benar. Namun, aku tahu aku jahil untuk mula merentang arus mereka. Maka aku perlulah buat kajian terlebih dahulu untuk memperkasakan hati dan jiwa sendiri.

Tidak dinafikan, hujjah dan persoalan yang ditimbulkan golongan ini bersilau-silau baranya. Tapi kalau dipendam dan mengharapkan sendiri jawapan yang datang bergolek, risau makin lemah pula iman senipis kulit bawang ini.

Maka perlulah kita mengkaji dahulu sebelum bertindak. Selemah-lemah usaha, berdoalah kepada orang lain dan mereka yang terjebak.

Read more

Comments