Kerajaan Taliban di Kedah tidak mesra sejarah


"Kalau masjid diroboh baru orang nak bising"
"Tak ada beza dengan Taliban yang merobohkan kuil"
"Kalau Angkor Wat ada di Malaysia, 50 tahun lepas sudah diratakan"
"Cubaan terancang untuk mengubah sejarah"
"Adakah ini caranya mereka mempromosikan ketuanan Melayu Islam?"

Runcing kedengaran, tetapi itulah antara komen dan pandangan rakyat tentang perobohan tapak candi Sungai Batu yang berlaku di Merbok, Kedah.

Monumen yang berusia lebih dari 1,200 tahun itu jauh lebih tua dari Angkor Wat, namun kewujudannya di Semenanjung Emas tidak hanya dilupakan, bahkan sedang giat dirobohkan.

Beginilah rupa jika manusia sesat menganuti agama materialistik kewangan. Atau mungkin mereka risau aqidah Muslim bakal tergugat?

Lebih mengejutkan, kerajaan negeri Kedah dengan rendah dirinya mengakui, mereka tidak punyai kuasa untuk menghalang kemusnahan tapak arkeologi yang juga masih di dalam permohonan untuk mendapatkan status tapak warisan dunia UNESCO oleh Badan Warisan Malaysia.

Malah, Timbalan Ketua Menteri P. Pinang Dr. P. Ramasamy mengesahkan, pejabat tanah Merbok sendiri yang memberikan tabik hormat kepada pemaju untuk membersihkan tanah itu berdasarkan tiada laporan kewujudan tapak bersejarah.

Tapak sejarah ini juga telah menggamit kedatangan ribuhan pelancong yang datang dari dalam dan luar negara. 

Namun, di atas nama batu bata kemajuan moden, nilai sejarah bukan hanya terus merudum tetapi kini tercungap-cungap kelemasan di dalam lopak ketamadunan.

Entah tuhan apa yang mereka pertuhankan, sehingga titis-titis sejarah yang masih tinggal kini boleh dilenyapkan oleh ketamakan manusia oleh helaian wang kertasnya. Setapak kita ke hadapan bukan bermakna beribu tapak sebelumnya boleh dibiar diperkosakan.

Sebagaimana hebohnya pelakon filem Fast & Furious mati, sepatutnya sebegitu heboh jugalah penyebaran kancah ini. Kematian warisan harta generasi akan datang ini perlu lebih terasa peritnya. 

Rakyat tidak boleh termakan berita hiburan semata, tetapi harus lebih peka dengan kemusnahan nilai sejarah negara mereka.
Read more

PAS berada di dalam ilusi?



Adakah PAS sebagai sebuah parti yang mendakwa membawa panji perjuangan Islam, sedang mengalami ilusi? Atau lebih teruk sedang mengalami kepincangan?

Jika dikaji dari suatu sudut, PAS kelihatan cenderung hanya kepada pihak yang mempunyai persamaan dengan mereka. Persamaan yang meliputi perjuangan, ideologi, dan sebagainya.

Ini kerana secara semulajadi, kebanyakkan manusia akan cenderung menyukai atau selesa bersama manusia lain yang mempunyai persamaan pemikiran. Maka tidak hairanlah situasi ini dicerminkan oleh kewujudan gugusan kumpulan-kumpulan manusia yang berkongsi minat yang sama.

Walaupun perkara ini sememangnya masuk akal, di bawah pengaruh separa sedar mereka mula memulaukan atau mengabaikan apa jua perkara dan idea yang menyerlahkan ancaman kepada pemikiran mereka.

Ini kerana mereka hanya mengelilingi dan ingin dikelilingi pihak atau pemikiran yang mengesahkan idea dan kepercayaan mereka sahaja.

Suatu situasi yang disebut sebagai ilusi frekuensi (frequency illusion) adalah amat hampir dengan situasi yang dihadapi oleh PAS. Situasi ini menerangkan apabila otak manusia hanya mencari atau mengesan maklumat yang berkaitan dengan pemikiran sendiri.

Sebagai contoh, seseorang yang membeli sebuah kereta baru dengan jenama tertentu. Maka dia akan mendapati berlaku peningkatan jumlah kereta yang sama disekelilingnya. Ini kerana otaknya obses dengan kereta itu dan hanya mengesan sejenis objek itu sahaja.

Namun, situasi ini bersifat pasif dan tidak aktif. Berbanding PAS yang sememangnya aktif mendekati dan mencari keseragaman pemikiran dan idea untuk mengesahkan dogma yang sedia dianuti.

Berdasarkan sebuah kajian di Ohio State University pada tahun 2009, manusia menghabiskan 36% lebih masa untuk membaca sesuatu yang sejajar dengan pendapat dan pemikiran mereka.

Situasi inilah yang lebih tepat menerangkan keadaan PAS, iaitu confirmation bias. David McRaney, penulis You Are Now Less Dumb menulis bahawa situasi ini adalah satu lapisan yang membolehkan kita melihat realiti yang hanya sepadan dengan idea dan pemikiran sendiri.

Lalu lapisan inilah yang akan membutakan mata dan juga hati daripada menilai sesuatu tanpa prejudis hanya kerana ianya tidak seragam dengan jangkaan sendiri. Masalahnya bukan sekadar penilaian, tetapi apabila situasi ini mula memesongkan usaha aktif pencarian fakta yang benar.

Suatu pemesongan yang tidak hanya pada penilaian fakta, tetapi pada usaha pencarian fakta yang telah terpesong halatuju niatnya.

Contohnya, carian kata kunci semudah “Biodata Anwar Ibrahim” di Google akan bertukar kepada seteruk “Video lucah Anwar Ibrahim” akan digunakan hanya untuk memuaskan pencarian fakta yang seragam dan sejajar dengan pandangan sendiri.

Kita akan cuba mencari sesuatu mengikut pandangan kita dan secara sepada sedar mengabaikan apa jua yang terdapat di permukaan yang sebaliknya.

Kepada pembaca yang membaca tanpa terselit confirmation bias, mereka tidak perlu melalui dilema menolak kebenaran fakta kerana ianya tidak sejajar dengan dogma mereka. Maka mereka akan dapat melihat dengan terang bahawa confirmation bias tidak hanya berlaku di dalam PAS.

Situasi ini berlaku di semua peringkat masyarakat tanpa mengira umur, bangsa dan jantina. Usahkan PAS, parti lain juga menghidapi penyakit yang sama. Ianya berlaku kepada siapa jua yang punyai minda. Tetapi tidak semua orang menyedarinya.

Jelas di sini PAS hanya kata ganti nama untuk melambangkan parti politik di Malaysia. Tiada bezanya jika nama PAS di dalam artikel ini tukar kepada nama parti lain. Kerana di akhirnya tiada bezanya.

Sudah sampai masanya rakyat melihat sesuatu di luar kotak kepartian. Oleh itu apabila satu masa nanti anda disajikan dengan “fakta” dan “idea” dari mana-mana parti. Anda tidak perlukan walau satu saat untuk terus mengiyakannya tanpa dikaji dahulu.

Rujukan

  • Confirmation bias: A ubiquitous phenomenon in many guises. Review of General Psychology 2(2), 175–220. Owad, T. (2006, January 4).
  • Snyder, M., & Cantor, N. (1998). Understanding personality and social behavior: A functionalist strategy. In D. T. Gilbert, S. T. Fiske, & G. Lindzey (Eds.). The handbook of social psychology: Vol. 1. (4th ed., pp. 635–679). Boston: McGraw-Hill.
  • Confirmation Bias. Diambil dari http://youarenotsosmart.com/2010/06/23/confirmation-bias/. David McRaney. (2013). You Are Not So Smart: A Celebration of Self Delusion.
Read more

Kasta itu cermin


"Great people talk about ideas, average people talk about things, small people talk about other people"

Terjemahan literal petikan di atas bermaksud, "Orang yang hebat bercakap tentang idea-idea, Orang biasa bercakap tentang perkara-perkara (??), orang kecil bercakap tentang orang lain".

(Amaran, beberapa ratus perkataan seterusnya mungkin kelihatan kering dan karut kepada yang bukan ahlinya. Tulisan ini juga langsung tidak bersandarkan mana-mana sanad dan kajian saintifik. Teruskan membaca di atas pilihan sendiri)

Pasti ramai dari kalangan kita yang pernah merlihat, mendengar, membaca atau terpanah hatinya dengan quote yang sedikit rasis seperti di atas. Namun setiap individu punyai kanta takrifan mereka yang tersendiri, kanta yang sentiasa termaktub kepada perbezaan pandangan.

Antara takrifan umum yang dapat diekstrak dari petikan itu adalah perihal pemikiran, perilaku dan buah kata orang-orang hebat sentiasa berkisar tentang idea, sesuatu yang besar skalanya, menyeluruh, dan membawa kepada sesuatu yang lebih baik.

Siapa pencipta petikan ini?


Di zaman serba canggih kini, semua orang boleh sahaja Google petikan tersebut untuk mengetahui siapakah yang mula mempopularkan petikan tersebut. Dapat kita rumuskan di sini bahawa kelahiran petikan ini adalah bertunaskan idea orang yang hebat juga. Mana mungkin kata orang kerdil akan didengari?

Juga timbul kemungkinan atau keperluan untuk mencerakinkan masyarakat dengan strata golongan yang hebat dan tidak hebat. Satu kemungkinan yang cuba ditimbulkan mereka yang ingin berada di dalam strata yang unggul.

Peribahasa Melayu ada berbunyi "Masuk bakul dan angkat sendiri". Mungkin kedengaran terlalu jujur, secara terperinci golongan ini mahukan label kehebatan itu dan cuba memperlihatkan atau menerangkan sifat kehebatan kepada masyarakat sebagai karekter pemikir idea.

Maksud Great people


Golongan yang hebat bukan sahaja terdiri dari mereka yang mahu kehebatan mereka ditelanjangkan-bulatkan. Juga bukan hanya mereka yang mahu membina tembok sosial yang berduri runcing di kalangan masyarakat. Kerana maksud kehebatan ini sangatlah subjektif.

Penilaian ke atas sesuatu kehebatan itu tidaklah terlalu rumit, namun tidak masuk akal untuk kita ukur kehebatan keupayaan seekor ikan untuk memanjat pokok berbanding seekor kera. Oleh sebab itulah, Great people boleh ditakrifkan pada berbilang-bilang kriteria.

Kita mungkin seorang yang hebat di tempat kerja, atau di dapur. Tetapi mungkin terkebelakang di jalan raya atau sekolah. Seorang pengurus yang cemerlang, tukang masak yang celoteh di sebaliknya seorang pemandu kurang ajar atau muslim yang ingkar?

Hakikatnya terlalu luas dan terlalu dangkal untuk ditakrifkan seorang yang hebat hanya kerana kriteria pemikirannya.

Kasta itu cermin


Petikan yang dibincangkan ini menerangkan komparatif 3 strata sosial masyarakat, secara amnya. Bermula dengan menandakan manusia hebat, pertengahan dan juga yang kerdil sebagai yang paling hina.

Sekiranya diandaikan kelahiran petikan ini sepertimana yang diperkata, tanpa mengira tanda ukur kehebatan, orang yang hebat sebenarnya mahukan diri mereka diperkatakan hebat.

Jelas menunjukkan mereka sendiri memperkatakan tentang orang lain. Kerana mereka pedulikan strata orang lain untuk menaikkan darjat mereka.

Mereka juga jelas terganggu jika aurat kehebatan mereka tertutup dan tidak terpamer. Jadi dasarnya orang yang hebat itu adalah sama dengan orang yang mereka perkatakan sebagai kerdil itu.

Orang kerdil


Tidak dinyatakan di dalam petikan tersebut, adakah orang yang kerdil adalah sesuatu yang inferior? Namun secara logik, orang yang kerdil adalah yang paling jauh dari kehebatan. Bahasa jujurnya paling dekat dengan kehinaan di mana statusnya direndahkan.

Di dalam variasi lain, petikan itu menerangkan Small minds berbanding Small people. Minda-minda yang kerdil ini dianggap tercorot kerana tidak bercakap tentang buah fikiran tetapi hanya fokus kepada orang lain.

Sejauhmana bercakap atau mengambil berat tentang orang lain menyebabkan sesuatu golongan itu tidak boleh dilabelkan sebagai hebat.

Golongan kerdil ini mungkin banyak bergaul dengan masyarakat, mereka juga mungkin lebih peka tentang persekitaran masyarakat kerana topik bualan mereka adalah manusia. Pada skala yang besar, setiap orang-orang kerdil ini punyai jaringan network mereka.

Kitaran Masyarakat


Samapi ke satu tahap, ruang di antara strata unggul dan strata hina itu bagaikan tiada. Mereka umpama saling melengkapi satu dengan lain. Bahkan tidak mustahil mereka ini adalah orang yang sama.

Jelas sekali hidup adalah satu kitaran. Pada dasarnya kedua-dua golongan adalah sama. Perbezaannya hanya roda kitaran mereka yang menentukan tingkat hidup pada satu-satu waktu dan ketika.

Yang tercorot itu tidaklah sekerdil mana. Yang terhebat itu pula tidaklah berkerlipan sentiasa, ada kalanya malap jua.

***

Orang yang hebat maksudnya terlalu subjektif dan tertakhluk kepada peringkat kitaran hidup dan ruang masa mereka. Untuk menjadi hebat, bercakap sahaja mungkin tidak mampu menghasilkan apa tanpa kelangsungan tindakan.

Petikan di atas boleh dikupaskan di dalam pelbagai bentuk perbincangan lain seperti motivasi, agama, sosial dan lain lain. Tetapi tidak kali ini.

Semua jari kembali menunding kepada diri sendiri.

It is our choice, your choice. You've been warned though.
Read more

Antara kereta 12 tahun dan UMNO setengah abad

SIBU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu membuat pertimbangan teliti sebelum menetapkan had jangka hayat kenderaan di negara ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.


Sejurus selepas tersiarnya niat JPJ untuk pertimbangkan had jangka hayat kendereaan di Malaysia, negara ini terus bergolak dengan kekecohan isu penindasan terhadap pengguna kereta yang melebihi 12 tahun.

Tajuk yang ditulis nampak berat benar ke arah politik. Asyik-asyik nak berpolitik sampai bila nak produktif? Bukan suka suka tajuk ini ditempel di atas sana. Kerana ini adalah cubaan untuk menambah perisa otak kita.

Apa masalahnya dengan kereta 12 tahun ke atas?

1. Prof. Dr. Wong sebagai Ketua Pengarah MiROS mengatakan bahawa kereta yang telah melebihi 12 tahun sudah tidak lagi selamat untuk berada di atas jalan raya. Satu dakwaan yang "plausible" walaupun rakyat masih belum disajikan dengan faktanya.

2. Dikhuatiri membahayakan pemandu dan berpotensi untuk turut membahayakan nyawa pengguna jalanraya yang lain. Kerana secara logiknya kenderaan sebegini telahpun mengalami kehausan dan kelusuhan pada alatan dan bahagian jenteranya. Begitu juga pada bahagian pemanduan dan keselamatan kereta.

3. Tanpa penyelenggaraan yang sempurna, kenderaan begini umpama "time bomb" yang menunggu masa untuk mencelakakan pemandunya ataupun pemandu-pemandu lain disekitarnya.

JPJ mengambil pendekatan suci iaitu demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya, maka akan dipertimbangkan pengharaman kereta yang melebihi 12 tahun ini. Supaya dengan pengharaman ini dapat mengelakkan ancaman berlakunya kecelakaan terhadap pengguna jalanraya.

Kesan pengharaman kereta melebihi 12 tahun
(sumber-sumber internet, bukan perkiraan saya)

1. Kerugian perlu ditanggung pengguna, sudahlah bayar pinjaman sampai 9 tahun. Cukup 12 tahun dah dicop haram JAKIM JPJ.

2. Kenderaan = Ken-DERA-an yang mendera mereka-mereka yang ditindas apabila servis pengangkutan awam berada ditahap najis.

3. Peningkatan ekonomi tokey perniagaan kereta.

4. Peningkatan kos untuk mobility, pemilikan hangus sesebuah kenderaan termasuk penyelenggaraannya.

Ramai yang berkata pengharaman ini tidak relevan dengan harga kenderaan yang amat melampau dijual di negara ini. Tak cukup dengan itu, tahap keselamatan dan keselesaan jalanraya juga dipersoal. Termasuk juga perlunya penilaian semula terhadap cukai dan insurans kenderaan.

UMNO dan ironinya

Adapun pengharaman sesuatu yang mengancam rakyat tidak perlu hanya berlaku di jalanraya. 12 tahun hanya sekadar angka begitu juga setengah abad lamaya. Faktor pengharaman bukan diletakkan mutlak ke atas bilangan angka, tetapi kualiti yang berpotensi untuk mencelakakan rakyat.

Laporan audit gunanya bukan untuk diperam sampai jadi tapai. Begitu juga laporan rasuah, laporan kewangan, salahlaku ahli kabinet, dan pembaziran wang rakyat, bukan sekadar pencicah daging saudara sendiri. Ini adalah tanggungjawab parti pemerintah yang kini melewati setengah abad.

Kalaulah UMNO itu jenama kereta, umurnya setengah abad, nak dibawa ke jalanraya boleh mencelakakan diri dan orang lain, nak dibela pula termakan diri sendiri. Tak ada sebab lagi untuk tidak diharamkan, kecuali kabel JPJ & MiROS sahaja yang tinggal. Itupun selepas berdengungnya wacana "Don't bite the hands that feeds you".

Maka memang padanlah statistik PRU jumlah pengundi parti pemerintah lebih rendah dari pembangkang. Nak disuluh tak pula buta, nak disuruh dah besar panjang pula. Tunggu masa nak dipancung sahaja.

Cebisan

Mari ambil tahu, tindakan JPJ masih berada ditahap pertimbangan sahaja. Masih belum ada kata putus dari benak orang atasan mereka. Tapi, ketika ini masanya untuk kita utarakan bantahan sebelum terlambat. Itupun jika lubang-lubang telinga si fulan itu belum tersumbat.

Sesedap mana sekalipun menghentam, isu ini sebenarnya amat kritikal di luar konteks UMNO juga. Usahkan PAS, PKR mahupun DAP, mana-mana organisasi harus akur tentang "declining stage" mereka. Contoh kontra paling mesra adalah PAS, sampai bila nak bela pemimpin yang dah berpuluh tahun tak progresif dan masih "rigid" lagi ortodoks, yang mengancam ummah?

Akhir sekali, perkataan "ancaman" itu lawannya bukanlah "haram". Kerana pengharaman bukan satu-satunya cara untuk mengatasi ancaman. Katakuncinya di sini adalah menjaga kepentingan rakyat, bukan kepentingan syaitan. Tuhan beri kita akal dan fikiran supaya kita tak kelihatan terlalu dungu persis haiwan.

Read more

Memorandum Anak Syarikat KUIN kepada YAB MB Kedah


Berikut adalah Memorandum yang telah dipanjangkan kepada YAB Menteri Besar Kedah. Jutaan terima kasih kepada YAB MB kerana sudi meluangkan masa bersama kami.


Sila klik imej di atas untuk besarkan

Datuk Mukhriz Mahathir ada memberikan respons positif semasa pertemuan itu. Begitu juga dengan beberapa kenyataan beliau melalui media:

Mukhriz stressed that the state government's stand was to settle the Insaniah Holdings - set-up by the previous administration to generate funds for Kolej Universiti Insaniah (Kuin), in a gentlemen manner without exposing or shaming anyone.

"Perhaps we can start by investigating the qualification of several staffs who are allegedly related to a senior official (in the holding) since I find it rather bemusing that there were many members of a single family were hired at Insaniah Holdings," he said during a press conference at the side of the 13th state legislative assembly sitting here today.

- New Straits Times

Diharap masalah ini dapat diselesaikan pada kadar segera bagi mengelakkan kesengsaraan kakitangan IHSB terus berlarutan lagi. Kami amat menghormati pendirian YAB MB dalam menjaga privasi pihak yang berkaitan. Saya sendiri menyokong usul untuk melakukan siasatan menyeluruh masalah salahguna kuasa dan hedonisma di dalam organisasi.

Kami amat terbuka untuk memberi kerjasama untuk urusan penyiasatan ini. Kerana ianya amat mustahak untuk YAB MB mendapat maklumat yang tepat dan tuntas dari kedua-dua pihak, baik KUIN dan IHSB sendiri.

Walaupun begitu, kami berharap proses penyiasatan ini tidak akan menangguhkan urusan penyelesaian tuntutan gaji kami yang telah tertangguh lebih dari 3 bulan. Sebagaimana termaktubnya pendirian YAB MB yang memahami masalah rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat Kedah yang teraniaya seperti kami ini.
Read more

Kenapa IHSB tuntut dari Kerajaan Negeri


Sepertimana terbitnya keterangan saya yang lepas tentang masalah tuntutan tunggakan gaji yang diajukan kepada YAB Menteri Besar Kedah, saya ingin memberikan pencerahan kenapa isu tuntutan itu ditujukan kepada beliau.

Dengan rasa rendah diri, kami ingin melahirkan rasa kesal apabila YAB Menteri Besar yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN yang kami hormati, membuat kenyataan bagaikan entiti IHSB dan setiap kakitangan yang bekerja di dalamnya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Kerajaan Negeri.

Seperti yang saya jelaskan di dalam keterangan sebelumnya, punca kegagalan IHSB membayar gaji kami adalah kerana berlaku masalah aliran kewangan. IHSB dan anak syarikat lain menyediakan kemudahan pembelajaran dan sumber tenaga manusia untuk membolehkan pelajar-pelajar KUIN mendapat servis dan kemudahan yang mereka bayar.

Segala apa yang disediakan oleh IHSB untuk pelajar KUIN telah diperincikan di dalam invois bayaran kepada Bendahari. Invois itu telah dipersetujui dibayar oleh KUIN sebagaimana pembayaran yang dibuat sehingga sekurang-kurangnya April lalu. Namun tiada bayaran dibuat untuk invois bulan Mei hingga kini.

Dengan ini, saya tidak menafikan apa-apa jenis masalah pengurusan dan halatuju syarikat. Tetapi saya menerangkan bagaimana kami dibayar, untuk apa kami dibayar dan siapa yang perlu menjelaskan bayaran.

Penerangan ringkas:
1. IHSB sediakan servis dan kemudahan kepada pelajar KUIN
2. Pelajar bayar yuran kepada KUIN
3. KUIN akan membayar invois yang tertakluk kepada servis dan kemudian yang disediakan IHSB

Oleh sebab itulah kami sebulat suara, cuba membawa isu ini kepada perhatian YAB Menteri Besar sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN. Kerana kami percaya YAB Menteri Besar akan menjaga kebajikan pelajar dan kakitangan yang berkhidmat untuk INSANIAH.

Seiring dengan status KUIN sebagai sebuah badan berkanun Kerajaan Negeri. Maka tidak menjadi sesuatu yang janggal untuk mengajukan isu tuntutan ini kepada Kerajaan Negeri sendiri. 

Ketahuilah, bahawasanya kami hanyalah kakitangan yang diamanahkan tugas untuk mengoperasikan IHSB dan memastikan segala bentuk servis dan kemudahan disampaikan kepada pelajar KUIN. Untuk menafikan hak kami untuk dibayar gaji, adalah sesuatu yang amat dikesali.

Berkenaan penjelasan status perjawatan kami, sememangnya kami bukanlah di ambil bekerja di bawah Kerajaan Negeri. Kami semua tertakluk kepada perjawatan di bawah IHSB. Namun begitu, penyelesaian masalah bayaran invois dan halatuju anak syarikat oleh YAB Menteri Besar akan dapat memberi gambaran kepada status perjawatan kami.

Sepertimana hari ini, status kami tergantung kerana tiada maklumbalas yang spesifik terhadap kelangsungan halatuju syarikat daripada Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar menerusi KUIN. Dan tunggakkan bayaran menyebabkan kami tidak mendapat hak kami untuk dibayar gaji.

Maka dengan itu kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah ini dengan kadar yang segera untuk membolehkan masalah pembayaran ini diselesaikan sebelum 30 Ramadhan sempena sambutan Hari Raya.

Penerangan ini tertakluk kepada pemahaman saya melalui rujukan invois dan perjanjian di antara IHSB dan KUIN. Penerangan ini juga tidak berniat untuk menunding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya cuba mencari menyelesaian untuk membolehkan Kolej Universiti INSANIAH terus maju dan berkembang.

Saya terbuka untuk dihubungi oleh sesiapa jua yang prihatin dan ingin turut sama menyelesaikan masalah ini. Saya percaya isu ini mempunyai penyelesaian, dan keterbukaan di antara kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan adalah amat dialu-alukan.

Sekali lagi saya alu-alukan sesiapa juga dari mana-mana organisasi prihatin, badan-badan kerajaan, individu atau pihak Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar sendiri untuk menghubungi saya sekiranya memerlukan penjelasan ataupun perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini. Saya boleh dihubungi melalui talian telefon 012 424 6269.

Terima kasih di atas keprihatinan anda semua, kami amat menghargai segala usaha anda untuk menyelesaikan masalah ini.

Salam Ramadhan, Salam Syawal yang bakal tiba.

Muhamed Taufik. 10:07 pagi, 28 Ramadhan 1434.

Read more

KUIN vs INSANIAH Holding SDN BHD (UPDATED)


Sempena hiruk pikuk isu permasalahan Kolej Universiti INSANIAH (KUIN), saya sebagai salah seorang kakitangan INSANIAH Holding SDN BHD (IHSB), ingin memberikan keterangan sebagai pencerahan kepada beberapa pihak.

Kenyataan ini dibuat di atas pemerhatian, pengalaman dan perbincangan bersama rakan-rakan lain selama mana saya masih ditakrifkan sebagai salah seorang staff IHSB.

Saya akan hanya menyentuh isu staf dan pengurusan. Buat masa ini saya tidak akan menyentuh pelajar, tidak bermakna isu pelajar tidak berhak mendapat keutamaan, walaupun isteri saya sendiri adalah salah seorang graduan KUIN yang agak kurang bernasib baik. Ini kerana masalah pembayaran gaji ini secara tidak langsung akan turut menyumbang kepada kerumitan masalah pelajar yang lebih teruk sekirannya tidak dibendung.

Selain dari masalah tidak dibayar gaji, kakitangan juga menghadapi masalah status gantung tidak bertali. Kami berdepan dengan situasi yang mudah digambarkan sebagai “Constructive Dismissal”. Di mana majikan gagal membayar gaji dan gagal memberi penjelasan tentang status penjawatan kami. Keadaan ini membawa tekanan kepada kakitangan dan membuatkan ramai yang ingin meletakkan jawatan.

Kegagalan IHSB untuk membayar gaji adalah bertunjangkan kepada aliran tunai yang disekat oleh KUIN. Sebagai anak syarikat kepada KUIN, IHSB menyediakan tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran dan pelbagai perkara berkaitan yang sememangnya memerlukan kos dan perbelanjaan.

Atas beberapa sebab yang tidak diperjelaskan, KUIN memutuskan untuk tidak membayar invois kontrak yang telah disempurnakan oleh IHSB, dan perkara ini menyebabkan ramai yang teraniaya dengan masalah gaji tertunggak.

Matlamat asal penubuhan IHSB dan anak syarikat lain adalah supaya memboleh KUIN berdiri dengan kaki sendiri tanpa perlu mengharap bantuan dari Kerajaan Negeri. Berlandaskan halatuju ini, IHSB perlu mencari pendapatan untuk membolehkannya beroperasi dan seterusnya menyokong perbelanjaan kewangan KUIN sendiri.

Anak-anak syarikat KUIN ini turut diberikan suntikan modal oleh untuk membolehkan mereka mula beroperasi. Selain dari menguruskan projek-projek luar, mereka memulakan perniagaan dengan menyempurnakan kontrak menyediakan sumber manusia, sistem teknologi maklumat, reka bentuk dan penyelenggaran untuk KUIN.

Saya tidak menafikan wujudnya hubungan korporat yang amat rapuh di antara KUIN dan anak syarikatnya berdasarkan permasalahan gaji, peruntukan kewangan, urusan tuntutan dan sebagainya yang saya sendiri pernah hadapi.

Saya juga akui, berdasarkan pemerhatian saya yang hina, berlaku permasalahan di dalam pengurusan IHSB dan begitu juga KUIN sendiri. Namun begitu, sebagai sebuah organisasi yang dicipta manusia, adalah mustahil sekiranya sesuatu organisasi itu kebal dari sebarang masalah.

Masalah kelewatan gaji adakalanya berlaku sebelum berlangsungnya PRU 2013 lagi. Tetapi selepas berlangsungnya PRU 2013, ramai kakitangan tidak dibayar gaji untuk bulan Mei 2013. Walaupun sebelumnya sudah terdapat sebahagian kakitangan tidak dibayar gaji pada bulan April 2013.

Sehingga 4 Ogos, kami masih belum mendapat hak kami. Walaupun begitu kami bersyukur kerana YAB Menteri Besar memberi respons yang positif berkenaan isu ini. Untuk pengetahuan semua, selama mana kakitangan tidak dibayar gaji, telah beberapa kali dijalankan usaha untuk menyelesaikan masalah ini.

Kakitangan yang terlibat telah membuat beberapa aduan kepada Pejabat Buruh dan ada dari kalangan kami yang cuba membawa isu ini kepada pengetahuan YAB Menteri Besar, dengan harapan ia akan mendapat perhatian sepatutnya.

Kami sebagai kakitangan syarikat cuba bersikap seberapa neutral mungkin dalam mengharungi masalah ini. Walaupun begitu, saya turut kesal apabila melihat kewujudan pengaruh politik tidak sihat sehingga menyebabkan berlakunya penindasan dan penganiayaan yang tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah organisasi Islam seperti ini.

Ingin saya tegaskan, IHSB sememangnya ditubuhkan dari zaman pemerintahan kerajaan terdahulu, tetapi tidak semestinya kami semua tidak sehaluan dengan kerajaan yang memerintah hari ini. Kami bekerja untuk majikan tanpa perlu mengira apapun pengaruh kepartian yang dibawa oleh majikan terdahulu atau hari ini.

Kami merasa cukup terkilan kerana masalah ini sepatutnya dapat ditangani 2 atau 3 bulan yang lalu. Sekiranya diberikan perhatian yang sebaiknya , hari ini KUIN akan dapat beroperasi dengan lancar pada tahap yang optimum.

Ingin saya jelaskan di sini, sebahagian besar daripada kakitangan yang teraniaya ini bukanlah mereka-mereka yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan penting yang bakal menentukan halatuju syarikat. Sebaliknya, majoriti dari kami adalah diamanahkan dengan tugas-tugas harian separa professional dan sokongan.

Majoriti dari kami ditawarkan kadar emolumen yang rendah berbanding mereka yang berjawatan tinggi. Berdasarkan bidang tugas urus tadbir pejabat, penyelenggaraan, system maklumat dan pendidikan, gaji kami sememangnya tidak tinggi dan kini kami dihimpit masalah kewangan yang memeritkan.

Saya menulis bukan untuk mencari salah sesiapa dan menunding jari kepada mana-mana pihak. Saya menulis bukan untuk mencari simpati segenap mereka yang membaca. Tetapi saya hanya ingin menuntut hak saya. Selama 3 bulan, pelbagai cara sudah kami cuba dan kini Syawal bakal bersidang kurang dari seminggu.

Saya amat berharap YAB Menteri Besar sudi memberikan kerjasama untuk menangani masalah ini. Saya mewakili kakitangan yang lain, ingin menuntut gaji kami tidak dibayar selama 3 bulan dan memberikan penjelasan sewajarnya tentang status perjawatan kami.

Kami akan patuh sekiranya servis kami tidak lagi diperlukan, tetapi kami mohon segala urusan dilakukan menerusi prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Ulasan saya terhadap kenyataan YAB Menteri Besar yang menyatakan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan IHSB adalah, dengan rendah diri saya sarankan YAB Menteri Besar datang sendiri bertemu dengan kami dan dapatkan penjelasan dari kedua-dua belah pihak.

Saya juga berharap, kenyataan YAB Menteri Besar tentang warisan masalah atau hutang kerajaan terdahulu agar dikaji semula. Kerana tidak ada istilah cuci tangan untuk mana-mana kerajaan yang siuman di dalam dunia ini. Kerajaan terhasil daripada pemilihan rakyat, dan hak rakyatlah yang perlu dibela oleh kerajaan tanpa perlu mengira apa jenis warisan yang diperturunkan kepada mereka.

Diharap YAB Menteri Besar boleh cuba mendapatkan maklumat dari mereka yang terlibat kerana maklumat dari sumber sekunder mungkin indah khabar dari rupa. Kami tiada apa-apa tujuan untuk menjunjung “political millage” mana-mana parti. Kami hanya mahu hak kami disempurnakan untuk kami menyempurnakan tugas kami di INSANIAH.

Kami tidak hanya menunggu kedatangan YAB Menteri Besar, kami telah beberapa kali cuba menghubungi YAB, namun nasib mungkin tidak menyebelahi kami sebagai rakyat Kedah dan warganegara Malaysia.

Kenyataan ini mungkin atau mungkin tidak mewakili kesemua kakitangan IHSB yang teraniaya. Pelbagai pendapat yang diutarakan di atas dibuat berdasarkan kapasiti persendirian saya. Saya mungkin tersalah maklumat atau tersalah tafsir maklumat. Namun saya terbuka kepada sebarang komen dan pembetulan fakta oleh rakan-rakan yang lain.

Saya tiada identiti untuk disembunyi. Saya berhak dipertanggungjawab di atas kenyataan saya. Saya amat berharap sesiapa jua yang perlukan penjelasan atau perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini dapat menghubungi saya. Saya boleh dihubungi melalui laman ini, ataupun melalui nombor telefon saya 012 424 6269.

Saya tegaskan, saya terbuka untuk dihubungi hanya untuk penjelasan dan penyelesaian isu sahaja. Saya tidak tertakluk untuk menjaga kepentingan mana-mana parti. Saya tidak berminat untuk berkerjasama bagi terus menghasut kebencian.

Selamat “menyempurnakan” Ramadhan, Wassalam.

UPDATE


Terdapat sedikit kemusykilan dari rakan-rakan tentang tuntutan bayaran tunggakan gaji daripada kerajaan negeri. Oleh itu saya akan cuba terangkan perkara ini dengan seberapa ringkas yang mungkin. 

Seperti yang saya jelaskan di awal keterangan di atas, punca kegagalan IHSB membayar gaji kami adalah kerana berlaku masalah aliran kewangan. IHSB menyediakan kemudahan pembelajaran dan sumber tenaga manusia untuk membolehkan pelajar-pelajar KUIN mendapat servis dan kemudahan yang mereka bayar. 

Segala apa yang disediakan oleh IHSB untuk pelajar KUIN telah diperincikan di dalam invois bayaran kepada Bendahari. Invois itu telah dipersetujui dibayar oleh KUIN sebagaimana pembayaran yang dibuat sehingga sekurang-kurangnya April lalu. Namun tiada bayaran dibuat untuk invois bulan Mei hingga kini. 

Dengan ini, saya tidak menafikan apa-apa jenis masalah pengurusan dan halatuju syarikat. Tetapi saya menerangkan bagaimana kami dibayar, untuk apa kami dibayar dan siapa yang perlu menjelaskan bayaran. 

Penerangan ringkas:

1. IHSB sediakan servis dan kemudahan kepada pelajar KUIN
2. Pelajar bayar yuran kepada KUIN
3. KUIN akan membayar invois yang tertakluk kepada servis dan kemudian yang disediakan IHSB

Oleh sebab itulah kami sebulat suara, cuba membawa isu ini kepada perhatian YAB Menteri Besar sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN. Kerana kami percaya YAB Menteri Besar akan menjaga kebajikan pelajar dan kakitangan yang berkhidmat untuk INSANIAH.

Baca selanjutnya Kenapa IHSB buat tuntutan kepada Kerajaan Negeri



Read more

Bukan Anjing yang hina Islam

Di sebalik rimbunan kes jenayah-bunuh-tembak yang makin berleluasa kini, negara kita sempat juga bergolak dengan isu penghinaan terhadap agama Islam, terutama di bulan puasa dan sambutan Hari Raya.



Ramai yang terasa seperti terancam sifat-sifat ke-Islam-an dan ke-Melayu-an mereka apabila berdepan dengan isu seorang jurulatih Maznah Mohd Yusof berinteraksi dengan riang bersama-sama sejenis haiwan bernama anjing.

Read more

Undi PAS pun boleh masuk Neraka



1. Sebelum PRU13 tempoh hari, sering kedengaran para ilmuan berbincang tentang keperluan memilih kerajaan Islam berbanding kerajaan yang tidak Islamik

2. Ada kala ketikanya, menjadi satu kewajipan untuk mengeluarkan undi untuk menegakkan Islam (baca Parti Islam)

3. Sehingga satu tahap, membuang undi untuk menidakkan hak kerajaan Islam (baca Parti Islam) untuk ditegakkan adalah umpama memerangi agama suci ini

4. Sehingga satu lagi tahap, mengundi untuk parti lawan (baca rejim BN) adalah umpama menaja kemungkaran dan membantu meneruskan kezaliman rejim itu

5. Ini membawa kepada satu konklusi bahawa mengundi kepada rejim itu saling tidak tumpah dari menunaikan janji syaitan untuk bersama mereka di dalam neraka (Nauzubillah)

6. Sememangnya undi yang dilemparkan untuk Parti Islam itu tidak akan menjamin syurga anda di sana

7. Begitu juga, ia tak akan mampu menjamin anda daripada tidak terjerumus ke dalam neraka

8. Oleh itu apa bezanya mengundi Parti Islam vs Rejim Zalim di negara tercinta ini?

9. Bezanya ada pada setiap mereka yang menyokong parti-parti itu, sama ada akhlak mereka persis ahli neraka atau pun tidak

10. Sama ada kerajinan mereka menabur duri kepada penyokong lain, mahupun usaha memecahbelahkan jemaah Islamiah mereka sesama sendiri yang bermodalkan air liur (Fitnah)

11. Begitu juga dengan racist. Racist bukan hanya sekadar antar Melayu dan Cina mahupun India.

12. Tetapi racist sesama Melayu, racist dengan warna parti!

13. Persoalan yang timbul, “Kalau mana-mana parti pun masuk neraka, mana satu aku nak pilih?”

14. Jawapannya, ini bukan soal parti. Sekalipun parti Islam yang disokong, tetapi kalau kerjanya lebih buruk dari orang kafir, maka nerakalah hentian kamu (at least sebelum masuk syurga juga)

15. Untuk orang yang sememangnya berniat untuk tidak masuk neraka (atau memang nak masuk syurga), sudah pasti mereka sudah mengetahui situasi ini.

16. Maka mereka-mereka ini segera runtuhkan ego kepartian mereka untuk menuntut keadilan dan menegakkan kebenaran berlandaskan kepentingan agama mereka

17. Putrajaya bukan satu alasan untuk mempamerkan akhlak syaitan kepada non-believers

18. Adapun tulisan ini benar dan mungkin tidak benar, beruntunglah kepada mereka yang baca sehingga baris terakhir ini


BN menang bergaya
Jangan risau
Esok belum Kiamat
Insyaallah

Read more

Comments