Sunday, December 15, 2013

Isu Syiah sebagai tanda aras kebejatan sendiri


Ramai orang berpendapat isu Syiah ditimbulkan sebagai usaha untuk mengheret perhatian rakyat daripada isu kenaikkan harga barangan dan servis di Malaysia.

Adakah ini bermakna isu Syiah adalah isu yang terpencil, dan tidak perlu atau tidak mendapat tempat untuk diperbahaskan? Walaupun penyelesaiannya boleh membawa impak positif kepada pemikiran rakyat?

Isu Syiah sebenarnya menjangkaui lebih dari banjaran pemikiran ortodoks di Malaysia. Ia menjadi antara faktor yang bakal mempengaruhi pembawaan agama Islam di masa hadapan.

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapat pengaruh politik di dalam kekalutan isu ini. Dua parti yang amat sinonim dengan agama Islam, membawa watak pemangsa dan mangsa dengan matlamat untuk meraih kepentingan politik.

Maka kedua-dua parti ini mulalah serang menyerang dan tepis menepis pelbagai dakwaan dan tuduhan sesama mereka. Tanpa merasakan isu ini sebenarnya perlu ditangani dengan ilmiah, membuatkan isu ini terjunam ke dalam gugusan isu stereotaip politik.

Isu stereotaip poltik adalah isu-isu yang hanya berperanan sebagai bola. Ia digunakan untuk disepak ke kanan atau kiri hanya untuk membolosi gol lawan.

Malangnya ia tidak digunakan sebagai medium pemerkasaan keharmonian umat Islam dan juga penganut fahaman lain. Kerana apabila isu ini berjaya dihujahkan dengan terbuka dan lebih ilmiah, ia akan mewujudkan persefahaman yang mendalam di dalam mengangani kepelbagaian pemikiran.

Tidak dinafikan Syiah mempunyai sisi gelapnya dari pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun apakah apa yang dilakukan selama ini menepati saranan Nabi S.A.W? Kerana Islam dan dakwah itu bagai isi dan kuku.

Atau apakah selama ini agamawan sememangnya telah melakukan dakwah? Kesucian dalam melaga-lagakan orang lain dengan tuduhan Syiah malah Wahabi begitu juga Salafi dan berbagai lagi? Ketagihan melakukan upacara memaku papan tanda "Kafir", "Sesat", "Ahli Neraka" ke muka-muka orang yang tidak sefahaman dengan mereka?

Ini seolah memudahkan kerja syaitan. Kerjanya syaitan membawa anak Adam bertatih mengikut mereka makan angin di dalam neraka. Namun penulis tidak bermaksud mereka ini proksi syaitan, kerana hanya syaitan yang boleh berikan kepastian.

Dapatkah kita menilai betapa pincangnya pendirian kita terhadap situasi berbilang fahaman ini? Dan sejauhmana tindakan kita memberi impak yang positif ke arah pembentukan masyarakat madani yang meraikan berbezaan?

Sebagai umat Muhammad, adakah kita sedang mengikut jejak tapak kaki Baginda, atau tapak kaki musuh baginda yang sebenarnya sedang kita ekori?

Jika benar jejak Rasulullah yang menjadi landasan, mana mungkin situasi kebencian, perpecahan, "ana khairu minhu", sektarisma yang mengoyak keharmonian yang berlaku hari ini dapat diakui sebagai hasil asuhan Nabi S.A.W.

Tidak mungkin Al-Quran dan Sunnah yang ditinggalkan Nabi itu menjadi aspirasi untuk merobek keamanan, kemakmuran yang dianjurkan Islam sendiri. Begitu juga tidak mungkin waris-waris Nabi S.A.W sendiri yang bergelar ulama menjadi pencetus kepada kebencian dan kekejian ini.

Sudah tiba masanya untuk umat Muhammad menjenguk ke belakang dan menilai kembali kesan tapak kaki mereka yang membawa kepada perpecahan ini. Dan seterusnya mendongak ke hadapan bagi memastikan kita seiring dengan jejak Nabi S.A.W.

Jelas, isu Syiah sebenarnya adalah salah satu hikmah yang Allah turunkan kepada umat Muhammad di Malaysia ini. Hikmah yang membolehkan kita mengukur kembali keberkesanan pemikiran dan tindakan kita tanpa perlu sedikitpun dibayangi fanatik kepartian yang sia-sia. 

4 comments:

  1. Kalau tuan perhati, ada je dakwah dilakukan pada mereka.. Cumanya, yalah. Tak de nilai komersial, takdelah dihiraukan media mahupun apa-apa yang sewaktu dengannya.

    Ya, saya nampak yang tuan nak katakan sampaikan ilmu/dakwah dahulu, namun tidak perlu dinafikan tindakan pemerintah. Pemerintah mempunyai kaedah berbeza dalam isu ini, berbanding orang kebanyakan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju dengan perspektif tuan. Cuma saya harap perbezaan kaedah itu tidaklah membakar sumbu kebencian dan perpecahan.

      Delete
  2. tulisan yang bersahaja namun tidak mendalam, aku setuju.. apa kata mat sabu berdebat saja dengan zahid hamidi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Debat dengan ahli politik nampak sangat stereotaip parti yang dibawa.

      Delete