Kenapa IHSB tuntut dari Kerajaan Negeri


Sepertimana terbitnya keterangan saya yang lepas tentang masalah tuntutan tunggakan gaji yang diajukan kepada YAB Menteri Besar Kedah, saya ingin memberikan pencerahan kenapa isu tuntutan itu ditujukan kepada beliau.

Dengan rasa rendah diri, kami ingin melahirkan rasa kesal apabila YAB Menteri Besar yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN yang kami hormati, membuat kenyataan bagaikan entiti IHSB dan setiap kakitangan yang bekerja di dalamnya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Kerajaan Negeri.

Seperti yang saya jelaskan di dalam keterangan sebelumnya, punca kegagalan IHSB membayar gaji kami adalah kerana berlaku masalah aliran kewangan. IHSB dan anak syarikat lain menyediakan kemudahan pembelajaran dan sumber tenaga manusia untuk membolehkan pelajar-pelajar KUIN mendapat servis dan kemudahan yang mereka bayar.

Segala apa yang disediakan oleh IHSB untuk pelajar KUIN telah diperincikan di dalam invois bayaran kepada Bendahari. Invois itu telah dipersetujui dibayar oleh KUIN sebagaimana pembayaran yang dibuat sehingga sekurang-kurangnya April lalu. Namun tiada bayaran dibuat untuk invois bulan Mei hingga kini.

Dengan ini, saya tidak menafikan apa-apa jenis masalah pengurusan dan halatuju syarikat. Tetapi saya menerangkan bagaimana kami dibayar, untuk apa kami dibayar dan siapa yang perlu menjelaskan bayaran.

Penerangan ringkas:
1. IHSB sediakan servis dan kemudahan kepada pelajar KUIN
2. Pelajar bayar yuran kepada KUIN
3. KUIN akan membayar invois yang tertakluk kepada servis dan kemudian yang disediakan IHSB

Oleh sebab itulah kami sebulat suara, cuba membawa isu ini kepada perhatian YAB Menteri Besar sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN. Kerana kami percaya YAB Menteri Besar akan menjaga kebajikan pelajar dan kakitangan yang berkhidmat untuk INSANIAH.

Seiring dengan status KUIN sebagai sebuah badan berkanun Kerajaan Negeri. Maka tidak menjadi sesuatu yang janggal untuk mengajukan isu tuntutan ini kepada Kerajaan Negeri sendiri. 

Ketahuilah, bahawasanya kami hanyalah kakitangan yang diamanahkan tugas untuk mengoperasikan IHSB dan memastikan segala bentuk servis dan kemudahan disampaikan kepada pelajar KUIN. Untuk menafikan hak kami untuk dibayar gaji, adalah sesuatu yang amat dikesali.

Berkenaan penjelasan status perjawatan kami, sememangnya kami bukanlah di ambil bekerja di bawah Kerajaan Negeri. Kami semua tertakluk kepada perjawatan di bawah IHSB. Namun begitu, penyelesaian masalah bayaran invois dan halatuju anak syarikat oleh YAB Menteri Besar akan dapat memberi gambaran kepada status perjawatan kami.

Sepertimana hari ini, status kami tergantung kerana tiada maklumbalas yang spesifik terhadap kelangsungan halatuju syarikat daripada Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar menerusi KUIN. Dan tunggakkan bayaran menyebabkan kami tidak mendapat hak kami untuk dibayar gaji.

Maka dengan itu kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah ini dengan kadar yang segera untuk membolehkan masalah pembayaran ini diselesaikan sebelum 30 Ramadhan sempena sambutan Hari Raya.

Penerangan ini tertakluk kepada pemahaman saya melalui rujukan invois dan perjanjian di antara IHSB dan KUIN. Penerangan ini juga tidak berniat untuk menunding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya cuba mencari menyelesaian untuk membolehkan Kolej Universiti INSANIAH terus maju dan berkembang.

Saya terbuka untuk dihubungi oleh sesiapa jua yang prihatin dan ingin turut sama menyelesaikan masalah ini. Saya percaya isu ini mempunyai penyelesaian, dan keterbukaan di antara kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan adalah amat dialu-alukan.

Sekali lagi saya alu-alukan sesiapa juga dari mana-mana organisasi prihatin, badan-badan kerajaan, individu atau pihak Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar sendiri untuk menghubungi saya sekiranya memerlukan penjelasan ataupun perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini. Saya boleh dihubungi melalui talian telefon 012 424 6269.

Terima kasih di atas keprihatinan anda semua, kami amat menghargai segala usaha anda untuk menyelesaikan masalah ini.

Salam Ramadhan, Salam Syawal yang bakal tiba.

Muhamed Taufik. 10:07 pagi, 28 Ramadhan 1434.

Read more

KUIN vs INSANIAH Holding SDN BHD (UPDATED)


Sempena hiruk pikuk isu permasalahan Kolej Universiti INSANIAH (KUIN), saya sebagai salah seorang kakitangan INSANIAH Holding SDN BHD (IHSB), ingin memberikan keterangan sebagai pencerahan kepada beberapa pihak.

Kenyataan ini dibuat di atas pemerhatian, pengalaman dan perbincangan bersama rakan-rakan lain selama mana saya masih ditakrifkan sebagai salah seorang staff IHSB.

Saya akan hanya menyentuh isu staf dan pengurusan. Buat masa ini saya tidak akan menyentuh pelajar, tidak bermakna isu pelajar tidak berhak mendapat keutamaan, walaupun isteri saya sendiri adalah salah seorang graduan KUIN yang agak kurang bernasib baik. Ini kerana masalah pembayaran gaji ini secara tidak langsung akan turut menyumbang kepada kerumitan masalah pelajar yang lebih teruk sekirannya tidak dibendung.

Selain dari masalah tidak dibayar gaji, kakitangan juga menghadapi masalah status gantung tidak bertali. Kami berdepan dengan situasi yang mudah digambarkan sebagai “Constructive Dismissal”. Di mana majikan gagal membayar gaji dan gagal memberi penjelasan tentang status penjawatan kami. Keadaan ini membawa tekanan kepada kakitangan dan membuatkan ramai yang ingin meletakkan jawatan.

Kegagalan IHSB untuk membayar gaji adalah bertunjangkan kepada aliran tunai yang disekat oleh KUIN. Sebagai anak syarikat kepada KUIN, IHSB menyediakan tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran dan pelbagai perkara berkaitan yang sememangnya memerlukan kos dan perbelanjaan.

Atas beberapa sebab yang tidak diperjelaskan, KUIN memutuskan untuk tidak membayar invois kontrak yang telah disempurnakan oleh IHSB, dan perkara ini menyebabkan ramai yang teraniaya dengan masalah gaji tertunggak.

Matlamat asal penubuhan IHSB dan anak syarikat lain adalah supaya memboleh KUIN berdiri dengan kaki sendiri tanpa perlu mengharap bantuan dari Kerajaan Negeri. Berlandaskan halatuju ini, IHSB perlu mencari pendapatan untuk membolehkannya beroperasi dan seterusnya menyokong perbelanjaan kewangan KUIN sendiri.

Anak-anak syarikat KUIN ini turut diberikan suntikan modal oleh untuk membolehkan mereka mula beroperasi. Selain dari menguruskan projek-projek luar, mereka memulakan perniagaan dengan menyempurnakan kontrak menyediakan sumber manusia, sistem teknologi maklumat, reka bentuk dan penyelenggaran untuk KUIN.

Saya tidak menafikan wujudnya hubungan korporat yang amat rapuh di antara KUIN dan anak syarikatnya berdasarkan permasalahan gaji, peruntukan kewangan, urusan tuntutan dan sebagainya yang saya sendiri pernah hadapi.

Saya juga akui, berdasarkan pemerhatian saya yang hina, berlaku permasalahan di dalam pengurusan IHSB dan begitu juga KUIN sendiri. Namun begitu, sebagai sebuah organisasi yang dicipta manusia, adalah mustahil sekiranya sesuatu organisasi itu kebal dari sebarang masalah.

Masalah kelewatan gaji adakalanya berlaku sebelum berlangsungnya PRU 2013 lagi. Tetapi selepas berlangsungnya PRU 2013, ramai kakitangan tidak dibayar gaji untuk bulan Mei 2013. Walaupun sebelumnya sudah terdapat sebahagian kakitangan tidak dibayar gaji pada bulan April 2013.

Sehingga 4 Ogos, kami masih belum mendapat hak kami. Walaupun begitu kami bersyukur kerana YAB Menteri Besar memberi respons yang positif berkenaan isu ini. Untuk pengetahuan semua, selama mana kakitangan tidak dibayar gaji, telah beberapa kali dijalankan usaha untuk menyelesaikan masalah ini.

Kakitangan yang terlibat telah membuat beberapa aduan kepada Pejabat Buruh dan ada dari kalangan kami yang cuba membawa isu ini kepada pengetahuan YAB Menteri Besar, dengan harapan ia akan mendapat perhatian sepatutnya.

Kami sebagai kakitangan syarikat cuba bersikap seberapa neutral mungkin dalam mengharungi masalah ini. Walaupun begitu, saya turut kesal apabila melihat kewujudan pengaruh politik tidak sihat sehingga menyebabkan berlakunya penindasan dan penganiayaan yang tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah organisasi Islam seperti ini.

Ingin saya tegaskan, IHSB sememangnya ditubuhkan dari zaman pemerintahan kerajaan terdahulu, tetapi tidak semestinya kami semua tidak sehaluan dengan kerajaan yang memerintah hari ini. Kami bekerja untuk majikan tanpa perlu mengira apapun pengaruh kepartian yang dibawa oleh majikan terdahulu atau hari ini.

Kami merasa cukup terkilan kerana masalah ini sepatutnya dapat ditangani 2 atau 3 bulan yang lalu. Sekiranya diberikan perhatian yang sebaiknya , hari ini KUIN akan dapat beroperasi dengan lancar pada tahap yang optimum.

Ingin saya jelaskan di sini, sebahagian besar daripada kakitangan yang teraniaya ini bukanlah mereka-mereka yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan penting yang bakal menentukan halatuju syarikat. Sebaliknya, majoriti dari kami adalah diamanahkan dengan tugas-tugas harian separa professional dan sokongan.

Majoriti dari kami ditawarkan kadar emolumen yang rendah berbanding mereka yang berjawatan tinggi. Berdasarkan bidang tugas urus tadbir pejabat, penyelenggaraan, system maklumat dan pendidikan, gaji kami sememangnya tidak tinggi dan kini kami dihimpit masalah kewangan yang memeritkan.

Saya menulis bukan untuk mencari salah sesiapa dan menunding jari kepada mana-mana pihak. Saya menulis bukan untuk mencari simpati segenap mereka yang membaca. Tetapi saya hanya ingin menuntut hak saya. Selama 3 bulan, pelbagai cara sudah kami cuba dan kini Syawal bakal bersidang kurang dari seminggu.

Saya amat berharap YAB Menteri Besar sudi memberikan kerjasama untuk menangani masalah ini. Saya mewakili kakitangan yang lain, ingin menuntut gaji kami tidak dibayar selama 3 bulan dan memberikan penjelasan sewajarnya tentang status perjawatan kami.

Kami akan patuh sekiranya servis kami tidak lagi diperlukan, tetapi kami mohon segala urusan dilakukan menerusi prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Ulasan saya terhadap kenyataan YAB Menteri Besar yang menyatakan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan IHSB adalah, dengan rendah diri saya sarankan YAB Menteri Besar datang sendiri bertemu dengan kami dan dapatkan penjelasan dari kedua-dua belah pihak.

Saya juga berharap, kenyataan YAB Menteri Besar tentang warisan masalah atau hutang kerajaan terdahulu agar dikaji semula. Kerana tidak ada istilah cuci tangan untuk mana-mana kerajaan yang siuman di dalam dunia ini. Kerajaan terhasil daripada pemilihan rakyat, dan hak rakyatlah yang perlu dibela oleh kerajaan tanpa perlu mengira apa jenis warisan yang diperturunkan kepada mereka.

Diharap YAB Menteri Besar boleh cuba mendapatkan maklumat dari mereka yang terlibat kerana maklumat dari sumber sekunder mungkin indah khabar dari rupa. Kami tiada apa-apa tujuan untuk menjunjung “political millage” mana-mana parti. Kami hanya mahu hak kami disempurnakan untuk kami menyempurnakan tugas kami di INSANIAH.

Kami tidak hanya menunggu kedatangan YAB Menteri Besar, kami telah beberapa kali cuba menghubungi YAB, namun nasib mungkin tidak menyebelahi kami sebagai rakyat Kedah dan warganegara Malaysia.

Kenyataan ini mungkin atau mungkin tidak mewakili kesemua kakitangan IHSB yang teraniaya. Pelbagai pendapat yang diutarakan di atas dibuat berdasarkan kapasiti persendirian saya. Saya mungkin tersalah maklumat atau tersalah tafsir maklumat. Namun saya terbuka kepada sebarang komen dan pembetulan fakta oleh rakan-rakan yang lain.

Saya tiada identiti untuk disembunyi. Saya berhak dipertanggungjawab di atas kenyataan saya. Saya amat berharap sesiapa jua yang perlukan penjelasan atau perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini dapat menghubungi saya. Saya boleh dihubungi melalui laman ini, ataupun melalui nombor telefon saya 012 424 6269.

Saya tegaskan, saya terbuka untuk dihubungi hanya untuk penjelasan dan penyelesaian isu sahaja. Saya tidak tertakluk untuk menjaga kepentingan mana-mana parti. Saya tidak berminat untuk berkerjasama bagi terus menghasut kebencian.

Selamat “menyempurnakan” Ramadhan, Wassalam.

UPDATE


Terdapat sedikit kemusykilan dari rakan-rakan tentang tuntutan bayaran tunggakan gaji daripada kerajaan negeri. Oleh itu saya akan cuba terangkan perkara ini dengan seberapa ringkas yang mungkin. 

Seperti yang saya jelaskan di awal keterangan di atas, punca kegagalan IHSB membayar gaji kami adalah kerana berlaku masalah aliran kewangan. IHSB menyediakan kemudahan pembelajaran dan sumber tenaga manusia untuk membolehkan pelajar-pelajar KUIN mendapat servis dan kemudahan yang mereka bayar. 

Segala apa yang disediakan oleh IHSB untuk pelajar KUIN telah diperincikan di dalam invois bayaran kepada Bendahari. Invois itu telah dipersetujui dibayar oleh KUIN sebagaimana pembayaran yang dibuat sehingga sekurang-kurangnya April lalu. Namun tiada bayaran dibuat untuk invois bulan Mei hingga kini. 

Dengan ini, saya tidak menafikan apa-apa jenis masalah pengurusan dan halatuju syarikat. Tetapi saya menerangkan bagaimana kami dibayar, untuk apa kami dibayar dan siapa yang perlu menjelaskan bayaran. 

Penerangan ringkas:

1. IHSB sediakan servis dan kemudahan kepada pelajar KUIN
2. Pelajar bayar yuran kepada KUIN
3. KUIN akan membayar invois yang tertakluk kepada servis dan kemudian yang disediakan IHSB

Oleh sebab itulah kami sebulat suara, cuba membawa isu ini kepada perhatian YAB Menteri Besar sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN. Kerana kami percaya YAB Menteri Besar akan menjaga kebajikan pelajar dan kakitangan yang berkhidmat untuk INSANIAH.

Baca selanjutnya Kenapa IHSB buat tuntutan kepada Kerajaan Negeri



Read more

Bukan Anjing yang hina Islam

Di sebalik rimbunan kes jenayah-bunuh-tembak yang makin berleluasa kini, negara kita sempat juga bergolak dengan isu penghinaan terhadap agama Islam, terutama di bulan puasa dan sambutan Hari Raya.



Ramai yang terasa seperti terancam sifat-sifat ke-Islam-an dan ke-Melayu-an mereka apabila berdepan dengan isu seorang jurulatih Maznah Mohd Yusof berinteraksi dengan riang bersama-sama sejenis haiwan bernama anjing.

Read more

Undi PAS pun boleh masuk Neraka



1. Sebelum PRU13 tempoh hari, sering kedengaran para ilmuan berbincang tentang keperluan memilih kerajaan Islam berbanding kerajaan yang tidak Islamik

2. Ada kala ketikanya, menjadi satu kewajipan untuk mengeluarkan undi untuk menegakkan Islam (baca Parti Islam)

3. Sehingga satu tahap, membuang undi untuk menidakkan hak kerajaan Islam (baca Parti Islam) untuk ditegakkan adalah umpama memerangi agama suci ini

4. Sehingga satu lagi tahap, mengundi untuk parti lawan (baca rejim BN) adalah umpama menaja kemungkaran dan membantu meneruskan kezaliman rejim itu

5. Ini membawa kepada satu konklusi bahawa mengundi kepada rejim itu saling tidak tumpah dari menunaikan janji syaitan untuk bersama mereka di dalam neraka (Nauzubillah)

6. Sememangnya undi yang dilemparkan untuk Parti Islam itu tidak akan menjamin syurga anda di sana

7. Begitu juga, ia tak akan mampu menjamin anda daripada tidak terjerumus ke dalam neraka

8. Oleh itu apa bezanya mengundi Parti Islam vs Rejim Zalim di negara tercinta ini?

9. Bezanya ada pada setiap mereka yang menyokong parti-parti itu, sama ada akhlak mereka persis ahli neraka atau pun tidak

10. Sama ada kerajinan mereka menabur duri kepada penyokong lain, mahupun usaha memecahbelahkan jemaah Islamiah mereka sesama sendiri yang bermodalkan air liur (Fitnah)

11. Begitu juga dengan racist. Racist bukan hanya sekadar antar Melayu dan Cina mahupun India.

12. Tetapi racist sesama Melayu, racist dengan warna parti!

13. Persoalan yang timbul, “Kalau mana-mana parti pun masuk neraka, mana satu aku nak pilih?”

14. Jawapannya, ini bukan soal parti. Sekalipun parti Islam yang disokong, tetapi kalau kerjanya lebih buruk dari orang kafir, maka nerakalah hentian kamu (at least sebelum masuk syurga juga)

15. Untuk orang yang sememangnya berniat untuk tidak masuk neraka (atau memang nak masuk syurga), sudah pasti mereka sudah mengetahui situasi ini.

16. Maka mereka-mereka ini segera runtuhkan ego kepartian mereka untuk menuntut keadilan dan menegakkan kebenaran berlandaskan kepentingan agama mereka

17. Putrajaya bukan satu alasan untuk mempamerkan akhlak syaitan kepada non-believers

18. Adapun tulisan ini benar dan mungkin tidak benar, beruntunglah kepada mereka yang baca sehingga baris terakhir ini


BN menang bergaya
Jangan risau
Esok belum Kiamat
Insyaallah

Read more

Nikah Connecting People



Nikah dan duit bersendi rima
Bukan seringgit dua
Tapi ada yang sampai bergadai harta
Bukan kerana air naik kepala
Tapi tuntutan fitrah sesama manusia
Bukan mencari isteri semata
Tapi mencari yang layak untuk anak-anak kita juga

Nikah dan mas kahwin terbalut satu warna
Bukan matawang menjadi skala
Tapi seikhlas budi menabur cinta
Kadang tuan badan langsung tak berkira
Tapi saudara mara pula yang terlebih mengada
Benda baik kenapa nak disusah usaha
Bukan berdosa
Bahkan dapat pahala

Nikah dan kenduri bagai masyhur sastera
Umpama pelengkap bunga dan kumbangnya
Seumur hidup sekali sahaja
Tapi bukan alasan untuk membazir wang dan masa
Kalau kamu rajin berusaha 
Mungkin menikah buat kali kedua tiga dan empatnya
Tapi kini makin terpesong kenduri kendara
Menjadi medan riak dan bermuka-muka
Moga kita dijauhkan dan dipelihara
Dari turut sama dibelit dengan adat ular sawa!

Nikah sebenarnya berlagu dengan agama
Adat dan budaya itu nombor dua
Biarkan mulut mereka menabur kata
Jawab pada mereka "Ma Rabbuka?"
Bukan sekadar berkahwin tapi berkeluarga

Menjaga anak isteri bukan sekadar makan dan pakai sahaja
Jangan sampai menjadi bara neraka
Merah menyala sesal kelalaian dunia

p/s: Pesanan buat diri sendiri dan rakan-rakan
pp/s: Sorry lama tak update, sibuk sikit
ppp/s: Jemput mai kenduri hahaha





Read more

Valentine yang dinantikan


“Orang bercinta sebelum kahwin akan banyak membuat perkara bodoh, terutamanya orang perempuan”


Itu ayat selingan dari Hamka Keretamayat. Katanya orang perempuan sahaja yang buat kerja macam dia cakap tu. Tapi sebenarnya lelaki pon tak kurang hebatnya.

Tak mungkin terbit anak luar nikah kalau tak ada kerjasama kedua-dua belah pihak kan? Kita digalakkan mencari keturunan yang baik untuk dibuat keluarga. Tapi mencari sahaja tak mencukupi. Kita perlu menjaga.

Orang bujang cukup-haul-banyak-alasan macam aku ni mana ada anak bini nak jaga keturunan. Tapi aku masih ada adik-adik dan saudara mara. Aku juga ada saudara seagama, walaupun mereka kini sedang beradu tenaga di tempat-tempat sunyi. 

Straight to the point, wujudnya keperluan untuk menjaga ketuturunan tak kira siapa jua diri kita. So, berbekalkan segenggam semangat dan segulung flyers (seperti di bawah) malam tadi dikerahkan kudrat sukarela kami untuk melakukan sedikit servis komuniti.

Jangan silap faham, ini bukan bertujuan meninggi diri. Tapi ini untuk dikongsi, hari ini mungkin kami, hari esok mungkin orang lain nak cuba. 

Macam biasa, lokalitinya Kedah, Alor Setar. Tak ramai pada angka, tapi besar jiwa-jiwa yang turut serta. Bermula dari jam 11 malam kami mula gerak khas mengedarkan risalah dan diikuti dengan interview-interview insan-insan yang terpilih. Dan disusuli dengan bulatan gembira.

Alhamdulillah, tak ada kemalangan jiwa yang berlaku dalam event yang simple and affordable ini. Tapi memang wujud layanan macam makhluk asing terhadap rakan-rakan kami. Siapa tak terkejut dapat flyers sentap malam-malam buta macam ni? 

Jumlah flyers pun tak banyak, tapi sold out. Gelut sebar dakyah Valentine vs Palestine tengah-tengah malam buta, tapi respons keseluruhan warga kota amat memberansangkan. 

Ok friendly reminder, Buku Jalanan Jitra akan dianjurkan lagi pada esok hari. Sila dapat info terbaru dari page FB Buku Jalanan Jitra



Read more

Apa itu BONGKAR 403 juta? (UPDATED)

Grafik ringkas menerangkan BONGKAR 403 yang sedang dijalankan di Kedah. Mohon sebarkan.






Mulanya aku tak berapa nak sokong benda ni, sebab ada unsur-unsur partisan. Tapi bila difikirkan balik interest rakyat, rasanya perlu juga aku bantu mana yang patut. Partisan untuk rakyat takpa kot, jangan partisan meng-ular-sawa-kan hak rakyat haha

BONGKAR 403 ni nak persembahkan kepada rakyat tentang penyelewengan dan salahtadbir sehingga melibatkan RM403 juta di Kedah sahaja. Dari zaman Osman Aroff sampai ke hari ni (zaman PAS?).

Diketuai oleh YB Firdaus Jaafar dengan kerjasama rakan-rakan seperjuangan PR. Memang nampak macam agak kepartian sikit gerakan ni. Tapi sekali lagi, atas dasar the interest of rakyat, aku tolong bantu.


**********************************************************************************

UPDATE





Gambar sekitar fenomena BONGKAR 403 kat Alor Setar. Gerakan ni akan berjalan sampai PRU nanti.









Link-link berkaitan BONGKAR 403

Harakah Daily
Sedaka Sejahtera
Facebook Page BONGKAR 403
Kedahlanie.info
MyKedah2u
Warga Marhaen
Blog MP Firdaus Jaafar

Untuk info semasa buleh dapatkan kat fanpage facebook, ataupun google search BONGKAR 403

Read more

Bantuan untuk Pak Mie dan Mak Intan



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Aku ingin berterima kasih kepada semua yang support entry tentang Pak Mie dan 500 ekor anjingnya sehingga mendapat sambutan yang menggalakkan.

Berbanding dengan entry sebelumnya, entry ini akan mengumpulkan secara ringkas semua info tentang Shelter Pak Mie dan Mak Intan, supaya orang ramai dapat kenal dengan lebih dekat dan melawat mereka.

Berdasarkan perbualan saya dengan rakan-rakan yang selalu melawat Pak Mie, sekarang ini mereka sedang menghadapi krisis pemilikan tanah. Di mana tanah yang diduduki Pak Mie berkemungkinan besar perlu dikosongkan dengan arahan pihak berkuasa.

Terdapat aduan daripada pihak swasta dan persendirian tentang Shelter Pak Mie yang menyebabkan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan. Berdasarkan video di dibawah, Pak Mie perlu menguruskan perpindahan tapak shelter ini ke tempat lain selewat-lewatnya sehingga bulan Mei 2013 ini.



Oleh itu kami ingin mengambil inisiatif untuk expose Animal Shelter Pak Mie dan Mak Intan kepada semua pihak supaya lebih ramai dapat mengenali mereka dan diharapkan dapat menyalurkan apa jua bentuk bantuan yang membolehkan Animal Shelter ini meneruskan operasinya.

Kami memohon jasabaik pencinta haiwan dan seluruh hati yang sayu dengan pengorbanan dan keazaman Pak Mie dan Mak Intan berbakti pada haiwan, supaya berusaha menyebarkan secara meluas semua info tentang mereka.

Sama ada share video youtube, share gambar mereka di facebook, mahupun tweet link mereka di twitter. Semoaga segala usaha ini mendapat perhatian pihak yang berpengaruh dari dalam mahupun luar negara untuk campur tangan dalam krisis yang dihadapi Pak Mie dan Mak Intan. 

Salurkan bantuan dan sokongan anda dengan menyebarkan tentang Pak Mie dan Mak Intan.


Nama: MD AZMI BIN ISMAIL
No Telefon Pak Mie ~ 012-4090489

Hong Leong Bank : 16451 482714

Md Azmi Bin Ismail (Abang Mie),
Jalan Tanjung Bendahara,
Belakang Taman Sultan Abdul Halim,
Jalan Indah Water, Alor Setar,
Kedah Darul Aman














Facebook Pak Mie Shelter:  https://www.facebook.com/pakmieshelter




Blog Pak Mie Shelter: http://pakmieshelter.blogspot.com/



Liputan Pak Mie Dalam Akhbar







Video-video berkaitan Pak Mie 





Paypal Donation untuk Animal Shelter Pak Mie. Ini adalah Paypal rasmi dari Pak Mie. Saya dan Cikgu Adi yang akan menselenggarakan urusan Paypal untuk Pak Mie. Hati-hati dengan account Paypal lain yang tidak sah.




Sila hubungi saya sekiranya berlaku masalah tentang donation melalui Paypal. Untuk pengesahan anda boleh hubungi Pak Mie sendiri :)

Read more

Pak Mie dan 500 ekor anjingnya (UPDATE)



Assalamu'alaikum Warah Matullahi, Wabarakatuh

Di sini aku nak lagukan satu cerita. Adapun cerita ini ada bahagian yang sedih dan ada pula bahagian suka-suka. Ceritanya pasal Pak Mie dan Mak Intan, kisah benar yang berlaku depan mata kepala aku sendiri.

Pasangan mulia ini telah bertahun tahun memeriahkan hidup mereka dengan berbakti kepada binatang terbiar terutamanya kucing dan anjing. Berbekalkan kecintaan dan kasihnya mereka terhadap binatang, tiada apa lagi yang dapat melunturkan semangat mereka.

Mereka meneroka tanah lapang di Tanjung Bendahara, Alor Setar untuk dijadikan tapak pusat lindungan haiwan terbiar. Bermula dengan hanya memberi makan ditepi jalan, mereka kini membawa balik haiwan yang sakit dan mengalami masalah.

Hari ini terdapat hampir 500 ekor anjing dan 200 ekor kucing mendapatkan perlindungan di sebalik rimbunan kasih pasangan warga emas ini. Ada yang diambil dari kawasan sekitar Alor Setar, ada juga yang dihantar insan-insan prihatin dari serata Semenanjung Malaysia.



Haiwan-haiwan ini terdiri dari yang berpenyakit, cacat, tua dan pelbagai masalah lain. Terdapat juga anak-anak anjing dan kucing yang diselamatkan oleh kerana ibu mereka telah ditangkap oleh penguasa Majlis Bandaraya.

Pusat perlindungan ala kadar ini cukup buat haiwan ini berteduh selain mendapatkan rawatan dan jagaan daripada Pak Mie dan Mak Intan. Perbelanjaan makanan dan perubatan seharian mencecah RM500 sehari. Ini meliputi bekalan beras, daging, ayam, ikan dan makanan haiwan.

Bayangkan jumlah wang yang banyak diperlukan untuk menguruskan pusat perlindungan ini melebihi RM10,000 sebulan. Berkat dari keazaman dan keikhlasan mereka, tuhan telah berkati usaha ini dengan mengutuskan hati-hati yang sayu dan bermurah hati menyalurkan bantuan.


Hampir 24 jam sehari mereka mengerjakan bakti kepada haiwan malang ini. Mereka sering tidur bersama-sama haiwan ini untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku. Setiap usaha ini mereka lakukan tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan. Seikhlas hati menyalur ehsan kepada haiwan.

Sayangnya, mereka dipandang hina oleh masyarakat Melayu Muslim. Bayangkan setiap titik peluh mereka dibayar dengan caci dan cemuhan. Hanya kerana mereka berbakti kepada anjing. Muslim sendiri sibuk mempertikai hukum hakam bersentuhan dengan anjing, sedangkan anjing itu adalah makhluk Allah.

Ramai orang bukan Islam bergenang air mata melihat keringat separuh abad ini membanting tulang menjaga haiwan terbiar. Mereka datang silih berganti membawa pelbagai jenis bantuan dan sumbangan, kepada pasangan Melayu Muslim yang sanggup mencemarkan adat, demi kesejahteraan alam.


Kelu

Aku sendiri sebak, melihat seorang lelaki beragama Hindu bersama isterinya, datang membawa bantuan beras dan buah-buahan untuk haiwan ini. Aku malu teramat sangat, melihat orang bukan Islam, sanggup datang memberi bantuan.

Pak Mie akui, tak ramai dari kalangan Melayu Muslim datang memberikan bantuan. Kebanyakkan sumbangan diterima daripada orang selain Melayu Muslim. Mereka sibuk mempertikai hukum daripada sibuk membantu.

Mata aku pula yang bergenang air mata, mana mungkin orang macam ini wujud atas muka bumi. Kerjanya siang malam, tanpa gaji walau satu sen, kerjanya bergelumang haiwan, memberi makan dan merawat mereka, tanpa pendapatan, tapi usahanya berbakti kepada haiwan dibayar dengan cemuhan masyarakat?


Ya Allah, hanya syurga menanti. Aku sendiri tak sanggup. Mereka ini adalah insan terpilih dari kalangan berjuta. Aku hanya debu kalau nak dibandingkan mereka. Tengok dalam video betapa sukanya binatang bersama mereka. Mereka tetap teruskan berbakti walau terpaksa menelan beribu cemuhan.

Pak Mie berpesan, “Biar kami lakukan kerja kotor ni”, aduh kering darah aku. Kalau Pak Mie dan Mak Intan dah tak ada, siapa lagi nak buat kerja macam ni? Terus terang aku mengaku, aku sendiri tak sanggup.

Walaupun serba kekurangan, pusat lindungan ini tak pernah henti-henti dilawati ramai insan yang sayu dan tercuit hatinya dengan keazaman Pak Mie dan Mak Intan. Allah janjikan keberkatan dan rahmat dengan segala macam bantuan kepada mereka.


Lama juga aku kelu dan speechless melihat dua orang warga emas ini, otak aku kejang pikirkan logiknya apa yang mereka dapat dengan berbakti kepada haiwan ini, terutamanya anjing. Bukan sikit, bukan seekor dua tapi 500 ekor anjing dan 200 ekor kucing.

Sejak dari hari pertama aku lawati tempat ini, hampir setiap minggu aku kembali. Membawa rakan-rakan dari pelbagai latarbelakang. Mereka sendiri memberikan respons positif, ada yang bawa family dan rakan lain selepasnya, Alhamdulillah.

Pak Mie bukan nak suruh kami peluk cium anjing-anjing tu sangat, tapi apa yang dia cuba nak sampaikan adalah, kita perlu belajar hidup dengan haiwan tersebut. Dia juga makhluk Allah, silap-silap dia lagi mulia dari kita yang penuh dengan dosa ini.

Kita dah banyak kali sangat menyakiti anjing, tapi tak pernah walau sekali dia memandang hina kepada kita. Dia tetap redho diciptakan sebagai anjing. Kita pula yang perasan suci murni menghina makhluk Allah ini sewenang-wenangnya.


Melayu vs Anjing

Melayu sebenarnya tak takutkan anjing, tapi mereka lebih cenderung untuk bencikan anjing. Mereka sibuk mencari alasan di sebalik hukum hakam agama untuk menidakkan tanggungjawab mereka terhadap binatang ini.

Mereka merasakan mereka terlalu suci untuk berbudi kepada haiwan yang mereka pandang hina ini. Mereka lebih selesa untuk pejamkan mata tanpa perlu mengambil tahu kebajikan haiwan yang dipukul, dicantas ekor, disimbah air panas hanya kerana menjadi seekor anjing?


Ramai pula yang melepaskan tanggungjawab ini kepada orang non-Muslim, kerana alasan yang mereka sendiri cipta. Apa gunanya jadi Muslim kalau dengan haiwan pun tak mampu nak beradap? Hina sangatkah binatang ini?

Masyarakat Melayu Muslim sememangnya keliru. Hukum haram yang termaktub bukanlah satu lesen untuk mereka membiarkan kebinasaan haiwan bernama anjing ini. Haram dimakan, dibela tanpa alasan kukuh dan hanya najis untuk disentuh (itu pun ketika basah).

Hukum haram itu juga bukan permit untuk mereka menghina haiwan ini. Apatah lagi menghina insan-insan yang mulia ingin membantu menjaga kebajikan haiwan terbiar yang sakit dan tidak terdaya.

Manusia sendiri yang tidak mampu untuk menzahir perikemanusiaan terhadap binatang, apa lagi nak diharapkan perikemanusiaan sesama manusia? Lihat sajalah kes buang bayi, rogol, samun bunuh, peperangan, penghapusan etnik dan sebagainya.


Ini sebenarnya satu tanda aras keperimanusiaan kita. Bagaimana kita boleh mengaku diri sebagai manusia, jika dengan haiwan sekalipun kita tak mampu menjadi “manusia”? Dan kita tak perlu bingung kenapa manusia kini sudah tidak lagi cukup sifatnya sebagai “manusia”.

Mindset Melayu bila berhadapan dengan isu anjing terus runtuh ke tahap yang agak primitif. Sayang sekali mereka sering mengampu diri dengan adap dan adat sopan ke-Melayu-an mereka, tapi tidak sekali-kali pada haiwan ini.

Ini bukan budaya mereka. Budaya mereka adalah memukul anjing, mencantas ekor mereka, menyimbah air panas, membaling batu telah menjadi satu santapan ruji masyarakat ini. Mencaci dan mencemuh Melayu lain yang cuba membantu anjing adalah satu kemestian!

Sensitiviti kaum Melayu? Sensitiviti purba inilah racun yang sebenar-benarnya sedang menghakis nilai moral bangsa bernama Melayu.

Pegang anjing tak haram hanya najis, tapi anak pinak berpeleseran menjaja body, bergaul mesra pelbagai jantina, bila cukup bulan beranak anak tak sah taraf. Nah ini makanan dia.

Ke-kolot-an pemikiran adalah satu tunjang yang menghalang daripada umat Islam Malaysia berfikir diluar kotak. Ditambah pula dengan cemuhan dan pandangan serong kepada sesiapa jua yang cuba merentangi arus dogma anti-anjing ini.

Memandang anak muda berpelukan bercumbuan lebih sedap dipandang daripada memandang anjing kurap dijalanan. Memandang insan yang bersentuhan dengan anjing untuk membantunya adalah lebih hina daripada melihat maksiat.

Oleh sebab “kepintaran” manusia, binatang yang terseksa. Kita mudah menafikan hak makhluk Allah yang lain hanya kerana kita punyai otak yang lebih pintar dari mereka. Tanpa kita sedar,  kita sendiri pun tidak layak untuk dipanggil “manusia”. 



p/s: ada gambar yang aku copy dari fb Pak Mie, ada yang amik sendiri

pp/s: nak lagi gambar tengok kat fb Pak Mie

ppp/s: sebarang sumbangan bantuan boleh contact terus ke fb fb Pak Mie, tapi kalau nak join dengan aku pon boleh 

*************************************************************

UPDATE!

Terima Kasih kepada segenap sokongan yang diberikan.
Untuk pengetahuan anda, Pak Mie Shelter sedang mengalami masalah pemilikan tanah. Page ini terlalu crowded utk saya tambah info.

Sila klik link ini untuk dapatkan info and how we can help these angels! 


http://www.taufiking.com/2013/02/bantuan-untuk-pak-mie-dan-mak-intan.html






A Stray Hero from Hisyam on Vimeo.


Read more

Comments