Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Politik Kebencian merugikan PAS dan Islam secara keseluruhannya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Sekali lagi, sebelum saya mula merungkai kata dengan lebih jauh, inginku mohon sejuta kemaafan andai penulisan ini bakal mengusik hati meresak jiwa kalian semua. Sila teruskan pembacaan ini di atas risiko anda sendiri.
Sejujurnya, tajuk sedemikian rupa adalah hasil cerna jari-jemari nakalku untuk menarik minat pembaca, baik dari golongan PAS mahupun UMNO (bukan mencari hits, tetapi ingin mendidik). Pada pengakhiran tajuk itu saya sertakan tanda soal, sebagai penafian simbolik penambah rencah rasa ingin tahu anda semua.

Saya pasti, para ustaz dan ustazah sekalian akan bertempiaran kehairanan mengapa ditonjolkan PAS sebagai teraju utama. Pembawaan watak PAS ini sebenarnya mewakili mana-mana parti politik tempatan yang memperjuangkan dan melaksanakan tuntutan Islam yang agung. Sekiranya saudara sekalian memerlukan penerangan khusus penonjolan PAS di sini, dengan rendah diri saya mempersilakan membaca penulisan sebelumnya.

Definisi politik kebencian secara umum pada hematku adalah berupa politik yang disirami oleh jalinan permusuhan, dendam kesumat, keji-mengeji, hina-menghina, ketidakmatangan, kebudak-budakkan, hasad dengki dan sebagaimana yang sewaktu dengannya.

Lebih menakutkan, situasi ini dilihat sebagai suatu yang normal dan menjadi rutin di hati kebanyakkan penggiat dunia politik tanah air. Saya melihat simptom ini dengan penuh gelisah, kerana diri ini merasakan betapa ruginya Islam itu sendiri, apabila landasan dakwah ini dicemari kotoran yang kian menebal.

Politik dan dakwah? Di mana celahnya? Sebenarnya politik itu sendiri merangkumi pelbagai jurusan kehidupan. Semestinya sebagai muslim, politik anda perlulah bertunas dari Islam yang syumul. Politik melibatkan pelbagai acara jalinan sosial serta perhubungan dua hala antara pelbagai pihak.

Jalinan inilah yang sepatutnya digunakan muslimin dan muslimat sekalian untuk mendidik dan berdakwah sesama mereka. Bayangkan betapa perkasanya Islam masakini sekiranya seluruh saluran dakwah ini dapat digembleng untuk memasyhurkan keagungan Islam justeru ia dapat berkembang pesat serta harum mewangi di setiap hasta bumi ini.

Malangnya, apa yang terjadi hari ini adalah sebaliknya. Medium saluran politik bertatahkan dakwah ini dicemari oleh ketidakmatangan hamburan kata. Caci cerca menjadi makanan ruji sebahagian besar penggiat tegar politik tanah air.

Dalam situasi inilah saya melihat PAS agak terkebelakang sebagai sebuah parti yang ingin menegakkan Islam. Perjuangan mereka pada pandagan saya tiada celanya, tetapi respons mereka terhadap pergeseran ideologi pengikut parti lain yang menjadi masalah.

Lentingan penyokong PAS sering disulami caci cerca yang mengguris jiwa. Saya tidak salahkan guru mereka yang ajarkan. Malahan, mungkin tiada salahnya mereka mengherdik saudara mereka yang diseberang parti sana. Tetapi amat rugi mereka tidak mempergunakan saluran ini untuk berdakwah.


Penyokong PAS tidak mengambil kira potensi pengundi parti lawan dan pengundi atas pagar. Mereka lebih selesa menyedapkan hati dengan melontar bara api ke dalam hati saudara mereka. Mereka rela mencemarkan warkah perjuangan Islam yang didukung parti dengan mempersembahkan diri mereka dengan nada yang keji lagi jijik.

Tiada langsung segan silu adat Melayu, mereka melabel saudara mereka sendiri dengan samaran yang jelik. Media berita mereka turut sama berganding bahu mengusung bau hancing ini ke merata ceruk paparan cetak mahupun elektronik.

Api hati mereka disemarakkan bahan bakar tajaan iblis untuk mereka terus menerus berbalah. Dari mulut itu jugalah dia berzikir, bertasbih dan dari situlah juga meletusnya puaka kata kepada saudara se-Islam mereka sebagai habuan penyedap emosi luka.

Pernahkah mereka terfikir apa perasaan saudara mereka yang dicela itu? Apa rasanya menelan kejian yang bertali arus ini? Saya pasti, mereka tahu, kerana mereka sendiri pernah disumpah seranah sedemikian rupa oleh penyokong parti lawan yang lain. Menjadi lumrah manusia untuk mempertahankan pegangan, walaupun bukan dengan fakta, cerca pun tidak mengapa.

Nanti dahulu, betulkah ini PAS yang saya maksudkan? Atau ini lawannya? Jika begini timbang taranya penyokong PAS dan lawannya, amat kesal saya katakan, tiada bezanya. Saling tidak tumpah persamaan perilaku tidak matang ini sama-sama merugikan parti, atau secara keseluruhannya Islam itu sendiri.

Asbab celaan ini memulas-mulas urat nadi pemilik telinga panas yang dicaci. Setiap bait bernanah ini menjauhkan lagi mereka daripada perjuangan Islam yang disanjung PAS sendiri. Jauh di dasar kalbunya, berakar tunjang dengan dendam dan kesumat. Kenapa perlu mereka mendekati kamu?

Perlukah saudara-saudara kamu ini bingkas bangun dan mengundi untuk PAS setelah dihamburkan caci maki kepadanya? Berapa ramai di antara mereka telahpun berpaling dari parti sana untuk menyertai PAS? Kamu mengatakan mereka tidak matang, namun kamu sendiri bertindak kebudak-budakkan.

Menjengah dari satu penjuru, golongan bukan Islam terkebil-kebil melihat telahan muslim yang bersaudara ini. Ada di antara mereka yang telah diberi suntikan doktrin persaudaraan sesama Islam. Namun, dengan mata kepala mereka sendiri, melihat muslim saling bercakaran. Inikah agama agung kamu? Inikah cara dakwahmu?

Golongan yang berpotensi untuk mendekati Islam akan mula dipatuk soalan sangsi. Di mana letakkannya kiasan murni agama yang dimomokkan kepada mereka dahulu? Apa yang terjadi dengan gema santun Melayu kamu?

Apakah berbaloi sekalian muslimin dan muslimat ini bertelagah? Berapa tinggikah maruah yang kamu semua beroleh dari mengherdik saudara kamu sendiri ini? Sejauh manakah kesinambungan syariat Allah dapat kamu tegakkan? Dapatkah kamu memberi jaminan bahawa Islam akan kembali menguasai dunia dengan perilaku sebegini rupa?

Namun begitu, di sebalik kelemahan rantaian etika golongan ekstrimis ini, saya yakin dan percaya mereka tetap inginkan Islam itu ditegakkan. Mereka tetap mahu sama-sama berjihad ke jalan Allah. Saya pasti, jauh di sudut hati mereka, membuak-buak keinginan untuk satu solusi mutlak bagi menangani krisis kendiri ini.

Tahukah anda apakah kesan politik sebegini rupa pada institusi Islam seluruh dunia? Mengapa berlakunya perang saudara, penghapusan etnik, rampasan kuasa dan pemberontakkan, tidak ketinggalan perbalahan turun temurun Syiah dan Sunni. Bagaimana saluran dakwah ini dapat mempengaruhi semua ini? Mungkinkah Ikhwan Muslimin menggemakan saluran dakwah ini sehinggakan mereka beroleh kemenangan?



Sesungguhnya, tinta ini tidak akan berhenti menulis, cuma mungkin akan ditangguhkan kerana dihambat komitmen dunia bagi membolehkan kudrat ini terus lantang bercerita, dengan izinNya. Akan saya terjemahkan solusi krisis ini di pertemuan kita yang seterusnya, InsyaAllah.

Sengaja saya benihkan pelbagai pertanyaan di dalam penulisan ini, dengan harapan dapat mencambahkan kejatian minda muslim kudus. Semoga ianya membuahkan hamparan idea untuk sama-sama kita manfaatkan bagi meredah rasukan dunia. Wallahualam.

Jazakallah.

Read more

Comments