Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Selamat Menyambut Tahun Baru Kristian 2013


Kenapa perlu malu-malu menyebut "Selamat Tahun Baru 2013"? Tak susah pun nak sebut secara sempurna "Selamat Menyambut Tahun Baru Kristian 2013".

Isu ini tak sudah-sudah diperkatakan saban tahun. Tapi sampai ke hari ini ramai yang memberikan alasan itu ini. Patutlah Kristian hari ini dikenali sebagai agama No. 1 dunia, bukannya Islam.

Ramai yang tidak jelas di minda mereka, apa benda yang sebenarnya akan mereka sambut menjelang tengah malam ini.

Cuba semua ucapan Tahun Baru di televisyen, di suratkhabar, di majalah, di jabatan kerajaan, di poster-poster jalanan seluruh negara menyatakan secara penuh "Selamat Tahun Baru Kristian 2013". Pasti lebih meriah sambutannya bukan?

Anehnya komposisi rakyat Malaysia ini majoritinya Muslim tapi mereka lebih selesa untuk menyambut sambutan Tahun Baru Kristian melebihi penganut agama Kristian itu sendiri.

Secara tak langsung, ini menunjukkan tahap kematangan penduduk Malaysia yang berbilang agama untuk sama-sama merayakan perayaan mereka. Sifat kemajmukan ini lebih terserlah apabila hampir di setiap ceruk negeri diadakan sambutan Tahun Baru Kristian.

Mungkin sebab itu jugalah rakyat Malaysia tidak langsung ambil endah bila penggunaan perkataan Allah untuk digunakan dalam Bible bahasa Melayu oleh penganut Kristian tanah air.

Terdapat segelintir Muslim cuba untuk hijack kemeriahan perayaan Kristian ini dengan mengadakan majlis yang dipengaruhi rentak agama Islam. Supaya mereka dapat memenuhi kehendak insan-insan yang prihatin untuk mengelakkan berlakunya kemaksiatan yang berleluasa.

Merayakan perayaan Kristian dengan cara Islamik? Pelik tapi benar. Tapi itulah cara kita. Mungkin tak ada lagi di mana-mana tempat lagi di dunia, only in Malaysia.

Mungkin nanti perayaan Maal Hijrah, penganut agama Kristian akan bertungkus lumus memeriahkan sambutan Tahun Baru Hijriah sama seperti kemeriahan yang Muslim merayakan sambutan Tahun Baru Kristian mereka.

Bawa bertenang, dan ingat tuhan. Takkan tuhan Yesus pulak kan?






Read more

Fenomena Ustaz/Ustazah Google



“Kenapa perlu aku berguru dengan alim ulama kalau ada Pakcik Google di sisi?”

Suatu masa dulu, mempelajari ilmu agama hampir dianggap sebagai satu “struggle”. Ianya menuntut perjuangan dan pengorbanan seseorang itu untuk mencari guru dan berusaha mempelajari ilmu darinya. Tapi kini tidak lagi dengan adanya Pakcik Google di sisi.

Adakah salah menjadi seorang Ustaz/Ustazah Google?

Apakah itu Ustaz/Ustazah Google? Ustaz = Professor. Tapi secara lokal, Malaysia khususnya, Ustaz merujuk kepada “seorang yang ahli dalam bidang agama”. Google pula sejenis search engine yang digunakan oleh jiwa-jiwa manusia untuk mencari sesuatu perkara di internet.

Segelintir dari kita kini tidak lagi meraikan pandangan ulama dengan cara merujuk kepada mereka secara bersua muka. Lebih mudah mereka cari hukumnya di Google tanpa mereka perlu tahu sebab dan musababnya. Lebih mudah dan lebih cepat, tanpa pedulikan kesahihannya.

Implikasi dan Kesan

Aku kadang loya dengan kesekian kali terbitan hukum sana sini yang diadu domba sesetengah golongan. Mari kita bincang implikasi. Implikasi di sebalik fenomena Ustaz/Ustazah Google, atau orang arab panggil Sheikh Googla.

Wujudnya penyebaran pelbagai macam cerita dan hukum, Dari tok guru masjid hinggakan ke Syeikh Nuruddin. Dari tok mudim kampung hinggakan Ustaz Haron Din, selamba sahaja nama-nama alim ulama ini dipetik habuan penyedap cerita.

Golongan ini sering membawa arus kecelaruan terhadap minda-minda yang kurang tegukkan ilmu agamanya. Kerana mereka mengambil jalan mudah untuk bersandar kepada usaha orang lain untuk mencari hukum tanpa mereka berusaha sendiri mencarinya.

Fenomena ini sekiranya ianya dapat diperhalusi oleh golongan Bukan Islam, maka akan tumbuh dalam hati mereka mengatakan bahawa betapa jahilnya umat Islam ini, sesama sendiri keliru tentang agama sendiri.

Implikasi terburuk fenomena ini adalah jika berlakunya keterpesongan aqidah. Di mana sebaran-sebaran cerita palsu dan hukum hakam yang tahyul di ambil bulat-bulat tanpa merujuk kepada mana-mana ulama. Dan lebih teruk lagi apabila wujudnya aktiviti mentakfir (mengkafirkan) orang lain.

Lidah, adalah antara organ paling bahaya. Amat mudah untuk terperosok ke dalam neraka jika kita tidak berhati-hati menggunakannya.

Sebagaimana mudahnya lidah dihinggapi penyakit caci maki, mengejek, mengumpat, memfitnah, sumpah palsu, dusta, pecah rahsia/amanah dan sebagainya.Begitu jugalah peranannya keyboard komputer dan telefon bimbit mengadun resipi untuk ke neraka.

Lidah, pena dan jari yang tidak beradab akan cenderung membuahkan kebencian bila berlaku perselisihan pendapat. Kerana mungkin mereka tak praktikkan keberadaban seseorang ilmuan. Hasilnya wujudlah komuniti Muslim yang bertaring, fanatik dan rigid.

Sila klik untuk paparan lebih jelas


Apa yang Pakcik Google cicirkan?

Selain ilmu yang diajar, pergaulan dengan orang berilmu menambah berkat dengan ilmu yang ingin dipelajari. Pelajar boleh mengamati akhlak dan adap guru untuk dijadikan teladan dan mungkin sempadan.

Lihat bagaimana guru itu perjelaskan sesuatu permasalahan, bagaimana dia melayan karenah anak didiknya, bagaimana dia bergaul dengan masyarakat, bagaimana dia berdakwah dan berhikmah kepada yang bukan muslim, bagaimana dia disanjungi dan dimuliakan oleh pelajar dan guru agama yang lain.

Pakcik Google juga tak dapat menyemai nilai keakraban sesama guru dan murid serta kemurnian yang terbit dari celahan senyuman guru menegur pelajarnya. Bukan sahaja dari segi keilmuan, bahkan dari segi sikap dan akhlak anak muridnya sesama mereka dan sebagai seorang muslim secara keseluruhannya.

Namun begitu, masih ramai anak murid ulama yang hanya mampu mewarisi ilmu yang dipelajari namun tidak mampu mewarisi akhlak dan adap guru mereka. Kalau belajar dengan guru pun tak mampu nak beradap, apatah lagi kalau belajar dengan Pakcik Google.

Jelas sekali ini bukanlah salah Pakcik Google. Beliau bukanlah seekor kambing hitam untuk menerajang tingkah laku si penyubur benci ahli agama kita sering lihat memporak-perandakan perbincangan agama di dada-dada Chrome, Mozilla, Opera dan yang sewaktu dengannya.

Maaf cakap, golongan inilah yang kelihatan lebih suka menabur hukum tanpa memikirkan implikasi dan hikmah disebalik apa yang berlaku. Mereka lebih selesa mencari salah dari membantu memberi jawapan dan mencadangkan solusi.


Adakah ini rupanya Ustaz Google?



Tangani masalah ini

Think Twice. Mohon diamalkan amalan “berfikir dua kali” sebelum sebarkan apa-apa jenis sebaran. Peransang utama untuk berfikir kali kedua adalah dengan melalukan penyelidikan dan pengesahan terlebih dahulu sebelum anda meneruskan langkah menyebarkan dakyah/dakwah tersebut.

Sekiranya anda punyai rakan kawan dari kalangan agamawan, ustaz dan orang lama, mohon utamakan persoalan-persoalan yang bersangkut paut dengan bahan sebaran untuk dapatkan pendapat merkea. Gunalah apa cara jua sekalipun menggunakan facebook dan email.

Andai kata segenap pelusuk dunia online dan offline anda tidak mampu memberikan kesahihan yang konkrit. Maka ambillah wudhu dan tunaikanlah solat Istikharah jika anda merasakan ke-tidak-sebaran anda itu membawa mudharat kepada seluruh umat Islam di dunia.

Orang yang tak tahu, berhak bertanya. Yang tahu, bertanggungjawab untuk berikan jawapan. Tapi yang tak tahu, mohon jangan berhujah, kerana kalau dia berhujah risau ramai akan terpalit kesesatan.

Akhirkata, sama ada Pakcik Google, Mak Ndak Twitter mahupun Tok Batin Facebook, siapalah jua namanya, mereka ini terhasil daripada jaringan internet.

Internet umpama pisau, pisau yang berbilang gunanya, kalau bernasib baik dapat makan daging rusa, tapi silap hari bulan terburai perut sendiri pula. Bergantung kepada kita yang baik yang mana buruknya.

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Dua tiga hukum diberi,
Mana nak sama si Ustaz Google-ku seorang.
Read more

Hadith adalah kisah dongeng semata-mata?


Adapun satu golongan yang menolak hadith sebagai salah satu saluran rujukan sekelian Muslim, mereka ini merasakan bahawa perawi Hadith hanya mereka-reka kisah hadith tersebut untuk kepentingan sendiri.

Lebih menarik, mereka mengaitkan fahaman agama Zoroastrianism yang amat meluas di wilayah Parsi ini mempunyai pengaruhnya dalam ulama-ulama hadith.



Pengaruh Zoroastrianism dan Parsi


Zoroastrianism dan Islam sememangya mempunyai sedikit persamaan di antara dua. Zoroastrianism adalah satu agama filosofi yang dibawa oleh Zoroaster yang dikenali sebagai salah satu agama purba terbesar di dunia.

Agama yang berpusat di Iran ini dipercayai membawa unsur-unsur negatif yang diwarisi oleh ulama dari Parsi yang mempengaruhi penerbitan hadith yang dijadikan rujukan kita hari ini.


Mereka mendakwa, kebergantungan Muslim terhadap Hadith yang sudah melebihi Al Quran itu sendiri sedang membawa Islam kepada kehancuran. Mereka juga menuduh Ulama Hadith sebagai pensabotaj agama.

Kesan Penggunaan Hadith

Bagi mereka, Hadith adalah salah satu punca perpecahan yang berlaku dikalangan Muslim itu sendiri. Hadith telah dimanipulasi sehinggakan golongan Non-Muslim merasakan jelik dan bencikan Islam dan Muslim.

Golongan ini sering dilabel sebagai anti-Hadith. Mereka cenderung menggunakan dalil Quran yang menggambarkan kesempurnaan Kalam Allah ini tidak perlukan bahkan melarang bergantung kepada Hadith.

"...Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar..." (Al-Maidah:101)

"...Dia lah yang menurunkan kepadamu Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran..." (Ali-’Imran:7)

Ayat-ayat di atas menerangkan kenapa mereka rasakan betapa Muslim perlu menerima Quran sebagai rujukan tunggal ke-Islam-an mereka.

Dalil menolak Hadith

Mereka juga menyatakan bahawa tiada istilah "Hadith" di dalam Al Quran yang merujuk kepada kisah dan pengkisahan Nabi Muhammad SAW. Begitu juga dengan ketiadaan dalil Al Quran yang jelas mengatakan harus menggunakan Hadith sebagai rujukan.

Dakwa mereka, Ulama Hadith Parsi adalah tidak segan silu dengan kelucahan. Malah mereka mengketengahkan beberapa Hadith yang kelihatan menggambarkan sedikit kelucahan yang dikatakan bahawa direka cipta oleh Ulama Hadith itu sendiri.

Mereka juga mempertikaikan perawi Hadith seperti Al-Bukhari yang dikatakan bermasalah dan dipengaruhi kerajaan boneka Abasid yang bertali barut dengan kepercayaan Zoroastrianism di Parsi.

Turut dipersoalkan kewibawaan Al-Bukhari yang dikatakan meluangkan 16 tahun menjelajah mencari Hadith dan menghafal serta mengkaji semuanya yang hampir berjumlah 1 juta Hadith. Dikatakan kisah-kisah ini dipengaruhi syair-syair dongeng yang sememangnya terkenal di Parsi.

Sains sanad hadith turut menjadi pertikaian apabila penerbitan dan perakuan ketulenan hadith itu dibuat 250 tahun selepas kewafatan Rasulullah. Mereka beranggapan bahawa mustahil Ulama Hadith dapat mengesahkan ketulenan senarai sanad yang telah lama meninggal dunia.

Selangkah Ke Alam Misteri

Terdapat satu misteri yang aku lihat dari golongan ini. Mereka seperti menggunakan Al Quran itu sebagai kamus bahasa Arab harian mereka. Copy dan paste sana sini. Bila ditanya makna dijawab juga dengan copy paste.

Lebih hairan, mereka mempertikaikan penulisan hadith dan Ulama hadith serta mengatakan bahawa kandungan kisahnya telahpun dimanipulasi. Sebaliknya, boleh pula mereka berpegang teguh pada Ulama tafsir yang telah mereka copy paste tanpa apa-apa syak wasangka.

Tidak dapat dipastikan sama ada golongan ini menolak 100% hadith atau menerima sebahagian sahaja. Serta bagaimana golongan ini bersolat dan mengerjakan ibadat khusus lain yang dilakukan Nabi Muhammad tanpa merujuk kepada sunnah dan hadith. Menjadi tanda tanya bagaimana mereka memperhalusi hukum hakam dunia alaf 21 hari ini dengan tanpa merujuk sunnah dan hadith.

Antara dalil terkuat mereka adalah sebaris ayat dari Surah Luqman:

"..Dan ada di antara manusia orang yang mempergunakan HADIS (cerita dongeng) yang tidak masuk akal untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa sebarang pengetahuan dan menjadikannya agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; Merekalah orang-orang yang akan memperolehi azab yang menghinakan.." (Luqman:6)

Sememangnya mana-mana ayat Quran tidak dapat dipertikai oleh mana-mana Muslim sekalipun, kerena ianya adalah Kalam Allah.

Mereka juga menekankan rukun Iman (beriman dengan Al Quran) sebagai salah satu pegangan mutlak dan tidak harus di rentas walaupun oleh jutaan hadith. Justeru dikatakan merujuk kepada hadith adalah satu perbuatan yang syirik dan terpesong jauh dari agama.

Beriman kepada Rasulullah sama sekali tidak dapat dikaitkan dengan hadith kerana mereka sememangnya mempertikaikan kewibaan Ulama Hadith yang dikatakan mengadun kisah dongeng untuk kepentingan peribadi/kerajaan ketika itu.

Justeru, mereka merumuskan bahawa hadith adalah salah satu faktor utama perpecahan umat Islam serta penindasan yang sedang berlaku hari ini. Mereka juga mengatakan hadith ini melemahkan umat Islam itu daripada bangkit, ini berdasarkan pelbagai hujjah berkaitan Imam Mahdi yang dikatakan dongeng.

Antara hadith yang menjadi pertikaian hangat

Hubungan seks semasa haid
Riwayat oleh 'Abdur-Rahman bin Al-Aswad (pada pihak berkuasa bapanya) 'Aishah berkata: "Apabila Rasulullah saw mahu mengusap-ngusap sesiapa di antara kami semasa waktu (datang haid), beliau kebiasaannya memerintahkan dia memakai Izar dan mula bercumbuan." Saidatina Aisyah ra berkata, "Tiada seorang pun daripada kamu boleh menguasai keinginan seks sebagaimana yang Nabi mampu lakukan."; Sahih Bukhari Volume 001, Buku 006, No 299

Nabi Isa as akan kembali
Dan juga dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat (رَّفَعَهُ) Nabi Isa kepadaNya (disisiNya?); dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah an-Nisaa: 157-158)

Menggiliri 9 isteri satu malam
Telah menceritakan kepada kami Musaddad Telah menceritakan kepada kami Yazid bin Zurai' Telah menceritakan kepada kami Sa'id dari Qatadah dari Anas radliallahu 'anhu, bahwasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah menggilir para isterinya dalam satu malam, sementara saat itu beliau memiliki sembilan orang isteri. Khalifah berkata kepadaku; Telah menceritakan kepada kami Yazid bin Zurai' Telah menceritakan kepada kami Sa'id dari Qatadah bahwa Anas telah menceritakan kepada mereka, dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam; Sahih Bukhari: 4680.

Solat 5 waktu (Ayat Quran)
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu pada tiga masa; sebelum Salat Fajar, ketika kamu menanggalkan pakaian kamu di tengah hari, dan sesudah Salat Isha; itulah tiga masa bagi kamu. Tiada dosa bagimu dan tiada pula bagi mereka selain dari (tiga masa) itu; mereka keluar masuk melayani kamu, dan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (24.58)

Kesimpulan awal

Hari ini Muslim mengambil jalan mudah mengkafirkan golongan yang dikatakan anti-hadith ini. Secara jujur, aku sendiri tidak selesa dengan cara ini. Siapalah kita nak menghukum?

Maka menjadi tanggungjawab Muslim lain yang sihat mentalnya untuk menyedarkan dan mendakwah mereka ini kembali ke jalan yang benar. Namun, aku tahu aku jahil untuk mula merentang arus mereka. Maka aku perlulah buat kajian terlebih dahulu untuk memperkasakan hati dan jiwa sendiri.

Tidak dinafikan, hujjah dan persoalan yang ditimbulkan golongan ini bersilau-silau baranya. Tapi kalau dipendam dan mengharapkan sendiri jawapan yang datang bergolek, risau makin lemah pula iman senipis kulit bawang ini.

Maka perlulah kita mengkaji dahulu sebelum bertindak. Selemah-lemah usaha, berdoalah kepada orang lain dan mereka yang terjebak.

Read more

Kenapa waktu Solat berubah?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Soalan ini dah lama aku nak tanya. Ya soalan remeh ini sememangnya ramai yang dah tahu jawapannya. Tetapi ramai juga masih berada di alam misteri, seperti aku, dulu. Tetapi kini tidak lagi.

Actually, jawapannya amat simple. Terlalu simple hinggakan aku rasa tak perlu aku bersusah payah bermandi darah untuk war-warkan (perang-perang) kepada seluruh warga maya.

Namun oleh kerana terlalu simple, otak aku sendiri telah mengenakan karenah birokrasi untuk menerima jawapan itu. Oleh itu aku gagahkan juga menduga neuron basah-ku untuk mencari jawapan yang lebih chic (bergaya).

Read more

Jangan bersedekah sambil tutup mata

Pernah perasan tak golongan pengemis kaki lima makin hari makin bertambah bilangannya?

Adakah masyarakat Malaysia terlalu pemurah memberi derma dan sedekah? Tak bermaksud bersedekah membabi-buta itu salah. Tapi kalau si pengemis tu dirasakan tak cukup afdhal untuk disedekahkan, carilah saluran/cara yang lebih efektif.


Sebelum para Melayu sekalian pergi lebih jauh berhujah tentang niat, pahala dan sebagainya. Ingin ditegaskan perbincangan ini adalah untuk mencari solusi dan bukan bertujuan untuk demotive orang lain untuk bersedekah. Melayu adalah antara bangsa yang genius ketika memberi alasan (quote suka hati).

Sedekah ada juga masanya haram. Haram untuk peminta sedekah dan pemberi itu sendiri. Sila rujuk quote di bawah:

(Abdul Qadim Zallum, Al-Amwal fi Daulah al-Khilafah, hal. 194).Jadi kalau seorang pengemis sebenarnya bukan orang miskin, haram baginya meminta-meminta. Demikian pula pemberi sedekah, haram memberikan sedekah kepadanya, jika dia mengetahuinya.

Dalam kondisi ini pemberi sedekah turut melakukan keharaman, karena dianggap membantu pengemis tersebut berbuat haram. Kaidah fikih menyebutkan : “Man a’ana ‘ala ma’shiyyatin fahuwa syariik fi al itsmi” (Barangsiapa membantu suatu kemaksiatan, maka dia telah bersekutu dalam dosa akibat kemaksiatan itu.). (Syarah Ibnu Bathal, 17/207)

Sekali lagi ditekankan, ini bukanlah isu "mahu atau tidak" bersedekah. Tidak bersangkut paut dengan kemampuan/keinginan seseorang itu memberi sedekah.

Sebaliknya isunya adalah berlaku penyaluran wang kepada pihak yang tidak berhak. Pihak yang ingin mengaut keuntungan dari keprihatinan masyarakat. Ini memberi kesan kepada insan yang benar-benar perlukan bantuan, berbanding mereka-mereka yang "berlakon jadi pengemis".

Sila tonton pendedahan Mazidul Akmal Sidek dalam Majalah 3 ini untuk melihat realiti hari ini



Ringkasan sedutan utama pendedahan Majalah 3:

1) Peminta sedekah mampu memperoleh sehingga RM500- 600 sehari. Average mungkin RM200. Cuba bayang sebulan berapa? Macam tu nak dikata miskin lagi? Setakat 2k-3k memang dalam tangan.

2) Tinjauan telah dibuat dengan meletakkan seorang pelakon meminta sedekah yang sihat dan telah memperoleh pendapatan sebanyak lebih kurang beberapa belas ringgit selama 2 jam.

3) Majalah 3 telah mendekati beberapa peminta sedekah yang tempang, kudung dan pelbagai kecacatan lagi. Apabila pihak M3 dekati terus mereka lari. Ada yang cepat-cepat capai kaki/tangan/anggota tubuh badan palsu. Nampak sihat dan normal! Maksudnya kalau yang kudung kaki tu terus boleh jalan or lari mcm orang yang sihat dan sempurna.

4) Ramai sangat peminta sedekah dari kalangan perempuan yang memakai tudung tapi sebenarnya BUKAN ISLAM. Kebanyakannya adalah golongan PATI. Mereka juga kelihatan sihat sempurna, dan purata pendapatan rm200 sehari. Mereka berikan alasan pakai tudung lagi senang nak dapat sedekah.

5) Sekumpulan pengemis PATI menyewa rumah dengan bayaran RM1300 sebulan?

Mazhab Melayu Baru

Turut menyumbang kepada lambakan pengemis di Malaysia adalah sikap masyarakat yang tak ambil kisah. Sikap "tak apa" yang akan meruncingkan lagi permasalahan ini.

Masyarakat kita bagaikan lepas tangan ketika bersedakah. Tidak salah sedekah, tapi mereka tidak cenderung mencari solusi/saluran yang lebih efektif dan efisien.

Sehinggakan ada di antara "pelakon pengemis" yang bertopengkan imej Islamik untuk menyedut habuan sedekah daripada tangan-tangan yang menjiwai kesusahan orang lain.


Penganiayaan

Isu ini membawa dua kes penganiayaan:

1) Penganiayaan terhadap pemberi sedekah. Mereka umpama ditipu dan wang yang diberi tidak sampai kepada pihak yang mereka inginkan kerana ditapis oleh sindiket pengemis.

2) Penganiyaan terhadap mereka yang memerlukan sedekah. Mereka adalah golongan yang benar-benar perlukan bantuan. Golongan faqir, tiada tempat berteduh, tak cukup makan, masalah kesihatan kritikal, pelarian negara bergolak dan lain lain. Dana mereka dicatu sindiket pengemis.

Penyaluran dana haram ini jugalah yang membantu percambahan pengemis PATI yang berkeliaran bebas di negara ini. Amat dikesali apabila keprihatinan rakyat negara ini telah disalahgunakan mereka.

Andai kata purata pendapatan seorang pengemis satu hari RM200, seminggu paling kurang RM1,000. Sebulan mungkin buleh jejak RM4,000. Bayangkan jika terdapat 500 orang pengemis palsu ini. Secara kasar sebanyak RM200,000 dilenyapkan dari hak faqir dan miskin yang memerlukan. Bukankah ini satu kezaliman?

Fenomena ini mungkin mustahil untuk kita hapuskan sama sekali. Tetapi kita harus punyai cara untuk mengawalnya.

Benarkah faqir miskin keluar meminta sedekah?

Setelah dicongak, didapati pendapatan seorang pengemis adalah amat lumayan. Hinggakan boleh dicukaikan oleh kerajaan.

Oleh itu menjadi satu tanda tanya jika pendapatan mereka tinggi, apakah benar mereka ini faqir miskin?

Cuba kita lakukan kaji selidik isi rumah yang faqir dan miskin. Adakah mereka keluar meminta sedekah? Berapa hari seminggu mereka melakukannya? Berapa pendapatan mereka? Berapakah belanja harian mereka? Dan berapakah modal mereka?

Maaf kalau sinis bunyinya, hanya sekadar siasatan mencari solusi, bukan sceptical semata-mata.

Cadangan Solusi

Kita tahu apa yang benar-benar diperlukan golongan faqir dan miskin. Secara realiti, mereka perlukan makanan, tempat tinggal, perbelanjaan sekolah anak-anak, perbelanjaan perubatan dan lain-lain. Ianya merupakan keperluan asas untuk kelangsungan hidup dan bukanlah untuk bermewah-mewah.

1) Utamakan sedekah selain daripada wang. Contohnya barang keperluan asas seperti beras, roti, gula, minyak, baju, buku, ubat dan lain-lain.

2) Pihak berkuasa perlu wujudkan satu talian hotline untuk membantu golongan ini. Konsep yang sama seperti 999 atau 911, untuk memastikan tidak berlaku lambakan pengemis palsu. Jangan salah erti dengan penangkapan dan bantuan.

3) Pertemukan mereka dengan pihak yang boleh membantu. Contoh yayasan kebajikan, masjid, ketua kampung, ahli parlimen/ADUN dan lain-lain.

4) Cuba rakam video/gambar pengemis. Sesetengah pengemis palsu tidak senang duduk dan akan menjauhi anda.


Akhir Kata

Senarai-pendek sebagai konklusi untuk refresh:

  • Pengemis makin lama makin ramai
  • Tiada siapa persoalkan suruhan Allah, ikhlas dan jujur pemberi sedekah
  • Masalah ini sudah dibuktikan dalam Majalah 3 sindiket peminta sedekah
  • Berlaku penyaluran dana kepada pihak tak bertanggungjawab
  • Golongan yang memerlukan dicatu bantuan mereka oleh sindiket
  • Menarik minat PATI untuk memeras wang keprihatinan rakyat
  • Semua orang diminta teruskan bersedekah
  • Bukan salah pemberi sedekah semborono
  • Namun tak salah kita turut serta membantu
  • Bukan mencari salah siapa, tapi mencari solusi
  • Usahakan cari saluran/solusi alternatif jika perlu

Teruskan bersedekah, takkan mungkin anda jatuh miskin hanya kerana bersedekah. Tapi tak salah untuk berfikir dua kali sebelum memberi.
Kenapa makin banyak disedekah makin ramai pula pemintanya? Something wrong somewhere.

Read more

Kenapa Raja-Raja Melayu menghalang Hudud?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami

Apa yang ditakutkan sangat dengan perlaksaan Hudud?
Berapa billion dana akan kerugian?
Berapa juta rakyat Malaysia akan kehilangan kaki dan tangan?
Berapa juta undi rakyat akan disia-siakan?
Berapa ratus ribu kes jenayah dapat dikurangkan?
Berapa juta rakyat kita akan mati kebuluran?
Berapa ribu insan akan jatuh fakir?
Berapa ramai ahli politik akan dikafankan?

Sedutan dari (Mengapa HUDUD tidak boleh dilaksanakan di Malaysia?)

Institusi Diraja bukanlah hanya sebagai hiasan semata-mata

Sampai kesudah memikirkan jawapan, timbul tenggelam isu ini hanya di bawah tapak kaki pencacai politik sahaja. Mereka mahukan perhatian? Dipijak naik batu bertanda "Hudud" ini habuan kelihatan menginjak tinggi sedikit dari yang lain.

Hari ini lampu suluh ditalakan kepada Raja-Raja Melayu. Pemerintah salasilah rumpun Melayu yang ada di antaranya berabad-abad lamanya. Pemerintah Melayu yang secara semulajadi sinonimnya dengan agama Islam.

"Dan itu semua datangnya daripada Istana... Para Sultan dan Raja yang selama ini dimomokkan sebagai ketua agama Islam... Sebagai "defender of Islam"... Sebagai kuasa muktamad berkaitan dengan Islam di Malaysia nih...

Kalu lah para Sultan dan Raja yang kononnya ketua agama dinegeri mereka prihatin dan mahukan hudud dilaksanakan... Makanyer lebih 56 tahun dulu lagi diorang dah kuarkan "dekri" yang mahukan benda nih dilaksanakan... Tapi...

Tapi... Sampai hari nih diorang berdolak dalih takmo nak guna kuasa diorang sebagai "kununnya" ketua agama Islam di Malaysia untuk memastikan undang-undang syariah Malaysia berpandukan hudud, qisas dan ta'azir....."

Sedutan dari Blog C++

Tersergam indah Istana Negara Jalan Duta

Tolak tepi hidangan basi politik hari ini. Lagi dijamah lagi bertambah bernanah otak umat Melayu kini.

Tumpul sudah parang ahli politik, kononnya parang Hudud dihunus untuk memburaikan perut busung musuh-musuh politik se-Islam mereka.

Takkan nak disimpan sahaja lembing-lembing diraja yang suci ini. Nak tunggu perang baru nak guna? Nak tunggu malapetaka baru nak bertongkat?

Inilah malapetaka Malaysia. Ada pemimpin tapi kerjanya bersila panggung. Bukan tak nampak, tapi pura-pura kelabu mata. Aku bukan mengada-ada nak tambah perisa, tapi pandai-pandailah menjawab di Padang Mahsyar sana.

Hudud tidak menzalimi siapa-siapa. Tapi kenapa bermuka-muka nak berusaha melaksanakannya?

Lancang mulut berkira-kira, hanya yang banyak salah dan dosa risaukan Hudud terlaksana. Mana tidaknya, berat sekali hukuman yang dikena. Tidak terkecuali walaupun kamu ada darah diraja. Tidak kurang walau satu jumlah sebatannya.

  • Kepercayaan Kepada Tuhan
  • Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan

Entah masih ada yang ingat tentang rukun negara. Percaya Tuhan letaknya ditempat teratas, raja-raja jatuh nombor dua. Apa lagi alasannya?

Adakah kita berada dalam landasan yang betul dalam berusaha menegakkan Hudud ataupun berusaha mencari alasan menolaknya?



Read more

Haram Senyum Ketika Berdakwah


Ini cerita tentang kampus. Spesifikkan lagi skopnya; dakwah di kampus. Ceritera tentang adik-adik junior yang ‘fresh-fresh’ belaka. Selalunya kalau ‘fresh’, otak pun sudah tentu suci. Suci dalam erti kata, belum dipengaruhi mana-mana anasir; positif mahupun negatif. Selalunya lagi, kalau cerita tentang adik junior, tak lengkap jika tidak disempurnakan dengan kehadiran kakak dan abang senior.

Kita selalu dengar ramai jemaah sibuk dengan aktiviti dakwah. Di masjid taman-taman perumahan mahupun kampung, setiap minggu pasti ada ceramah agama. Paling-paling tidak pun khutbah Jumaat. Di kampus universiti, kakak abang senior – yang disifatkan adik-adik junior suci sebagai orang alim bertudung labuh serta berkopiah – giat menjalankan aktiviti dakwah menerusi perjumpaan berkala yang dipanggil usrah. Tarik adik-adik junior menyertai kumpulan-kumpulan usrah. Suka atau tidak. Paksa atau rela. Mandatori. Wajib ikut!

Kadang-kadang adik junior itu tidak pernah langsung kenal apa itu usrah. Lebih-lebih lagi yang datang dari sekolah menengah biasa. Ikut usrah pun sekadar ikut, kakak alim bertudung labuh yang tarik. Lebih malang lagi jika hadir usrah sekali dua, kali ketiga terasa hambarnya. Kali keempat mula cipta alasan. Kali kelima, keenam selamat jalan.
Sampaikan kadang kala golongan kakak tudung labuh dan abang berkopiah, dipandang alergik oleh golongan adik-adik junior. Selangkah adik-adik junior cuba didekati, beribu langkah jaraknya mereka menjauhkan diri.

Kenapa begitu?

Koreksi Diri

Jangan!

Jangan sesekali salahkan adik-adik junior yang tidak bersalah itu. Mereka terlalu suci dan polos untuk dipersalahkan kerana tidak mengikut budaya usrah yang secara tiba-tiba hadir tak diundang dalam hidup mereka.

Jadi? Takkan nak biarkan mereka berlalu begitu saja sedangkan kakak abang senior itu terus dengan zon selesa berusrah dengan adik-adik junior yang patuh lagi menurut kata? Takkan nak ajak orang sama-sama dapat pahala pun kena pilih kasih?

Ya! Sebelum menuding jari salahkan orang lain, intai silap sendiri, cuba koreksi diri. Satu jari telunjuk diunjuk kepada dia, dia dan dia, empat jari lagi mengarah kepada kamu! Ya, kamu sendiri!

Jangan bimbang wahai kakak abang senior, belum terlambat lagi untuk berubah. Fitrah insan pasti tak lari dari khilaf. Perlu diingat, kakak tudung labuh dan abang berkopiah serta ustaz ustazah bukan malaikat yang suci dari dosa. Masing-masing perlu muhasabah.
Kadang-kadang, mungkin mental kakak abang senior yang sudah sedia berat dengan assignment  dan komitmen persatuan ‘ditambahberatkan’ lagi dengan ungkapan seperti, “Dakwah itu bukan mudah, Jalan dakwah itu penuh ranjau, onak dan liku…”. Ya, memang tidak dinafikan gerak kerja dakwah bukan mudah untuk dilaksanakan. Tapi jangan sampai kita yang tambah menyulitkannya. Hanya kerana kita lupa satu perkara mudah.

Apakah?



Senyum!

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis.” – [Hadis Riwayat Muslim].
Oh, ya. Mungkin kakak abang pemimpin usrah hanya tahu baca hadis, tapi LUPA nak hayati. LUPA – caps lock – menunjukkan mereka tak sengaja, jadi adik-adik tolonglah maafkan mereka ya.

Macam manalah adik-adik junior (yang keras hati) nak lekat dengan kakak abang senior yang setiap kali perjumpaan usrah [baca : menyampaikan syllabus usrah], buat muka serius ketat macam hakim jatuhkan hukuman gantung sampai mati mandatori? Macam manalah adik-adik junior nak sayang kakak abang senior kalau jumpa di tengah jalan, kakak abang senior buat tak pandang, SENYUM pun tidak apa lagi ucap salam?

Eh, ini bukan isu – “Kau junior aku senior, so kau kena hormat lebih kat aku.”

Mulakan dengan diri sendiri. Jangan harap orang lain mulakan, kalau kita sendiri masih sombong untuk senyum.

Senyum itu menyenangkan. Senyum itu menenangkan. Umum tahu - senyum itu sedekah, kerana Allah tahu, tak semua hambanya bernasib baik mampu keluarkan harta waima satu sen untuk bersedekah. Kerana itu Allah mengganjari pahala sedekah buat seringan-ringan perbuatan – senyum. Siapa tahu, hanya dengan senyuman yang lahir dari hati yang luhur mampu menjadi awal dakwah untuk memikat hati adik-adik atau sesiapa sahaja untuk menerima dakwah anda.

Menjinakkan hati sebelum memperkenalkan

Antara kaedah sebagaimana yang dijelaskan di dalam 10 kaedah dakwah Syeikh Jum’ah Amin; at-ta’lif [‘ = hamzah] qobla ta’rif [‘ = ain].

Menjinakkan hati sebelum memperkenalkan mereka kepada dakwah. Tackle perhatian mereka sebelum mengajak mereka ke peringkat seterusnya.

Harus diketahui, diciptakan manusia ini dengan lebih dari 1001 jenis perangai. Variasi inilah yang menjadikan dakwah tidak hanya statik kepada satu cara, malah dakwah memerlukan kekreatifan sesuai dengan tempat, masa dan suasana masyarakat. Dakwah yang terbaik adalah dakwah yang tidak membebankan masyarakat, malah lebih memudahkan dan menyenangkan masyarakat untuk menerima tanpa melangkaui batas agama.

Oh ya. Tidak perlu menjadi seorang ustaz ustazah untuk berdakwah. Sesiapa sahaja – selagi anda seorang Muslim dan sedar akan tanggungjawab itu – maka jalankanlah sedaya mana yang termampu mengikut kekreatifan sendiri selagi ia tidak bertentangan dengan syariat.

Dakwah bukan untuk menyusahkan. Dakwah juga bukan untuk menghukum.
Jika tidak, mungkin sudah lama Nabi junjungan kita mendoakan kecelakaan kepada penduduk Thaif yang menzalimi baginda ketikamana baginda menyeru mereka kepada Islam. Jika tidak, mungkin sudah lama Baginda s.a.w. membunuh Umar r.a. yang kuat menentang perjuangan baginda sebelum keIslamannya.

Api takkan terpadam dengan menjirus petrol RON-95. Air yang menitik di atas batu yang keras, lama-lama akan melekuk juga. Ada 1001 macam cara untuk berdakwah. Bukan dengan kekerasan. Bukan dengan muka yang serius.

Di akhirnya, praktik dan laksanakan. Bicara tanpa amal laksana pohon yang rendang tanpa rambutan yang merah.

Oh ya, kakak abang usrah, sahabat-sahabat yang giat berdakwah. Teruskan dakwah anda. Moga Allah rahmati dan kuatkan langkah murni anda.

Tapi, jangan kedekut sedekah senyum!




Read more

Kristian tempat pertama, Islam kedua

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Tahukah anda bahawa populasi penganut Kristian adalah paling ramai melebihi populasi Muslim? Penguasaan mereka kini melebihi 1/3 daripada keseluruhan penduduk dunia.

Pernahkah anda terfikir mengenai betapa kuatnya gerakan Kristianisasi di Malaysia khususnya?

Tahukah anda, di bawah Christian Federation of Malaysia, penganut Kristian bersatu lebih dari 40 buah mazhab untuk melancarkan Kristianisasi besar-besaran di Malaysia?

St. Paul's Chapel Kinarut Sabah
Maaf dipinta jika fakta tersebut membuatkan anda berasa tidak selesa. Sememangnya kita berada dalam situasi yang amat tidak selesa bahkan kita terancam. “We are at war”.

Muslim Malaysia tidak pernah berasa terancam daripada gerakan Kristianisasi tempatan. Bukanlah dimaksudkan bahawa kita tiada pendakwah berkualiti, tetapi kita tidak punyai kelebihan kuantiti.

Kita sebagai Muslim sering bercakaran dan bertelagah. Mungkin kerana kita berasa selesa dan tidak terancam. Kita telahpun sedia maklum tentang permasalahan dunia Muslim yang sentiasa bergoncang ini. Sesama saudara kita bertegang urat menghamburkan kebencian. Menjarakkan kita daripada realiti yang memupuskan populasi Muslim hari demi hari ini.

Gerakan Kristianisasi di Malaysia dipelopori gabungan antara-gereja yang menyisihkan semangat assobiyah antara mazhab mereka. Penerapan akidah berlandaskan gospel Jesus adalah tunjang dalam penyebaran dakwah mereka.

Berbanding Muslim, mereka menekankan pegangan akidah. Mereka meletakkan kepentingan agama ritual dan beramalan di tangga yang kedua dan ketiga. Mereka cuba memudahkan anutan Jesus ini diterima dalam keberadaban dunia Melayu.

Dr. Muhammad Taqiuddin Al-Hilali merungkaikan kata bagi menterjemahkan realiti Kristianisasi masa kini. Beliau menyebut:

Yang ada pada Kristian adalah manusianya/penganutnya dan bukanlah agamanya.
Yang ada pada Islam adalah agamanya, tapi bukan pada penganutnya.


Dengan kata lain, gerakan Kristianisasi merealisasikan ajaran agama mereka pada tindak tanduk mereka bagi membolehkan ajaran ini diterima ramai. Sebaliknya Muslim, mereka punyai agama yang hebat lagi benar, sayangnya mereka tidak menghidupkan ajaran itu sepenuhnya. Dan mengakibatkan kegagalan mereka mempengaruhi umat manusia yang lain, tidak seperti zaman Nabi dan sahabat dahulu.

Kristian punyai tenaga kerja yang komited, gerak kerja yang efektif dan jaringan manusia yang tidak pernah putus dalam menyuburkan ajaran agama mereka.

Kualiti seorang mubaligh Kristian meliputi kejujuran, kasih sayang sesama manusia, setia, peramah, suka membantu, hormat menghormati, memberi layanan tanpa mengira darjat, dan bersimpati.

Mereka juga mengamalkan keterbukaan yang amat mengkagumkan dan ini dilihat menjadi satu kelebihan utama gerakan ini dalam menyelusuri kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia. Mereka membuka mata masyarakat dengan lenturan ajaran yang lembut lagi mudah untuk diamalkan di Malaysia sendiri.

Mereka juga giat menyebarkan risalah mengenai kisah-kisah yang berkaitan dengan gospel (Berita Baik) yang menyentuh hati segenap masyarakat.

Jika di zaman jajahan British dahulu, dakwah Kristian hampir menemui jalan buntu apabila dikatakan bilangan Melayu yang memeluk Kristian jika dibilang dengan hanya sebelah tangan pun sudah memadai.

Zaman telah berubah, Melayu juga tidak ketinggalan.
Kini, gerakan Kristianisasi telah mengembeleng tenaga dari seantero dunia. Segala pengalaman yang mereka dapat daripada Indonesia, Filipina, Nigeria dan negara-negara lain dibawa masuk untuk digunapakai dalam proses penyebaran dakwah mereka.

Gerakan ini tidak hanya mengharap bantuan kewangan daripada institusi unggul mereka yang berpangkalan di luar negara. Mereka juga punyai cara tersendiri untuk mengumpulkan dana bagi menampung perbelanjaan aktiviti ini.

Tahukah anda ramai penggiat Kristianisasi Malaysia sanggup membuat pemotongan gaji bulanan mereka bagi disalurkan terus kepada gereja?

Para mubaligh Kristian kini telahpun mahir bahkan mereka sendiri hidup dalam jaringan budaya Melayu. Mereka kenal benar perihal adab santun Melayu kerana mereka ini bukanlah orang asing, mereka ini rakan-rakan kita juga, mungkin sebangsa dengan kita?

Telah direkodkan sepanjang tahun-tahun 1970-an, pertambahan penganut Kristian adalah 3.9% berbanding penganut Islam hanya 0.7% daripada jumlah penduduk Malaysia ketika itu.

Muslim kini sedang leka melayan siaran langsung EPL, sedangkan Mubaligh Kristian sibuk menghulur bantuan kepada orang gelandangan dan fakir miskin.

Ramai dari kita yang telah menyaksikan sudah bertahun lamanya golongan ini menyerap masuk ke dalam universiti dan kolej tempatan untuk membantu dan mendekati pelajar.

Selama ini mereka banyak melakukan kerja sosial menjaga kebajikan penghidap HIV/AIDS, kanser, OKU dan juga autism. Mereka juga giat berusaha mendekati dan menghulurkan bantuan kepada pesakit-pesakit kronik lain yang di kategorikan sebagai terminally ill (tiada harapan untuk hidup).

Penerimaan luas ini banyak menyumbang kepada kekukuhan Kristian dalam mewakilkan pencalonan mereka di dalam parti-parti politik di Malaysia. Ini bagi menjamin hak mereka terus terbela dan terpelihara. Disamping memulakan usaha menentang dasar Islam secara halus.

Feast of Corpus Christi at St Michael Church 1965
Tahukah anda secularism itu adalah salah satu agenda Kristian? Rujuk Matthew 22:2, John 18:36. Usaha ini adalah bertujuan menyekat pengaruh Islamisasi Malaysia yang sememangnya lemah tanpa dorongan dan tajaan kerajaan sendiri.

Selain itu, mereka juga sering memberikan bantuan kelengkapan persekolahan, malah memberikan bantuan kewangan kepada anak-anak Melayu, sepertimana yang digemparkan oleh beberapa penggiat politik negara satu ketika dahulu.

Terdapat juga kes mangsa along (peminjam wang haram) dan mangsa penderaan mendapat perlindungan serta layanan mesra oleh gereja-gereja tempatan.

Gereja juga menyediakan bantuan dan perlindungan kepada anak-anak dan ibu tunggal yang menjadi mangsa keruntuhan institusi keluarga. Begitu juga dengan golongan yang dicabuli hak mereka, mubaligh Kristian menghulurkan kepakaran bantuan guaman kepada yang memerlukan.

Malaysia sendiri sudah beberapa kali dihentam oleh keruncingan media luar kerana dituduh tidak mengamalkan kebebasan beragama. Berdasarkan laporan mereka, Kristian Malaysia seringkali dilabel sebagai golongan yang ditindas dan dipulaukan serta tidak mendapat hak bersuara.

Persatuan dan badan-badan berkaitan Kristian seluruh dunia kerapkali meluahkan rasa simpati dan prihatin terhadap apa yang berlaku di Malaysia. Situasi ini secara tidak langsung memberikan tekanan kepada kerajaan dalam perlaksanaan polisi berkaitan Islamisasi dalam pentadbirannya.

Usaha-usaha Kristianisasi ini boleh sahaja dinafikan oleh saudara se-Islam kita yang lain. Hanya kerana ianya tidak mendapat liputan sewajarnya. Gerakan Kristianisasi sememangnya bergerak dengan rahsia, mereka mendekati Muslim disebalik tabir-tabir bantuan kemanusiaan sebegini.

Tulisan ini bukanlah bertujuan menabur benih benci kepada penganut Kristian. Tetapi bertujuan untuk menyedarkan betapa Muslim Malaysia khususnya, lalai dan leka dengan perkembangan pesat para mubaligh Kristian. Ini adalah cubaan untuk menyedarkan mereka dari tanggapan berada di dalam zon selesa.

Apa yang mubaligh Kristian lakukan ini sama sekali tidak salah. Malah bantuan dan keprihatinan mereka amat digalakkan. Mereka hanya menjalankan tanggungjawab menegakkan agama yang mereka anuti dan sanjungi. Persoalan puncaknya tersembul di atas kepala Muslim itu sendiri. Apakah kita selesa melihat perkembangan ini? Jika Kristian mampu lakukan, kenapa tidak kita?

Malaysia bakal mengalami masalah “kecairan” umat Islam sekiranya tiada usaha serius memperhebatkan dakwah Islamiah di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam khususnya. Ini kerana kita dikelilingi oleh para mubaligh yang amat berkaliber dari Indonesia, Filipina, Singapura dan negara jiran lain. Mereka ini tidak pernah jemu membanting tulang menyebarkan dan meluaskan pengaruh.

Suasana protes Muslim Malaysia
Maaf cakap, Muslim Malaysia kaya dengan protestnya. Bukan bermakna protest itu tiada manfaat, iaitu menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pihak tertentu. Tetapi amat dikesali jika protest itu tidak disahut oleh kesinambungan gerak kerja praktikal menegakkan agama Islam.

Muslim Malaysia juga perlu positif, proaktif dan responsif untuk berdepan dengan hakikat perkembangan Kristianisasi kini. Sikap “tak kisah” perlu segera dilempar keluar demi memastikan kelangsungan syariat untuk anak cucu kita.

Sayang sekali Malaysia negara Islam hanya pada nama, pemimpin sendiri acuh tak acuh menjaga kesucian agama. Bukan bermaksud ingin menghentam kerajaan, tetapi inilah realitinya, jika ini fantasi mana mungkin kita ketinggalan sebegini?

Sekali lagi diulangi,

“We are at war”
“Not with them, but ourselves; our attitude and mentality”


Kita ada kuasa, kita ada dana, tapi sayangnya kita ramai hanya pada angka.


Read more

Papan tanda istimewa untuk para Blogger!


Lokasi: Malaysia
Tarikh: Selepas Masihi

Comel kan papan tanda ni?

Teguran kepada diri sendiri & rakan semua. Bab mati ni sensitif sikit. Terasa ngilu dan dingin bila dengar lagu "Bila Izrail datang memanggil... Jasad terbujur di pembaringan".

Bila sentuh bab mati, dalam kepala aku teringatkan kejahilan & keburukan yang aku dah lalukan. Rasa haus, rasa kosong dan berdengung panjang.

Mata terkelip sambil otak merawang teringatkan saudara atau insan-insan terdekat yang dah meninggal. Dada rasa sempit, paru-paru terasa lembap dan hangat. Nafas pulak terasa makin perlahan sampai kena arahkan paru-paru kembang dan kuncup secara manual.

Disebalik kemeriahan kita bertepuk tampar dalam dunia blog ini pernah tak kira berapa kali kita bernafas hari ni? Allah tak pernah berkira dengan kita walaupun satu nafas. Biarpun kita lalai, Allah tak pernah ambik hati.

Tapi kita ni pantang kena ujian sikit, mula mengungkit kat Allah. Nak sedekah pon berkira. Nak tolong sesama manusia lagi la berkira.

Cuba compare berapa banyak nafas kita dengan kebaikkan yang kita dah buat. Aku penah try satu minit aku bernafas 15 kali. Tapi mampukah dalam 1 minit tu aku buat kebaikkan sebanyak 15 kali?

Allah tak penah berkira dengan kita, tapi kenapa kita selalu berkira dengan Allah?


Read more

Kisah Upin, Seorang bayi buangan



Namaku Upin.

Aku seorang bayi lelaki. Aku baru lahir dari rahim ibuku yang amat aku sayangi. Aku sahut terjahan dunia dengan tangisan. Begitu juga ibuku, dan mungkin ayahku.

Gambar Hiasan
Namun agak ralat bagiku, tangisan ibuku lain benar sayunya. Aku percaya yakin dan pasti, ibu sayangkan aku. Kerana itulah aku redha menggigil kesejukan menunggu ibu kembali mengambilku.

Aku imbau air mata sayu ibuku. Dia berpesan lembut padaku. "Maafkan ibu, nak". Tumpah berjurai cairan dari mata ibu yang aku cintai.

Oh ibu. Tiada salahnya dirimu. Aku zuriatmu. Walaupun tidak ku tahu siapa bapaku.

Andai aku bersalah padamu ibu, maafkan lah aku. Aku sahut tangis mu dengan tangis ku bukan bermakna aku sedih. Aku mahu pujuk ibuku ini agar maafkan aku. Jangan tinggalkan aku.

Aku terus bermain pujangga minda sambil menanti hiba kedatangan kembali ibuku.

Kasihan ibu. Menahan derita melahirkan seorang bayi seperti aku. Terselerak riak wajah ibu, menahan sakit rentapanku dari rahimnya.

Malam mula berturap bayu embun sesejuk salju. Namun ibu belum kunjung tiba mendapatkan ku.

Oh ibu, kini bulan menjadi temanku. Terukir senyumannya walau jauh beribu batu. Ku harap ibu jangan menangis selalu. Contohi bulan ini, tak jemu menjambak bunga di wajahku.

Aku lihat satu makhluk. Halus bentuknya. Punya sayap tidak berwarna. Terbang melayang di kanan dan kiriku. Bukan satu tapi banyak benar bilangnya. Mungkin dia simpati denganku. Marilah berkawan denganku. Terhibur seketika dengan dengungan kawan-kawan baru ku ini.

Pedih. Kenapa kamu sakitiku. Bukankah kamu kawan-kawanku? Jangan kamu ulangi gigitan itu. Aku hanya ingin bermain. Bukan mahu bermusuhan denganmu.

Oh ibu, di mana kamu? Kawan-kawanku tidak henti-henti menyengat kulit gebuku. Air mataku berderu. Sedalam hati aku menjerit di mana kamu wahai ibu!

Sakit ibu. Tolonglah aku. Maafkan aku ibu. Jangan hukum aku. Aku berjanji akan jadi anak yang soleh buatmu. Aku berjanji akan sentiasa berdoa kepadamu. Aku bersumpah akan menyayangimu seumur hidupku ibu.

Bertalu-talu tanpa jemu kawan baruku merobek liang romaku. Puas aku kais. Bantulah aku, ibu. Tak mampu ku tahan lagi sakit ini ibu.

Ruas dingin malam mula menyucuk tulang belulangku. Aku lihat rakanku si sayap ini membawa segerombolan sekutu. Dari biasan cahaya rembulan, merah saga susuknya. Kecil amat sifatnya tetapi bertandang dengan rombongan yang berbilang angka.

Tangkas meliar makhluk ini menjalar di tubuhku yang tidak lebih sehasta ini. Bagai jarum, bagai api mereka mengupas luka merah bisa dari aksi si rakan bersayapku tadi.

Raungku menggegar sunyi. Air mata sudah entah berapa baldi. Namun ibu belum pun tiba lagi.

Barangkali ibu dikejauhan. Barangkali ibu sibuk mencari rezeki untuk masa depanku. Oh ibu, mulianya dirimu. Aku sayu mendapat ibu sepertimu.

Terus aku teriak sehabis kudrat. Aku mulai lemah. Dadaku mula lelah. Hatiku masih percayakan ibu akan datang kembali mendapatkan aku. Kerana ibu sayang aku.

Setiap saat berlalu, bagai menanti sepurnama menongkah waktu. Nafasku tersentap-sentap halwa dingin. Nipis benar udara yang masuk ke paru-paruku. Aku gagahkan jua dengusan memanggilmu ibu.

Terbakar rasanya kerongkongku. Mahu sahaja aku teruskan berteriak. Namun tiada suara lagi yang bernada. Hatiku tak henti memanggilmu ibu. Maafkan aku andai aku berdosa padamu. Aku percaya ibu akan tetap sampai mendapatkanku sebentar lagi.

Aku rasakan kaki sudah tidak bergerak walau sekuat daya aku meronta. Dingin sungguh rasanya. Aku lihat sahaja si makhluk merayap mengerumuni badanku. Terasa mereka bergerak hingga ke dalam rongga telinga dan hidungku.

Kian hapus ketipan halus yang memedihkan tadi. Mata yang kering ini meneroka setiap inci tubuh lebam lagi rabak ini. Terasa tenang walau kelihatan kulitku tercabik merata bagai diratah api.

Walau haus, lemah dan longlai, aku tidak jadikannya alasan untuk berhenti memanggil ibuku.

Setelah beberapa ketika, aku rasakan tubuhku membantah untuk terus meronta. Aku tidak kisah. Aku hanya mahu ibuku. Aku tahu ibuku sedang kemari untuk mendapatkan aku.

Aku terbayang nanti setelah ibu mendapatkanku, dia akan mengubati luka-luka ini. Ibu akan membelai kulit halus ini. Ibu tidak akan lupa untuk mengucup dahiku setiap pagi petang dan malam.

Akan aku sahut kedatangan ibu dengan senyum tawa, andai ku mampu. Berat amat kelopak mataku kini. Ku terus memanggilmu ibu walau terpejam gelap dalam dingin sunyi ini.

Tiada lelap, hanya menanti ibu datang menyelamatkan aku. Barangkali ibu terlupa jalan kemari. Ibu perlukan sedikit masa untuk sampai ke sini.

Berselang tautan detik masa, kedengaran tapak kaki berselerakkan. Oh ibu!

Ku teroka sekalian kudrat untuk membuka mataku. Walau tubuhku ingkar untuk bergerak, aku berusaha juga memaling kiri dan kanan mencari kelibat ibu.

Dalam selimut gelita aku melihat, bayang-bayang lembaga berkaki empat. Kepalanya tunduk, telinganya besar amat. Terkejut besar aku melihat, ada ekor pula melambai dari belakang.

Ini bukan ibuku. Apakah ia? Apakah makhluk ini cuba membantuku?

Cuba aku teriak untuk berikan isyarat. Namun ternyata kaku lesu tubuh tidak termampu. Makin dekat ia, kelihatan rancak bertema lidahnya terlejir keluar. Apa maknanya ini alamat?

Rapat mataku tutup. Aku rasakan dihidunya tubuh carik ini.

Aku tertolak, terpelangkup menyembah bumi. Kuat benar riang makhluk ini. Aku dengar dengusan bukan sekali. Langsung disusuli beberapa rangkap tapak kaki.

Lantas tubuhku direntap-rentap. Dihempas-hempas, terguling mengalir darah pekat. Hatiku terdetik, di mana ibu? Jangan biarkan aku begini ibu.

Tercengang urat nadiku berantakan dek tusukan taring makhluk itu. Dikais-kais cebisan kulitku dengan lahapnya. Tanpa gusar, makhluk itu memburaikan isi perutku. Lalu terhampar susur galur saluran pintal penghadamanku.

Tiada lagi air mata mengalir selain cecair hangat rona merah gelap. Aneh, beransur teduh hati ini mengingati ibu. Walaupun dia tiada kemari mendapatkan aku dikala ini. Aku tetap cinta ibuku.

Serentak tiba-tiba, aku berasa lega! Aku berasa sihat penuh kudrat.

Aku dongak lihat dari kejauhan, makhluk berkaki empat. Dimulutnya tergonggong perca tubuh kecil terlipat-lipat. Itu jasadku.

Susuk tubuh terkulai yang hampir tidak cukup sifat. Jejari halus mulus itu aku dapati kurang dari jumlahnya yang lima. Kejang terkujur dirobek rakus. Terlintang leher dengan cekaman, terlopong soket mata itu tanpa bolanya.

Aku redha ibu. Aku maafkan ibu. Aku sayang ibu. Aku cinta ibuku. Maafkan aku ibu andai aku berdosa kepadamu. Maafkan aku andai aku melukakan hatimu. Jika kedatanganku ke dunia ini bakal membawa binasa padamu ibu, aku relakan pergi.

Ibu tidak bersalah. Tidak sekali-kali bersalah. Jika ini takdirku, tiada apa aku usulkan selain redhaku. Wahai Tuhanku, sesungguhnya ibuku tidak bersalah. Dia amat menyayangiku. Dia mencintaiku. Aku tahu.

Ibu, kamu tak bersalah. Aku tahu.
Aku sayang ibuku. Moga Tuhan beri ketabahan padamu.
Namun berjanjilah padaku ibu, jangan kamu sekali-kali ulangi tindakan ini.
Berjanjilah untuk mendidik anak-anakmu yang lain menjauhi kehinaan ini.

Tapi mengapa ibu tinggalkanku? Mengapa ibu biarkan aku begini?

Adakah sebabnya ibu malu aku tidak punyai bapa yang sah?
Ataupun ibu dirasuk pemikiran masyarakat kuno yang hanya tahu menghukum?
Apakah aku ini terlalu hina untuk diterima oleh tamadun manusia yang beragama?
Adakah aku hanya layak dijadikan cemuhan komuniti berserban berjubah yang berpegang seruan Lillahi Taala?
Apakah ibuku tidak diberi bantuan untuk menjagaku seadanya?
Ke mana perginya keluarga tersayang ibuku dalam menghadapi kelahiranku?
Adakah dunia tidak mampu melihat insan sepertiku hidup normal seperti mereka?
Apakah ibu dicaci maki hanya kerana mengandungkan aku?
Kenapa ibuku perlu dihukum sedemikian rupa?
Mana perginya akhlak kemanusiaan sejagat kini?
Apakah kunci pintu taubat itu dipunyai manusia tidak berhati perut ini?
Aku tidak akan lahir tanpa bapa jika dakwah Tuhan yang Esa diagungkan ke serata dunia

Setiap dari kami yang terkorban, darah merah ini akan terpalit ke setiap muka kalian. Jangan berani sembunyi tangan.

Sekian dari bayi yang tidak berkesempatan diberikan nama, Upin hanya sekadar metafora.

Gambar Hiasan

Alhamdulillah akhirnya siap juga tulisan ini. Harap anda beroleh manfaat membacanya


Read more

Mak Nyah itu murtad dan kafir?



SEREMBAN – Keputusan empat mak nyah yang sebelum ini mendapat kebenaran mahkamah untuk mencabar perintah undang-undang Syariah yang menghalang mereka berpakaian seperti wanita, akan diketahui 11 Oktober depan.

Dalam prosiding mendengar permohonan semakan kehakiman yang berlangsung semalam, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad berkata, pihaknya akan meneliti kes tersebut dengan mendalam sebelum membuat sebarang keputusan.

Mereka, Muhamad Juzaili Mohd Khamis, 24, Shukor Jani, 25, Wan Fairol Wan Ismail, 27, dan Adam Shazrul Mohd Yusoff, 25, yang bekerja sebagai juruandam menamakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Pengarahnya, Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah, Ketua Pendakwa Raya Syariah dan Kerajaan Negeri sebagai responden.

Terdahulu, empat lelaki itu meminta Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai, kepada mereka yang secara psikologi adalah wanita atau mempunyai kecelaruan identiti jantina.

Mereka juga mendakwa seksyen itu juga melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, berhubung hak kebebasan terutama dari segi kebebasan memilih.

Menurut peguam pemohon, Aston Paiva, keempat-empat anak guamnya itu mempunyai laporan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur yang mengesahkan bahawa mereka ini secara psikologi mempunyai sifat kewanitaan lebih berbanding lelaki.

Responden diwakili Peguam Datuk Ishak Sahari dan Mohd Fairuz Iskandar.

Ulasan:

Persepsi Muslim Malaysia: Mak Nyah itu murtad dan kafir?

Empat orang Mak Nyah ini mendapat kebenaran mencabar Mahkamah Syariah untuk membenarkan mereka berpakaian seperti wanita. Katanya mereka ada hak kebebasan memilih gaya hidup.

Mereka ini Islam, dan sebab tu kes mereka di bawah Mahkamah Syariah. Ada suara sumbang kata "Dah nak jadi Mak Nyah, keluar Islam la".

Mak Nyah kelihatan sudah mula menunjukkan taringnya. Pak lebai pulak tak henti-henti mendabik dada mencerca mereka. Pejam celik esok lusa anak dia sendiri yang tergedik-gedik men-sotong-kan diri.

Kes Mak Nyah ini adalah satu contoh terbaik menggambarkan keterampilan Muslim Malaysia khususnya. Kita lebih selesa menyepak terajang hati dan perasaan golongan ini daripada cuba mendekati dan mendidik mereka.

Pandangan kita terhadap mereka tak pernah lekang dari duri kebencian. Lagi dipandang lagi dibenci. Kerana terasa diri itu lebih Islamnya dari mereka, si Mak Nyah umpama sampah yang hanya perlu dikais dengan kaki.

Si lebai suka benar berbincang hukumnya golongan ini men-sotong-kan diri. Haram itu neraka sini. Macam mereka pulak yang menentukan nasib orang lain. Nasib sendiri tidak terbela.

Orang kita lebih suka menghukum dari mengambil tanggungjawab mencari solusi.

Ada yang bagi alasan itu kerja kerajaan nak mendidik golongan Mak Nyah. "Kami kena berpolitik dulu nanti dapat takeover Putrajaya baru kami boleh berdakwah pada golongan ini". Paham-paham sendirilah sapa.

Sejauh mana usaha orang Islam ini membantu mereka? Tolong bantu membenci? Ditanam dalam hati kanak-kanak agar memulaukan golongan ini, oleh kerana diri sendiri yang geli.

Kenapa geli? Kotorkah mereka ini? Kena samak tak? Yang berkepit beromen tak boleh nak samak tu pon tak terkira banyaknya. Senang hati saja melihat mereka. Tapi bila datang Mak Nyah terus bermuntah-muntah kononnya jijik.

Masalah Mak Nyah ataupun Transgender ini jika diambil berat dari awal, aku pasti takkan wujud kes sebegini di mahkamah. Kita pandang masalah ini sebelah mata dari awal. Kita rasakan mereka ini tidak layak dibantu?

Suka aku menggunakan relative timeframe untuk melihat hala tuju permasalahan ini.

2012 - Mak Nyah mencabar mahkamah syariah
2016 - Mak Nyah jadi wakil rakyat
2020 - Jantina Mak Nyah menjadi pilihan dalam MyKAD

Melihat rentak tempo pemimpin masyarakat kini, aku rasakan semua ini tak mustahil. Bukanlah maksud aku untuk mengiyakan diskriminasi terhadap golongan Mak Nyah ni, tapi jika kita berterusan menunding jari kelak nanti yang merana adalah anak cucu kita sendiri.

Tulisan ini untuk menyedarkan tanggungjawab kita untuk mendekati dan mendidik. Bukan untuk menambah perisa ajinomoto kepada kebencian dan diskriminasi terhadap golongan ini.

Aku percaya semua masalah ada jalannya. Selagi kita tidak lari dihambat masalah segalanya kita mampu.

Come to an end, tahniah kepada yang baca sampai sini. Anda ada dua pilihan.

A: Teruskan persepsi negatif ini
B: Turut serta membantu golongan Mak Nyah untuk berubah



Read more

Aku lebih Islam dari semua orang di blog ini

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Post kali ini bertemakan review/rumusan video. Video kuliah agama oleh Syeikh Al Habib Ali Al Jifri . Video ini amat sesuai untuk segenap golongan manusia baik Melayu Muslim, Cina Muslim mahupun non Muslim. Tetapi ia lebih special untuk manusia macam aku yang penuh ego dan keras kepala batunya.

Video ini mungkin dah lama diupload. Namun intipatinya tetap segar mewangi.

Food for thought sebelum anda teruskan membaca & memainkan video dibawah:

"Apakah sifat iblis? Dan kenapa Iblis menjadi Iblis yang kita kenali hari ini?"


Rumusan/Isi Penting
  • Kata Iblis: "Aku lebih baik dari Manusia, aku diciptakan dari api, tapi Manusia dari tanah. Aku lebih baik darinya!" 
  • Kejujuran kesolehan seseorang itu bukan hanya ditampilkan pada serbannya, jubahnya, hitam dahinya janggut dan celaknya.
  • Bukti seseorang yang tidak jujur ketaqwaannya kepada Allah adalah apabila jelas akhlaknya sesama makhluk penuh dengan kepura-puraan.
  • Semakin dia berkomitmen dengan Allah, semakin jelas dia melabel menghina kelompok masyarakat lain,
  • Semakin dia berkomitmen dengan Allah, semakin jelas dia mengkasari & menzalimi orang lain yang tidak menurut kata Allah walau ahli keluarganya sendiri.
  • Apa yang kamu lihat pada mereka yang tidak ke masjid?
  • Apa yang kamu lihat pada mereka yang tidak ke kelas agama?
  • Kenapa perlu pandang hina mereka? Susah payah bersolat, bertasbih, berkuliah, mentelaah kitab tapi kenapa perlu kamu pandang hina pada orang lain?
  • Mana pergi akhlak kamu sesama manusia?
  • Setiap yang berilmu dan beragama jika tidak terikat dengan akhlak mulia, maka terdapat kecacatan dalam keikhlasannnya dalam berilmu dan beragama
  • Jangan kita pandang akhlak orang lain lagi, tunduk tengok dengan mata hati akhlak kita sendiri
  • Terdapat hadith menceritakan Nabi Muhammad melihat bintik-bintik hitam syaitan di muka para ilmuan agama yang tak pernah jemu ke masjid
  • Kenapa muslim yang makin bertambah ilmu agamanya makin dekat pula dengan sifat syaitan?
  • Makin kuat kita menentang mungkar makin jauh pula kita dengan peribadi Rasulullah
  • Agama kita adalah agama yang beradap bukan sahaja pada Allah dan RasulNya tetapi kepada sekalian makhlukNya
Dari sehari ke sehari hati kita makin menimbun dengan sifat kebencian. Setelah bermacam petanda petunjuk keruntuhan moral yang Allah tunjuk, kenapa mesti kita teruskan kebencian ini? Apa untungnya kepada kita dan anak-anak kita nanti?

 Hari ini umat Islam masing-masing menyusahkan perjuangan sesama sendiri. Kerana berbilang ideologi berakar taksub sampai ke tahi. Aku sendiri tak terkecuali, sama juga seperti yang lain. Kerana belitan Iblis ini banyak jarumnya. Semakin tinggi ilmu kamu, semakin tinggi pangkat Iblisnya. Kerana itulah asalan Iblis sendiri, mereka sentiasa lebih baik dari kamu.

 Permasalaahan hati ini takkan lekang dengan kancah politik tanah air. Bukan niat aku nak tempelak si fanatik politik. Tapi ini memang realiti. Sebijik-sebijik kena atas batang hidung aku.

 So lepas ni kita boleh kaitkan ahli politik mana yang berasa terlebih Islamnya? yang mana yang kurang Islamnya? Maaf cakap, jgn perbodohkan diri sendiri, tengok dulu diri sendiri. Tak ada untung langsung nak palitkan kepada orang lain.

 Kalau nak ikutkan aku ni memang tak layak untuk berdakwah kepada kalian semua. Tapi Allah tak letakkan apa-apa kelayakkan minima untuk kita berdakwah. Kerana dakwah itu datang dari pelbagai segi. 

Dugaan paling besar berdakwah adalah mengamalkan apa yang ingin kita dakwahkan. Kalau kita tak mampu berdakwah kepada orang lain, berdakwahlah kepada diri sendiri, amalkan dakwah kepada diri sendiri. Secara tidak langsung kita telah berdakwah kepada orang lain dengan adab dan akhlak kita kepada mereka.
Read more

Cina masuk Islam atau Cina masuk Melayu?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

 Post ini berkisah tentang video Xifu Naser di yang disertakan. Video berdurasi 40 minit yang mementaskan perbincangan antara tokoh dakwah bersama Alex, Janice ❤ dan J. Sze ❤. Perbincangan ini berkisar tentang penerimaan kaum Cina terhadap Islam. Diselitkan juga bacaan lancar Surah Al Fatihah oleh saudari J. Sze ❤ yang comel.




Rumusan/Point penting:
  • Islamophobia, Pandangan Kaum Cina dan Peranan Melayu 
  • Dakwah kepada masyarakat kaum Cina di Malaysia amat lemah berbanding kaum Bumiputera di Sabah Sarawak
  • Persepsi orang Cina terhadap orang Islam tak banyak beza merangkumi responded dari pelbagai background (education, career)
  • Kita sibuk Lina Joy keluar Islam, tapi di Pulau Ketam pada tahun 80an ada 300 keluarga Cina Muslim, tapi hari ni tinggal tiga sahaja keluarga cina muslim, yang lain dah murtad/convert
  • Mengapa bersifat perkauman dalam dakwah dengan Cina muslim
  • Orang Cina India bagaikan mendapat motivasi untuk mintak tukar agama di mahkamah
  • Masyarakat Cina memang takutkan Islam, mereka bias terhadap Islam
  • Kalau masuk Islam bagaikan murtad/menderhaka kepada keluarga dan bangsa Cina, mereka dianggap masuk agama Melayu?
  • Mereka boleh masuk Kristian dan Bhudist walaupun agama itu bukan berasal dari China
  • Kedua2 kaum Melayu dan Cina yang menyebabkan Islamophobia dikalangan Cina Malaysia
  • Cina masuk Islam = Cina masuk Melayu
  • Tapi masuk Kristian masih cina, masuk Bhudist masih Cina
  • Nasyid Pakai baju melayu
  • Raya dengan ketupat, baju Melayu makanan Melayu
  • Kenapa tidak buah limau? kuih muih Cina?
  • Masyarakat Cina takut mereka di-Melayu-kan
  • Muslim sukar melayan pertanyaan non Muslim terhadap Islam
  • Muslim merasakan mereka tidak layak bertanyakan tentang Islam
  • Tak seperti Kristian, mereka melayan setiap pertanyaan dengan hati terbuka
  • Tips berdakwah dengan masyarakat cina, jangan sebut pasal mati (membawa malang), banyakkan berbuat baik, jangan persoal agama mereka, lakukan amalan Islam didepan mereka, tonjolkan peribadi Nabi muhammad
  • Banyak tokoh agama lain mengakui umat manusia (Malaysia khususnya) menghadapi masalah akhlak dan moral, dan majoriti mereka ingin menyelamatkan akhlak manusia
  • Namun akhlak Muslim itu sendiri tidak mencerminkan kesempurnaan dan kesejahteraan yg menjadi tulang belakang Islam
  • Sedangkan akhlak adalah salah satu cabang dakwah paling berkesan
  • Cina takut dengan Melayu sebab mereka rasa Melayu ni extreme
Sejujurnya aku amat berminat untuk berdakwah. Tapi diri ini masih dimanja-manja agenda kapitalis menyuruh aku mencari duit untuk harta dunia. Habis waktu jaga aku berkeliaran mewarnai industri.

 Aku juga memasang angan-angan untuk menikahi gadis bukan Melayu. Cina especially (jujurnya). Tetapi background aku bergaul dengan masyarakat Cina amat terhad. Aku bersekolah di sekolah agama dan masuk unversiti Melayu. Pekerjaan sekarang jarang terlibat dengan mereka. Alangkah ruginya aku.

Read more

Terlalu fanatik dengan politik, Kristian giat memurtadkan Melayu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Ini sedutan daripada laporan Berita Harian:

Dua orang lelaki warga asing yang menyebar ajaran kristian kepada penarik beca dan orang gelandangan di sekitar Georgetown, baru-baru ini. - Foto Ramdzan Masiam

Cubaan ‘pelancong’ murtadkan orang Islam di sekitar Pulau Pinang

Georgetown: Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan (API) mendedahkan wujud usaha memurtadkan orang Islam terutama golongan gelandangan sekitar Pulau Pinang, menggunakan wang tunai dan keperluan asas sepanjang Ramadan. Timbalan Pengerusi 2 API, Asti Toba, berkata pihaknya mengesan usaha terbabit secara tidak sengaja ketika menjalankan program mengumpul rekod orang gelandangan sekitar bandar ini, termasuk kawasan Masjid Kapitan Keling, di sini, Khamis lalu.
Pengayuh beca terbabit mengaku diberi RM50 serta dijanjikan pelbagai kesenangan seperti keperluan asas dan sampingan, malah memaklumkan dua lelaki terbabit akan datang semula keesokannya untuk mengkristiankan dia.
Katanya, dua lelaki Eropah yang berpakaian seperti pelancong didapati mendekati golongan gelandangan, termasuk pengayuh beca dengan bertanyakan lokasi menarik sekitar bandar.

Komen api api:

Orang kristian sanggup berhempas pulas berdakwah agama depa
Orang Islam (Malaysia khususnya) sebuk berhempas pulas berpolitik utk parti depa

Hudud dah kena KIV, isu murtad masih dalam lipatan serban tok guru kita ka?
Tak perlu susah-susah tunding jari kat UMNO. Ini tanggungjawab kita sebagai Muslim.
Kalau penggiat tegar politik masih terus menerus menghentak-hentak kepala sesama sendiri, tanpa mencari solusi, jangan hairan kalau jumlah kes murtad meningkat.

Kalau tak mampu nak meredah lautan berdakwah kepada non-muslim, mulalah berdakwah kepada saudara se-muslim se-Malaysia kamu dulu

Dugaan paling besar berdakwah adalah mengamalkan apa yang ingin kita dakwahkan.
Dengan mengamalkan apa yang kita cuba dakwahkan, insyaallah org lain yang melihat pun dah teringin nak ikut kita, tanpa perlu bersusah payah berhempas pulas membanting tulang berdakwah macam-macam.

Jadilah contoh teladan buat rakan yang lain. Kalau kamu PAS, tampilkan kesyahduan akhlak murni kepada rakan UMNO kamu. Kalau kamu UMNO, siarkan perilaku semerbak kasturi buat saudara PAS kamu.

Apa guna saling bertikam? Sedap ka hirup darah merah sesama muslim bersaudara kita?

Tahun 2012 hudud dah KIV
Next tahun 2016 kawen campur
Nanti 2020 tukar agama macam tukar baju
2024 apa jadi pulak?

Semua ni tak mustahil berlaku kalau semua masih sibuk menjaja mengampu parti macam yang berlaku hari ni. Selagi masing-masing ketagih tikam menikam, mencambah benci, lama-kelamaan jadi macam sunni vs syiah. Dua-dua islam dua berbalah.

Mula-mula depa kutuk cerca maki macam yang berlaku hari ni
Lepas tu melarat hang masuk neraka aku masuk syurga, hang kafir aku maksum, hang wajib diperangi, apa bala semua jatuh kat hang.

Last sekali, pakat saling sembelih sama sendiri.

Read more

Tahukah anda? 5 Sebab HARAM Solat Tarawih di Masjid

Sempena menjelang Ramadhan ini, aku ingin membongkarkan satu rahsia yang amat sulit kepada semua rakan saudara muslimin dan muslimat yang aku kasihi.

Semoga kita beroleh manfaat daripada pembongkaran ini InsyaAllah.


5 Sebab HARAM Solat Tarawih di Masjid:

1. HARAM kamu bersolat Tarawih di masjid, sekiranya kamu tahu pemergian kamu ke masjid itu akan menyuburkan gejala maksiat, zina dan sumbang mahram di dalam rumah kamu sendiri. Maka bersolatlah di rumah bersama seluruh isinya untuk mencegah berlakunya perkara tersebut.

2. HARAM kamu bersolat Tarawih di masjid, sekiranya kamu tahu pemergian kamu ke masjid itu akan menyebabkan anak, isteri serta ahli keluarga kamu yang lain dibunuh. Maka bersolatlah di rumah bersama-sama mereka untuk memastikan keselamatan mereka.

3. HARAM kamu bersolat Tarawih di masjid, sekiranya kamu tahu pemergian kamu ke masjid itu akan menyebabkan anak, isteri dan saudara kamu murtad di rumah. Perlu kamu cegah dengan bersolat di rumah.

4. HARAM kamu bersolat Tarawih di masjid, sekiranya kamu tahu pemergian kamu ke masjid itu akan mendatangkan kecelakaan dan kemudharatan kekal kepada diri kamu sendiri. Maka memadailah kamu bersolat Tarawih berjemaah di rumah.

5. HARAM kamu bersolat Tarawih di masjid, sekiranya kamu tahu pemergian kamu ke masjid itu akan mengundang musibah, kecelakaan, bencana dan malapetaka kepada semua jemaah masjid yang akan kamu bertandang. Demi menjaga kemaslahatan mereka, memadailah kamu bersolat Tarawih berjemaah di rumah.

Sekiranya anda tahu segalanya?

Kalau salah sila betulkan.
Kalau suka sila LIKE!

Read more

Arah Qiblat di Bulan dan Angkasaraya?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri Berapi-api

Siapa Neil Armstrong? Sudah-sudah lah dengan konspirasi Masonic yang menjadi kata nama am dalam pertikaian pendaratan manusia ke Bulan. Begitu juga dengan segala tiupan khabar angin tentang Neil Armstrong dan Islam.


Reaksi yang kita akan lihat adalah ramai insan lebih sibuk menggembala batu api menerajang ke sana ke mari nak tegakkan premis sendiri dalam isu ini.

Tetapi tahukah kamu di mana arah Qiblat kita (muslim) sekirannya berada di Bulan? Aku percaya ramai yang meremeh-temehkan perkara ini. Kerana mereka masih terdoktrin dengan keberadaan di Planet Bumi ini.

Ajaran Islam sedang berkembang pesat seiring dengan pembangunan dunia Sains. Aku tidak menolak kemungkinan kita akan menetap di bulan. Mungkin bukan aku dan kamu, tetapi mungkin cicit kamu dan aku.

Sejujurnya sebelum aku meng-google jawapan ini, aku sangkakan para ulama akan berusaha mencari titik Kaabah di bulan. Namun jauh sekali, aku jahil amat. Berdasarkan link ini, terdapat perbincangan mengatakan arah Qiblat di Bulan dan di angkasa adalah Bumi itu sendiri.

Semestinya jawapan ini adalah jawapan popular dan menggambarkan bahawa Islam memberi kemudahan kepada penganutnya. Alhamdulillah.

Aku bukanlah ustaz mahupun bekas mufti seperti Ustaz Asri. Sekadar pencacai hati perut sendiri. Namun aku terfikir, dunia ini amatlah luas. Tamadun manusia makin berkembang dengan kepesatan yang tinggi. Ramai yang memberi janji dan pandangan bahawa kita akan meneroka dan menetap di planet lain dan angkasa.

Sempatkah ini semua berlaku sebelum kiamat?

tags: bulan bintang matahari kiblat qiblat muslim islam neil armstrong masonic JAXA space travel exploration dr asri mufti planet sun earth moon bumi bulan pas bulan umno kiblat pas kiblat umno google moon landing apolo moon walker space shuttle nasa
Read more

Tahukah anda? 30 kelebihan amalan mencela, memaki hamun dan mencerca

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri Berapi-api

Sedar tak sedar, bulan Ramadhan dah kian hampir tiba. Terasa macam baru semalam sambut hari raya. Mana taknya, setiap hari sibuk ke hulu ke hilir jadi tukang kompang isu negara, bangsa dan agama.


Siapa sangka amalan mengeji, mencerca, menghina, memaki dan menghamun ini juga mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu, aku amat berbesar hati untuk berkongsikan informasi yang masih panas berapi-api ini. Jangan lupa sebarkan ya.

30 kelebihan amalan mencela, memaki hamun dan mencerca:

1. Memberikan ketenangan hati

2. Menonjolkan akhlak yang suci

3. Menguatkan jalinan silaturrahim

4. Menghindari hasutan syaitan

5. Membuatkan musuh agama,bangsa dan negara berasa takut dan gerun.

6. Membentuk peribadi muslim sejati

7. Meningkatkan kadar celik al-Quran di kalangan masyarakat

8. Mendekatkan diri kepada Allah

9. Membantu mendapatkan kemanisan iman

10. Membantu perjuangan memerangi musuh Islam

11. Membantu menegakkan hukum Hudud

12. Membantu mengingati mati

13. Menambah khusyuk dalam solat

14. Membantu menyebarkan ajaran Islam

15. Menambah keberkatan rezeki

16. Membuka pintu rezeki

17. Membantu membebaskan diri dari riba

18. Menghindari bala Allah

19. Menggalakkan pemakaian pakaian yang menutup aurat

20. Membantu menyembuhkan sihir dan santau

21. Mengurangkan kes rogol, sumbang mahram dan sumbang songsang

22. Mengurangkan kes buang bayi dan anak luar nikah

23. Meningkatkan kadar celik Agama

24. Mengenang jasa ibu dan bapa

25. Mengharumkan nama keluarga

26. Membantutkan rancangan Yahudi menindas umat Islam

27. Menyukarkan agen yahudi menyusup masuk ke negara

28. Memberikan contoh terbaik kepada anak-anak

29. Membantu mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah

30. Menyembuhkan penyakit darah tinggi dan yg sewaktu dengannya


Tak sungguh, tak kata
Kalau terasa, jangan simpankan saja, tolong like ya!


Read more

Mengapa HUDUD tidak boleh dilaksanakan di Malaysia?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Akhir-akhir ini, isu Hudud dilihat kembali merimbuni pepohonan pentas politik tanah air dengan subur sekali. Pelbagai ragam manusia kelihatan sedang berteduh dengan pengaruh pohon kemurnian perundangan Islam ini.


Terdapat segelintir yang berlumba-lumba mahu laksanakan hudud. Terdapat juga sesetengah yang masih bermuka-muka dengannya. Tidak ketinggalan, timbul sekelompok yang sedang berusaha untuk melaga-lagakan sesama kita.

Antara soalan yang sering bergema di sebalik dedaunan debat ini adalah bilakah Hudud akan terlaksana? Siapakah yang akan melaksanakannya? Kenapa masih belum dilaksana? Apa kesannya kepada golongan bukan Islam? Mengapa perlu menentang Hudud? Mengapa Hudud perlu dilaksana? Berapa ramai yang akan kehilangan tangan dan kakinya? Berapa ramai ahli politik yang akan dikuburkan dengan hartanya?

Aku tidak akan bazirkan masa kalian dengan menghamburkan segala macam alasan yang diberikan parti-parti politik sebagaimana yang kamu semua sudah sedia maklum. Telah kamu lihat di dada-dada akhbar mahupun media elektronik berselerakkan berjuta macam alasan dihamparkan mengapa Hudud dilengahkan perlaksanaannya.

Isu Hudud di Malaysia sudah mencapai tahap ultimatum. Isu ini akan memberi gambaran perkembangan politik Malaysia dari sudut kesepakatan yang matang. Kematangan politik di mana setiap parti perlu bekerjasama untuk kebaikkan rakyat dan menegakkan tuntutan rakyat. Bukanlah berjuang untuk kehendak parti memancing undi semata-mata.

Tetapi, gambaran itu tidak menjawab mengapa Hudud masih tidak dapat dilaksanakan di Malaysia?

Jawapannya, kerana masih tiada kesepakatan atau mutual understanding di kalangan parti politik Malaysia.

Situasi politik Malaysia masih bertunjangkan kepentingan parti semata-mata. Matlamat dan objektif parti yang tidak mengikut aruhan kemahuan rakyat. Mereka meletakkan kepentingan rakyat di anak tangga yang entah ke berapa.

Mereka lebih selesa menjual janji dan disulami dengan menanam benci sesama sendiri. Bertempiaran ke sana ke mari menganjing isu dambakan populariti. Sambil diselit gula-gula hancing untuk diedarkan kepada rakyat untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Ya, dengan senang hati aku boleh bertanya, "Di manakah peranan Seri Paduka Baginda YDP Agong sebagai Ketua Agama di dalam isu Hudud ini?"

Walaupun aku mengiyakan kata Dr Asri membolehkan kritikan terhadap Sultan. Aku tetap merasakan ini adalah tanggungjawab kesemua komponen parti politik untuk bersepakat melaksanakan Hudud.

Sekiranya dilancarkan satu survey "Setuju vs Tidak Setuju" di seluruh Malaysia untuk melaksanakan Hudud, aku percaya keputusannya akan memihak kepada Setuju. Aku yakin keputusan itu akan mendapat majoriti yang besar, 70% hingga 80% barangkali.

Berapa billion akan kehilangan jika Hudud dilaksanakan? Berapa juta undi rakyat akan disia-siakan? Berapa ratus ribu kes jenayah dapat dikurangkan? Berapa juta rakyat kita akan mati kebuluran? Berapa ribu insan akan jatuh fakir? Berapa ramai ahli politik akan dikafankan?

Aku tidak dapat memikirkan apa-apa kerugian jika Hudud dilaksanakan di Malaysia. Jikalau wujud jua keburukkannya, aku pasti faedahnya adalah seribu kali ganda lebih baik.

Isu Hudud ini adalah satu hikmah, sekiranya semua rakyat bersatu padu mahukan Hudud, parti-parti politik perlu melaksanakannya tanpa perlu bermuka-muka mengintai kepentingan parti politik mereka.

Sekiranya hukum Hudud yang amat bermanfaat ini kamu tidak mampu bersatu sepakat tegakkannya. Atas dasar apa lagi yang mampu bersatu? Hak Melayu kamu sudahpun terjual. Ekonomi kamu juga telah tergadai. Hak bersuara kamu juga sudah lama diragut. Jawabnya, tiada.

Isu Hudud adalah ultimatum menentukan hala tuju politik Malaysia. Ia akan menjadi kayu ukur dan pencetus kematangan baik PAS dan DAPnya serta UMNO dan MCAnya. Bukan sekadar mengejar politik popular, tetapi untuk menuntut hak rakyat dan menegakkan Hukum Allah.

tags: hudud pas umno najib razak nik aziz dap mic mca pkr sinar harian metro islam agama mufti johor adun johor lim guan eng agong raja melayu selangor penang sekular rakyat mahu hudud buat hudud non muslim hudud najib hudud pas hudud umno berita hudud kelebihan hudud kebaikkan hudud politik tidak matang cybertroopers puteri umno pemuda umno pemuda pas muslimin muslimat sultan johor alasan hudud rosmah mansur tak pakai tudung
Read more

Comments